Semalam beberapa kaunter bermodal kecil dikejutkan dengan pergerakan luar biasa apabila kaunter saham menjunam didorong oleh spekulasi berlebihan.
Namun jika disemak kemerosotan harga saham banyak berkaitan syarikat berpangkalan di Sarawak yang sebelum ini harga sahamnya meningkat tinggi pada Disember namun tiba-tiba menjunam minggu ini.
Apa sebenarnya yang berlaku? Spekulasi apakah yang sedang bermain di Sarawak? Apakah ada pihak diluar sana sedang memburu saham murah ( Penny Stock)
Apakah pergerakan harga saham luar biasa membabitkan kaunter tertentu itu tidak akan mencetuskan penurunan mendadak harga saham secara meluas dalam pasaran?
Pada sesi dagangan Rabu, sekurang-kurangnya lima saham syarikat iaitu Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), YNH Property Bhd, Rapid Synergy Bhd, Mercury Securities Bhd dan Artroniq Bhd mencapai had penurunan.
Bagaimanapun turut mengejutkan syarikat bekas milik Tan Sri Abu Sahid Mohamed (Abu Juling) yang dulunya IPMuda kini Jentayu Sustainables Bhd yang diketuai menantu dan anaknya turut jatuh menjunam. Jentayu yang banyak melaksanakan projek empangan di Sabah (Empangan Tenom-Telekosang dan Maligan) turut terkejut kerana mereka juga tidak tahu mengapa saham Jentayu jatuh.
Sementara empat syarikat, SCIB, Jentayu, Mestron Holdings Bhd dan APB Resources Bhd mendapat penggantungan jualan pendek harian mereka pada hari yang sama, kerana saham jatuh lebih 15 peratus atau 15 sen.
Penjualan itu mendorong Bursa mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA), bukan saja kepada Mercury dan Jentayu, tetapi juga kepada Artroniq Bhd, yang mencecah had penurunan pada awal minggu ini.
SARAWAK CONSOLIDATED INDUSTRIES BHD (SCIB), APB RESOURCES BHD DAN ARTRONIQ BHD
SCIB, APB dan Artroniq Bhd merupakan 3 syarikat yang lembaga pengarahnya saling kaitan antara satu sama lain.
28 Jun 2023 lalu SCIB mengumumkan pelantikan anak Premier Sarawak, Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari sebagai Pengerusi Eksekutif dan Marcus Chin Choon Wei Ketua Pegawai Kewangan Artroniq Bhd sebagai Pengarah Eksekutif.
Pelantikan anak Premier Sarawak itu mencetuskan perdebatan tentang pelantikan anak Premier memandangkan Kerajaan Sarawak turut memiliki saham di SCIB. Malah SCIB mengumumkan pelantikan Kang Wei Luen, Dr Dang Nguk Ling dan Liaw Way Gian sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa serta-merta.
Liaw ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Artroniq Bhd manakala Kang ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Artroniq dan APB Resources Bhd.
Ku Chong Ho Group MD/ CEO kepada SCIB pula merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif APB Resources Bhd.
Dr Dang Nguk Ling ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif APB Resources Bhd di mana Liaw juga berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif.
Bagaimanapun selepas pelbagai kritikan 6 bulan selepas itu pada bulan disember anak Premier Sarawak, Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif SCIB. Pengerusi SCIB selepas anak Premier meletak jawatan ialah Dato’ Sri Zaini Jass bekas Pesuruhjaya Polis Sabah.
Dato’ Sri Abd Rahim Jaafar bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dilantik Pengerusi APB Resources dan Dato’ Sri Zaini Jass sebagai Pengerusi Artroniq Berhad.
Pada 3 Januari Minetech Resources Bhd, syarikat kejuruteraan awam, pengeluar produk bitumen serta pemain baru dalam ruang tenaga suria, mengumumkan pelantikan Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari sebagai Pengerusi Eksekutif baharunya.
Pengerusi Minetech sebelum ini Dato’ Awang Daud Bin Awang Putera merupakan pemegang saham terbesar Minectech sebelum melupuskannya kepada Abang Abdillah Izzarim sekaligus menjadikann pemegang saham terbesar Minetech.
Dato’ Awang Daud Bin Awang Putera merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dalam syarikat bermasalah Serba Dinamik Holdings Berhad. Pada 21 Disember 2023 Bursa Malaysia mendenda 10 pengarahnya RM355,200,000 hingga RM1.38 juta apabila melanggar enam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utamanya (LR Utama).
Dato’ Awang Daud Awang Putera tidak mungkin menyerahkan semua saham dan jawatan pengerusi kepada Abang Abdillah jika tiada arahan untuk melakukannya.
Seentara itu pengasas dan pengarah eksekutif syarikat Minetech , Choy Sen @ Chin Kim Sang, 70, telah meletak jawatan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya.
Choy Sen masih mempunyai 2.74% pegangan langsung dalam syarikat itu, serta 5.46% pegangan tidak langsung melalui keluarganya. Anak lelakinya Chin Jet Choy memiliki 0.314% dan Pete Chin Sheong Choy 0.583% pegangan langsung dalam Minetech. Chin Leong Choy sebagai satu-satunya pengarah eksekutif syarikat daripada keluarga Chin kekal di Minetech dengan pegangan saham 4.53% kepentingan langsung.
Saham Minetech juga mengalami turun naik yang kini nilainya kurang 0.20 sen.
Nampaknya semua syarikat yang mempunyai kaitan dengan anak Premier Sarawak, Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari mengalami kejatuhan saham menjunam seperti SCIB, APB Resources dan Artroniq Berhad. Apakah akan terjadi kepada Minetech selepas ini?
Ada sumber mendakwa terdapat pelabur luar China atau ‘pencuci wang haram’ cuba membeli saham syarikat-syarikat mempunyai saham murah di Sarawak untuk meraih keuntungan.