Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) menjadi tular di media sosial hari ini selepas pelbagai pihak mula mempersoalkan struktur operasi syarikat tersebut yang didakwa mempunyai ciri menyerupai beberapa kontroversi skim emas di Malaysia sebelum ini. Malah Boy Iman yang terlibat dengan bebapa scammer pelaburan dilihat menunjukkan membuka satu cawangan Kedai Emas Sri Semantan.
Pelbagai pihak mencetuskan kebimbangan kerana ramai melihat struktur tersebut menyerupai beberapa corak skim emas kontroversi lampau seperti Virgin Gold (VGMC tahun 2010), Genneva Gold (2012), Amethyst Gold (2013), Tok Belagak (2014), Arba Emas Perak ( 2015), Zenith Gold (2016), Koperasi Makmur Gold (2018), DEET (2022), Quantum Metal (QM- 2024)
Isu Makmur Gold dan Quantum Metal misalnya menyebabkan ramai tersontot. Ratusan juta kerugian terkumpul.
Koperasi Makmur Gold pernah menjadi kontroversi apabila didakwa terlibat dalam satu skim pelaburan emas yang dipercayai melibatkan kerugian melebihi RM300 juta membabitkan ribuan ahli dan pelabur dari seluruh negara. Skim tersebut didakwa menawarkan pulangan lumayan, bonus keahlian dan jaminan keuntungan konsisten melalui pembelian emas serta pakej pelaburan yang dipromosikan sebagai “patuh syariah” dan disokong emas fizikal.
Namun, ramai pelabur kemudian mendakwa gagal memperoleh semula modal, bayaran keuntungan tertunggak serta menghadapi kesukaran menebus emas atau mengeluarkan wang mereka. Modus operandi skim ini dikatakan bergantung kepada kemasukan ahli baharu untuk menampung pembayaran kepada ahli lama, selain menggunakan promosi agresif melalui rangkaian ejen, seminar dan media sosial bagi menarik keyakinan orang ramai. Isu tersebut akhirnya mencetuskan pelbagai laporan polis dan dakwaan bahawa dana pelabur telah “lesap” dalam satu lagi episod kontroversi skim emas di Malaysia yang mengingatkan orang ramai kepada kes Genneva, VGMC dan beberapa skim emas lain sebelum ini.
Begitu juga dengan kontroversi melibatkan Quantum Metal yang sebelum ini giat menawarkan skim berkaitan emas dan pelaburan logam berharga kepada orang ramai dengan pelbagai dakwaan meyakinkan termasuk kononnya berlesen, patuh syariah, mempunyai sokongan institusi kewangan serta menjanjikan pulangan konsisten kepada ahli. Promosi mereka turut dikaitkan dengan penggunaan nama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pelbagai naratif “emas fizikal” bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Namun selepas timbul pelbagai persoalan serta aduan awam, BNM dilaporkan menafikan bahawa Quantum Metal mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pengambilan deposit atau pelaburan yang dikawal selia, manakala SC pula mengeluarkan amaran dan tindakan penguatkuasaan berkaitan aktiviti pelaburan tidak sah. Kontroversi itu akhirnya membawa kepada tekanan undang-undang dan tindakan penggulungan terhadap entiti berkaitan Quantum Metal, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ribuan pelabur mungkin berdepan risiko kehilangan wang dalam satu lagi episod skim emas berprofil tinggi di Malaysia.

Kedai Emas Sri Semantan – “Special Trade In (STI)” KESS sangat berisiko
Perhatian netizen tertumpu kepada dokumen perjanjian dikenali sebagai “Special Trade In (STI)” dan “Wakalah bil Mudharabah” yang mula tersebar dalam talian.
Perjanjian Special Trade In (STI) didakwa mempunyai ciri transaksi yang meragukan kerana pelanggan menyerahkan emas fizikal bernilai tinggi kepada syarikat, tetapi hanya menerima “poin” dan janji pemulangan emas baharu selepas enam bulan. Dari sudut hukum syarak, skim ini dianggap bermasalah kerana wujud unsur gharar fahish (ketidakpastian melampau), tiada nilai balasan yang jelas serta syarat yang memberi kuasa penuh kepada syarikat menentukan nilai atau terma pada masa hadapan. Corak pemberian “pulangan bulanan” pula dilihat menyerupai taktik memusing modal bagi melambatkan tuntutan pelanggan sementara aset emas digunakan untuk tujuan lain.
Dari sudut undang-undang, skim STI dianggap sangat berisiko kerana hak milik emas pelanggan berpindah sepenuhnya kepada syarikat sebaik sahaja diserahkan. Ini bermaksud jika syarikat gagal memulangkan emas selepas tempoh enam bulan, pelanggan hanya menjadi pemiutang tanpa jaminan dengan peluang tipis mendapatkan semula emas mereka. Pemberian “poin” bulanan juga didakwa sekadar mekanisme untuk mengekalkan keyakinan pelanggan walaupun poin tersebut tidak mempunyai jaminan nilai sebenar atau hak tuntutan yang kukuh terhadap emas fizikal.


Perjanjian Special Trade In (STI) berpotensi tertakluk kepada kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia sekiranya skim tersebut melibatkan pengambilan aset atau wang orang ramai dengan janji pulangan, pemberian poin, keuntungan bulanan atau pemulangan emas pada masa hadapan.
Walaupun ia dilabel sebagai “trade in”, struktur sebenar transaksi menunjukkan pelanggan menyerahkan emas fizikal kepada syarikat dan hanya menerima janji balasan kemudian, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan satu bentuk skim pelaburan, skim kepentingan atau pengambilan deposit tanpa lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Jika tiada kelulusan atau lesen sewajarnya daripada SC atau BNM, skim seperti ini boleh dianggap beroperasi secara tidak sah dan berisiko tinggi kepada orang ramai.
Perjanjian KESS- “Wakalah Bil Mudharabah” kosmetik tipu rakyat
Bagi Perjanjian “Wakalah Bil Mudharabah” didakwa mempunyai kecacatan struktur yang serius dari sudut Fiqh Muamalat kerana menggabungkan dua akad berbeza secara tidak jelas, iaitu Wakalah (perwakilan berupah tetap) dan Mudharabah (perkongsian untung rugi). Gabungan ini menimbulkan unsur gharar kerana tidak jelas sama ada syarikat bertindak sebagai wakil yang menerima upah atau sebagai pengusaha pelaburan yang berkongsi keuntungan.
Lebih membimbangkan, dokumen tersebut gagal menjelaskan projek atau aktiviti perniagaan sebenar tempat wang atau emas pelanggan dilaburkan, sedangkan akad mudharabah yang sah wajib mempunyai mashru’ (projek pelaburan) yang jelas. Penggunaan istilah “Mudharabah” dilihat sekadar kosmetik bagi mewujudkan gambaran patuh syariah walaupun keuntungan tetap seperti RM20 setiap gram emas mempunyai ciri pulangan tetap yang boleh dikategorikan sebagai riba.
Dari sudut undang-undang dan risiko pelanggan, struktur ini juga dianggap sangat berbahaya kerana emas pelanggan didakwa digadai menggunakan nama pihak ketiga atau ejen syarikat, menyebabkan pelanggan asal mungkin kehilangan hak untuk menuntut atau menebus emas mereka di Ar-Rahnu.





Selain itu, dokumen tersebut tidak menjelaskan secara telus bagaimana kerugian ditanggung jika berlaku kegagalan perniagaan, sedangkan prinsip mudharabah sebenar menetapkan kerugian modal perlu ditanggung pemilik modal dan bukannya dijamin sepenuhnya oleh pengusaha.
Terma yang memaksa pelanggan “mengesahkan” bahawa akad itu patuh syariah juga dianggap pelik dan tidak munasabah kerana majoriti pelanggan bukan pakar syariah atau undang-undang. Dalam amalan kewangan Islam sebenar, pengesahan patuh syariah sepatutnya dibuat oleh penasihat syariah bertauliah, bukannya dipindahkan kepada pelanggan melalui klausa kontrak.
Setakat ini, tiada sebarang rekod awam atau pengesahan rasmi daripada Bank Negara Malaysia yang menunjukkan bahawa Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd mempunyai lesen khas atau pengiktirafan rasmi sebagai “pelaburan patuh syariah” di bawah seliaan Bank Negara Malaysia.
SIAPA MOHAMAD HAFIZAL MAHMOOD PENGASAS SYARIKAT EMAS SRI SEMANTAN SDN BHD?

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat EMAS SRI SEMANTAN SDN. BHD baru ditubuhkan pada 10 Julai 2025 dengan aktiviti perniagaan “retail sale of jewellery”. Rekod itu turut menunjukkan modal berbayar syarikat hanya RM100 sahaja, manakala pemegang saham tunggal dan pengarah syarikat ialah Mohamad Hafizal bin Mahmood.

Siapa sebenarnya Mohamad Hafizal bin Mahmood? Terdapat dakwaan awam dan perbincangan media sosial yang mengaitkan Mohamad Hafizal Mahmood pemilik Kedai Emas Sri Semantan (KESS) dengan operasi berkaitan Koperasi Makmur Gold yang digerakkan oleh Mohd Faizuddin Che Mahmood.
Dalam iklan di laman web Kedai Emas Sri Semantan lokasi asal di alamat 19, Jalan Pak Sako 2, Bandar Sri Semantan, 28000 Temerloh, Pahang. Penama asal Kedai Emas Sri Semantan itu ialah Sri Semantan Empire (Enterprise). Siapakah Sri Semantan Empire bawah Muslim Muhamat ini? adakah bagi pihak Mohamad Hafizal bin Mahmood.

Rekod Mohamad Hafizal nampaknya lebih mencurigakan. Berdasarkan dokumen “Personal Involvement – Business Ownership Information”, Mohamad Hafizal didapati pernah terlibat dalam sekurang-kurangnya tujuh perniagaan milikan tunggal (enterprise) sejak sekitar tahun 2004 hingga 2024.
Antara enterprise yang pernah didaftarkan termasuk:
- Dexterity Tone Enterprise
- Keladan Inspirasi Enterprise
- De Dikir Catering & Services Enterprise
- Puncak Emas Kreatif Enterprise
- Hafizal & Rohana Gemilang Enterprise
- 9 Frozen Resources
- MHM Padu Enterprise

Nama-nama perniagaan tersebut menunjukkan beliau pernah terlibat dalam pelbagai bidang berbeza termasuk katering, inspirasi dan latihan, perdagangan umum, resources serta perniagaan kreatif. Ini memberikan gambaran bahawa beliau mungkin seorang usahawan kecil atau sederhana yang aktif mencuba pelbagai model perniagaan mengikut peluang semasa.
Namun begitu, semakan turut menunjukkan majoriti enterprise tersebut kini berstatus “expired”. Daripada tujuh entiti yang direkodkan, hanya satu masih aktif iaitu MHM Padu Enterprise yang didaftarkan sekitar tahun 2020. Dalam konteks enterprise SSM, status “expired” lazimnya bermaksud lesen tidak diperbaharui atau operasi sudah dihentikan.
Walau bagaimanapun, pola “buka dan tutup” beberapa perniagaan dalam tempoh panjang mula menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya apabila dikaitkan dengan operasi syarikat emas yang kini menjadi perhatian umum. Ada yang melihatnya sebagai corak biasa usahawan mikro yang gagal mengekalkan perniagaan dalam jangka panjang, manakala pihak lain mempersoalkan sama ada pertukaran entiti dan model perniagaan yang kerap boleh menimbulkan isu ketelusan sekiranya melibatkan aktiviti kewangan atau pelaburan.
Turut menjadi perhatian ialah beberapa nama enterprise seperti “Puncak Emas Kreatif Enterprise” dan “9 Frozen Resources” yang dianggap unik dan mencetuskan spekulasi netizen berkaitan kemungkinan penglibatan terdahulu dalam aktiviti trading atau perdagangan tertentu.
Kini Mohamad Hafizal bin Mahmood mendaftarkan SYARIKAT EMAS SRI SEMANTAN SDN BHD pada julai 2025, menjalankan aktiviti “retail sale of jewellery”. Alamat perniagaan syarikat direkodkan di 19 Bawah, Jalan Pak Sako 2, Bandar Sri Semantan, Temerloh, Pahang, iaitu lokasi yang sama digunakan bagi operasi “Sri Semantan Empire” sebelum ini.

Tiada audit kewangan, penyata hasil, keuntungan, aset atau liabiliti direkodkan setakat ini kerana syarikat masih baharu didaftarkan pada tahun 2025. Persoalan utama yang timbul ialah ke mana hasil transaksi emas dan aliran wang sebelum penubuhan syarikat sendirian berhad ini dimasukkan, memandangkan operasi jual beli emas sebelum ini didakwa dijalankan melalui entiti milikan tunggal (enterprise) “Sri Semantan Empire” atau syarikat lain.
Keadaan ini menimbulkan tanda tanya sama ada hasil urus niaga terdahulu direkodkan secara peribadi, melalui enterprise, atau dipindahkan ke dalam struktur syarikat baharu selepas EMAS SRI SEMANTAN SDN. BHD yang baharu diperbadankan.
Kewujudan EMAS SRI SEMANTAN SDN. BHD. sebagai syarikat yang baru diperbadankan pada tahun 2025 ini menimbulkan lebih banyak persoalan apabila operasi perniagaan itu dilihat berkembang pantas dengan pembukaan beberapa cawangan dalam tempoh singkat.

Persoalan utama yang timbul ialah dari mana sumber modal sebenar diperoleh untuk membiayai perkembangan agresif tersebut, siapakah individu atau pihak berkepentingan di belakang operasi ini, dan sama ada dana digunakan mempunyai kaitan dengan kutipan emas, skim trade in atau program pelaburan yang didakwa meragukan sebelum ini.
Keadaan menjadi lebih sensitif apabila timbul dakwaan bahawa beberapa individu yang pernah dikaitkan dengan kontroversi Makmur Gold turut mempunyai hubungan dengan rangkaian KESS, selain kemunculan nama individu kontroversi seperti “Boy Iman” yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa isu penipuan dan kini didakwa terlibat dalam promosi atau pembukaan kedai emas KESS. Gabungan faktor-faktor ini menyebabkan semakin ramai pihak mula mempersoalkan ketelusan sumber kewangan, struktur operasi dan latar belakang sebenar rangkaian perniagaan tersebut.

Apakah KESS dalam beberapa bulan akan datang satu lagi skim pelaburan emas yang menyebabkan pelaburnya tersontot sama-sama kita lihat. Namun kerajaan melalui agensi BNM, Suruhanhjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia digesa menyiasat skim pelaburan Kedai Emas Sri Semantan (KESS) ini. Lembaga Hasil Dalam Negeri juga wajar menyemaknya kerana pemiliknya Mohamad Hafizal bin Mahmood banyak menubuhkan syarikat selain syarikat KESS merupakan semua syarikat baharu
Apakah Kedai Emas Sri Semantan (KESS) bakal menjadi satu lagi skim pelaburan emas yang akhirnya menyebabkan para pelabur “tersontot” dalam tempoh beberapa bulan akan datang? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya.
Namun begitu, kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap skim pelaburan yang dikaitkan dengan Kedai Emas Sri Semantan (KESS) ini.
Pada masa sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia juga wajar meneliti aspek kewangan serta sumber dana syarikat berkenaan memandangkan pemiliknya, Mohamad Hafizal bin Mahmood, didapati mempunyai penglibatan dalam pelbagai entiti perniagaan lain yang kebanyakannya merupakan syarikat atau perniagaan baharu. Situasi ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai aliran modal, struktur kewangan serta sumber sebenar dana yang digunakan untuk mengembangkan operasi KESS dalam tempoh singkat.
