Kecoh di media sosial apabila filem Konspirasi terbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd diumumkan menghentikan tayangan di seluruh pawagam Malaysia hanya selepas kira-kira seminggu ditayangkan. Pengumuman itu mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan kononnya filem berkenaan telah disekat atau menjadi mangsa campur tangan pihak tertentu.

Namun apabila fakta sebenar diperhalusi, persoalan yang lebih besar timbul: adakah penghentian tayangan ini benar-benar berpunca daripada tekanan luar, atau sekadar strategi pemasaran bagi menutup prestasi kutipan yang mengecewakan?
Filem Konspirasi bukanlah sebuah filem biasa. Ia mendapat perhatian kerana tema yang berkait rapat dengan penguatkuasaan rasuah dan turut menerima sokongan promosi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malah, tayangan khas filem itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, hanya beberapa hari sebelum beliau menamatkan perkhidmatannya. Apakah filem ini sebuah kisah Tan Sri Azam Baki?

Pada pelancaran filem tersebut, mesej yang diketengahkan cukup jelas. Filem itu dikatakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah, kebocoran maklumat siasatan serta cabaran yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam melaksanakan tugas mereka.
Nama besar gagal tarik penonton
Walaupun Konspirasi dibarisi barisan pelakon ternama seperti Dato’ Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Sarimah Ibrahim, Esma Daniel dan Roy Azman, filem itu tetap gagal mencipta impak besar di pawagam. Lebih menarik, Adi Putra sebelum ini merupakan antara tonggak utama kejayaan filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan luar biasa dan menjadi fenomena nasional.

Namun formula yang berjaya dalam Mat Kilau ternyata tidak berulang dalam Konspirasi. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kelemahan sebenar terletak pada strategi promosi, jalan cerita, mesej filem yang terlalu berat, atau kegagalan penerbit membina keterujaan penonton sebelum tayangan. Dalam era persaingan sengit industri perfileman, kehadiran pelakon popular semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan sesebuah filem jika kandungan, pemasaran dan daya tarikan kepada penonton tidak memenuhi jangkaan.
Hakikat bahawa Konspirasi hanya mencatat kutipan kurang RM500 ribu menunjukkan masalah yang dihadapi mungkin jauh lebih besar daripada sekadar faktor pelakon, sebaliknya melibatkan keseluruhan strategi komersial dan kedudukan filem tersebut di mata penonton.
Justeru, apabila filem yang dipromosikan secara meluas itu tiba-tiba dihentikan tayangan selepas seminggu, ramai mula mengaitkannya dengan pelbagai teori konspirasi. Mengapa tiba-tiba henti?
Bagaimanapun, kenyataan rasmi FINAS menceritakan kisah yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib secara terbuka menjelaskan bahawa pihak FINAS tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat atau menarik balik tayangan filem tersebut. Semakan dengan pengendali pawagam dan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) mendapati arahan penghentian tayangan datang daripada pihak pengedar dan penerbit sendiri.

Ini bermakna dakwaan bahawa filem tersebut dihalang oleh kerajaan, FINAS atau mana-mana pihak berkuasa adalah tidak benar. Penonton tidak berminat dengan konspirasi.
Apa yang lebih menarik ialah data kutipan pawagam yang menunjukkan prestasi filem tersebut jauh ketinggalan berbanding beberapa filem tempatan lain yang ditayangkan dalam tempoh sama.

Berdasarkan angka yang tular, Konspirasi hanya mencatat kutipan sekitar RM483,140 dengan kira-kira 24,963 penonton selepas seminggu tayangan. Angka itu jauh lebih rendah berbanding filem-filem lain seperti Tarung: Unforgiven yang berjaya meraih lebih RM20 juta dan Libang Libu yang melepasi RM13 juta.
KONSPIRASI ADALAH FILEM GAGAL!
Dalam industri perfileman, prestasi seperti ini lazimnya dianggap kurang memberangsangkan, khususnya bagi filem yang dipromosikan secara besar-besaran dan mempunyai tema yang mendapat perhatian media.
Atas sebab itu, sukar untuk menolak kemungkinan bahawa penghentian tayangan lebih berkait dengan pertimbangan komersial berbanding faktor lain.
Malah, tindakan mengumumkan bahawa tayangan dihentikan di Malaysia tetapi masih diteruskan di Singapura turut menimbulkan persepsi tertentu. Dalam dunia pemasaran moden, kontroversi sering digunakan sebagai alat untuk mencetuskan perbincangan awam dan meningkatkan rasa ingin tahu orang ramai.

Naratif bahawa sesuatu karya “ditarik”, “dihalang” atau “menjadi mangsa tekanan pihak tertentu” lazimnya lebih mudah menarik perhatian berbanding laporan bahawa filem tersebut gagal mencapai sasaran kutipan.
Mengapa penerbit membuat keputusan menarik tayangan? Apakah semua langkah ini sebenarnya bertujuan mewujudkan persepsi bahawa filem tersebut terlalu “sensitif” atau “berani” sehingga tidak dapat diteruskan di Malaysia.
Hakikatnya, tiada bukti setakat ini yang menunjukkan filem tersebut diarahkan ditarik oleh mana-mana pihak berkuasa. Sebaliknya, semua kenyataan rasmi menunjukkan keputusan itu dibuat secara sukarela oleh penerbit dan pengedar.

Sekiranya benar penghentian tayangan digunakan sebagai strategi pemasaran untuk mengalihkan perhatian daripada prestasi kutipan yang rendah, ia bukan sahaja mengelirukan penonton, malah berpotensi mencemarkan kredibiliti industri perfileman tempatan.
Lebih-lebih lagi apabila filem berkenaan dikaitkan dengan mesej integriti dan antirasuah yang sepatutnya menekankan nilai ketelusan serta kejujuran.
Persoalan sebenar bukanlah sama ada Konspirasi ditarik atau tidak. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa sebuah filem yang menerima sokongan promosi begitu besar gagal menarik minat penonton sehingga tayangannya berakhir hanya selepas seminggu.
Siapa Elepfilm Entertainment Sdn Bhd penerbit filem konspirasi?
Elepfilm Entertainment Sdn Bhd ialah sebuah syarikat penerbitan filem yang ditubuhkan pada 15 Jun 2016 dan berstatus syarikat sendirian berhad aktif di Kuala Lumpur. Syarikat ini menumpukan aktiviti perniagaan kepada penerbitan filem tempatan, dan beroperasi daripada pejabat perniagaan di Level 41, Vista Tower, The Intermark, Jalan Tun Razak.
Dengan modal saham berbayar sebanyak RM50,000, Elepfilm dikendalikan oleh seorang pengarah syarikat tunggal, Yap Siew Hui, yang juga merupakan pemegang saham penuh syarikat, menjadikan struktur pemilikan syarikat mudah dan terfokus. Siapa Yap Siew Hui? Bekas perenang?

Dari segi kewangan, Elepfilm mencatatkan pendapatan tahunan RM7.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan untung bersih selepas cukai sebanyak RM356,909, memberikan margin keuntungan kira-kira 4.7%. Aset semasa syarikat berjumlah RM2.46 juta manakala liabiliti semasa RM2.24 juta, menunjukkan syarikat mempunyai lebihan modal kerja yang kecil tetapi mencukupi untuk operasi projek penerbitan berskala sederhana. Syarikat tidak mempunyai cagaran berdaftar, menandakan Elepfilm bergantung kepada tunai dan pelaburan langsung daripada pemilik untuk membiayai projek filemnya.
Dari perspektif korporat Elepfilm Entertainment Sdn Bhd bukanlah sebuah studio filem besar seperti Astro Shaw, Skop Productions, atau Primeworks Studios. Ia lebih menyerupai syarikat produksi bersaiz sederhana yang beroperasi berdasarkan projek tertentu, bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan yang diperoleh untuk menghasilkan setiap filem. Struktur ini menjadikan setiap projek seperti Konspirasi sangat bergantung kepada keberkesanan pengurusan dana, strategi promosi, dan kolaborasi dengan rakan industri lain, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keberkesanan serta kelangsungan projek yang diterbitkan.
Menurut maklumat yang tersedia, filem Konspirasi diterbitkan dengan kerjasama dan sokongan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, pengarah yang sebelum ini pernah menghasilkan drama bertemakan antirasuah, Banteras pada tahun 2019.


Apa jadi kepada kisah drama Banteras yang sendu itu?
Justeru, kerjasama antara SPRM dan Ghaz Abu Bakar bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan alasan kesinambungan usaha menyampaikan mesej pencegahan rasuah melalui medium kreatif dan hiburan. Namun begitu, sehingga kini tiada maklumat rasmi yang mendedahkan kos sebenar penerbitan filem Konspirasi, termasuk jumlah dana yang diperuntukkan, sumber pembiayaan projek serta nilai sumbangan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam penerbitannya. Ketiadaan maklumat tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai skala sebenar pelaburan yang dibuat bagi menghasilkan filem berprofil tinggi ini.
Tanpa penjelasan terperinci daripada penerbit, ramai akan terus melihat episod ini sebagai satu lagi contoh bagaimana kontroversi digunakan untuk menutup realiti yang lebih mudah: filem tersebut mungkin tidak mendapat sambutan yang diharapkan di pawagam.

