KUALA LUMPUR — Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) kini semakin menjadi perhatian selepas pelbagai laporan dan aduan rasmi mula dihantar kepada pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan model pelaburan emas yang mencurigakan dan menyerupai skim “emas delay” kontroversi era Tok Belagak serta Darul Emas Perak Berhad (DEPB).
Dokumen aduan yang mula tersebar di media sosial menunjukkan beberapa individu telah mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi meminta siasatan segera terhadap skim dikenali sebagai “Special Trade In (STI)” yang didakwa menjanjikan pulangan bulanan tetap kepada peserta yang menyerahkan emas kepada syarikat bagi tempoh tertentu. Dalam aduan tersebut, pengadu mendakwa syarikat berkenaan aktif menggunakan ejen, media sosial, seminar dan promosi besar-besaran bagi menarik orang ramai menyertai program tersebut.

Lebih membimbangkan, struktur model yang digunakan didakwa mempunyai persamaan sangat ketara dengan skim Tok Belagak milik Hanarudin Baharudin melalui Darul Emas Perak Berhad (DEPB) sekitar 2012 hingga 2014. Ketika itu, DEPB menawarkan konsep “emas delay”, hibah bulanan dan pembelian semula emas pada harga lebih tinggi sebelum akhirnya runtuh dan menyebabkan ramai pelabur kehilangan simpanan hidup. Pengasasnya kemudian ditahan polis selepas menerima pelbagai laporan berkaitan penipuan pelaburan emas.

Persamaan Ketara Dengan Skim Tok Belagak
Pemerhatian terhadap dokumen promosi KESS menunjukkan beberapa elemen yang hampir serupa dengan model DEPB dahulu, antaranya:
- emas diserahkan kepada syarikat untuk tempoh tertentu,
- pelabur menerima manfaat atau pulangan bulanan,
- penggunaan istilah patuh syariah,
- sistem ejen atau wakalah,
- dan janji nilai emas yang meningkat selepas tamat tempoh program.

Dalam kes Tok Belagak dahulu, ramai mangsa hanya menyedari masalah sebenar selepas pembayaran mula tergendala dan aliran tunai syarikat dipercayai bergantung kepada kemasukan pelabur baharu.
Kini, kebimbangan sama mula dibangkitkan terhadap KESS apabila syarikat tersebut didakwa berkembang terlalu pantas walaupun baru ditubuhkan sekitar tahun 2025.
Persoalan Status Kewangan dan Struktur Syarikat
Semakan awam turut menimbulkan persoalan mengenai latar belakang korporat KESS. Syarikat induknya didakwa hanya mempunyai modal berbayar sekitar RM100 dengan seorang penama pengarah utama iaitu Hafizal Mahmood.
The Corporate Secret sebelum ini mendedahkan mengenai latar belakang pemilik Kedai Emas Sri Semantan yang mencurigakan
Selain itu, beberapa pihak turut mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat yang baru ditubuhkan mampu membuka rangkaian operasi dan promosi besar-besaran dalam tempoh singkat tanpa penjelasan jelas mengenai sumber pembiayaan, audit dalaman atau laporan kewangan yang kukuh. Beberapa penggerak cawangan mempertahankan kononnya KESS diaudit setiap tahun namun syarikat ini jelas syarikat ditubuhkan tahun 2025.
Tiada rekod audit kewangan awam, penyata hasil, keuntungan, aset atau liabiliti diterbitkan.


Rekod asal Kedai Emas Sri Semantan Empire sebuah syarikat enterprise di lokasi asal alamat 19, jalan Pak Sako 2 Bandar Sri Semantan Temerloh Pahang atas nama Muslim bin Muhamat. Penama ini jelas berbeza dengan Syarikat Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd atas Mohamad Hafizal Mahmood.

Rekod Mohamad Hafizal nampaknya lebih mencurigakan. Berdasarkan dokumen perniagaan Mohamad Hafizal didapati pernah terlibat dalam sekurang-kurangnya tujuh perniagaan milikan tunggal (enterprise) sejak sekitar tahun 2004 hingga 2024.
Antara enterprise yang pernah didaftarkan Dexterity Tone Enterprise, Keladan Inspirasi Enterprise, De Dikir Catering & Services Enterprise, Puncak Emas Kreatif Enterprise, Hafizal & Rohana Gemilang Enterprise, 9 Frozen Resources dan MHM Padu Enterprise

Situasi ini mengingatkan ramai kepada Darul Emas Perak Berhad (DEPB) yang sebelum ini juga dikritik kerana tidak mempunyai ketelusan audit dan laporan kewangan walaupun mengendalikan transaksi melibatkan jumlah wang besar daripada orang ramai. Nampaknya KESS dan DEPB mempunyai banyak persamaan dalam memperdayakan orang ramai.

Pihak Berkuasa Digesa Bertindak Segera
Walaupun pelbagai aduan telah mula dihantar kepada BNM, SC, SSM dan PDRM, setakat ini masih belum kelihatan tindakan penguatkuasaan besar diumumkan secara terbuka.
Keadaan itu menyebabkan ramai pemerhati mempersoalkan sama ada pihak berkuasa sekali lagi terlalu lambat bertindak seperti yang berlaku dalam pelbagai skim emas terdahulu termasuk Genneva, VGMC, Tok Belagak, Makmur Gold dan lain-lain sehingga mangsa menjadi semakin ramai sebelum serbuan atau pembekuan dilakukan.
Pihak berkuasa kini digesa:
- menyiasat sumber kewangan sebenar syarikat
- memeriksa struktur aliran wang
- meneliti unsur pengambilan deposit awam
- menyemak lesen dan kelulusan berkaitan pelaburan
- serta menyerbu premis operasi jika wujud elemen mencurigakan

Ramai pemerhati percaya jika tindakan awal tidak diambil, skim seperti ini berpotensi mencetuskan kesan lebih besar kepada masyarakat terutama golongan Melayu-Islam yang sering dijadikan sasaran melalui naratif emas, hibah dan pelaburan patuh syariah.
Sejarah Lama Yang Tidak Patut Berulang
Kes Tok Belagak dan DEPB pernah menjadi antara episod paling kontroversi dalam sejarah skim pelaburan emas negara. Ribuan mangsa didakwa mengalami kerugian besar selepas:
- membuat pinjaman bank,
- menggadai tanah,
- menggunakan wang persaraan
- dan menyerahkan simpanan hidup demi mengejar pulangan bulanan.
- Kini, ramai mula bimbang sejarah sama sedang berulang dalam bentuk baharu.
Persoalan utama yang mula dibangkitkan orang ramai ialah:
“Adakah pihak berkuasa akan bertindak sebelum mangsa bertambah ramai, atau sekali lagi menunggu sehingga skim runtuh sendiri?”
Sebagaimana berlakunya kes skim emas Quantum Metal dan Koperasi Makmur Gold. Terhantuk baru tengadah.
