Kontroversi Pelantikan Mohammed Rashdan Mohd Yusof Ahli Lembaga Pengarah GAMUDA sebagai pengerusi baru Suruhanjaya Tenaga yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak nampaknya selesai selepas Mohammed Rashdan telah meletak jawatan sebagai timbalan pengarah urusan Gamuda Bhd untuk memberi tumpuan tugas sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga (EC).
Ini susulan desakan agar dia berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi EC yang baru dilantik itu kerana “konflik kepentingan.”
Melalui makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tenaga itu berkata bahawa Rashdan meletakkan jawatan “untuk menumpukan perhatian, tenaga dan usahanya terhadap peranannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baru dilantik.”
Sementara itu, Gamuda dilaporkan media berkata Rashdan telah melepaskan semua tugas sebagai pengarahnya berkuatkuasa hari ini dan akan menyampaikan notisnya sehingga 30 Jun.
“Kumpulan itu mengucapkan semoga berjaya kepada Rashdan untuk usaha masa depannya, termasuk peranannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.
“Rashdan memberi jaminan kepada lembaga pengarah bahawa terdapat pematuhan penuh terhadap semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus yang baik dipatuhi dalam semua perbincangannya di suruhanjaya tenaga,” kata syarikat itu pada satu kenyataan.
Rashdan telah berkhidmat sebagai timbalan pengarah urusan Gamuda sejak 1 Mei 2018, dan dilantik sebagai pengarah alternatif kepada ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Lin Yun Ling, pada 28 Sept tahun yang sama.
Bulan lalu, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pelantikan Rashdan berkuat kuasa 15 Feb, bagi menggantikan Azian Osman yang tamat perkhidmatannya pada 14 Feb.
Bagaimanapun, pemain industri mendakwa keputusan itu ‘tidak sesuai’ dan membangkitkan kebimbangan kaitan Rashdan dengan Gamuda.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim Anwar berkata dia akan meneliti pelantikan itu, menjelaskan “tidak sepatutnya ada sebarang konflik kepentingan.”
Mohammed Rashdan nampaknya memilih untuk menjadi pengerusi Suruhanjaya Tenaga berbanding sebagai Timbalan pengarah Urusan GAMUDA.