Empayar runcit fesyen tempatan, Padini Holdings Berhad, kini berdepan tekanan luar jangka apabila beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Langkah pembekuan tersebut bukan sekadar prosedur biasa. Dalam amalan siasatan kewangan, tindakan di bawah Seksyen 44(1) AMLA lazimnya hanya digunakan apabila wujud keperluan mendesak untuk mengekang aliran dana yang dianggap mencurigakan atau signifikan.
Padini dalam kenyataan rasminya menegaskan bahawa siasatan tidak melibatkan pengurusan dalaman, sebaliknya tertumpu kepada beberapa pihak ketiga luar yang mempunyai urusan dengan kumpulan Padini. Siasatan ini menimbulkan tanda tanya apabila identiti pihak ketiga yang menjadi fokus siasatan tidak didedahkan. Siapa mereka?

Ketiadaan maklumat ini membuka ruang kepada pelbagai spekulasi mengenai siapa sebenarnya yang berada di sebalik aliran transaksi yang membawa kepada pembekuan akaun tersebut.
Dalam konteks siasatan AMLA SPRM, tindakan seperti ini lazimnya bukan langkah ringan dan sering dikaitkan dengan penelitian terhadap rangkaian kewangan yang lebih besar. Dalam rekod Bahagian Siasatan Sektor Swasta SPRM misalnya sangat jelas mafia korporat Victor Chin Boon Long dan sekutunya sehingga ke hari ini tidak pernah diambil tindakan melainkan pihak yang mereka rampas syarikatnya diambil tindakan akaun dibeku, direman dan didakwa di mahkamah. Begitu juga skandal MBI -Teddy Teow yang sekarang hanya disiasat AMLA PDRM. Ini bermakna ada sesuatu lebih besar berlaku terhadap Padini Holdings Bhd.
Walaupun Padini menegaskan tiada salah laku dikenal pasti di pihaknya setakat ini, pembekuan akaun memberi isyarat bahawa terdapat aliran kewangan yang sedang diteliti secara serius oleh pihak berkuasa. Dalam konteks AMLA, tindakan ini sering dikaitkan dengan usaha menjejaki laluan dana, menghalang pemindahan aset dan membongkar rangkaian transaksi yang lebih luas.
Dalam masa yang sama, Padini memberi jaminan bahawa operasi harian kumpulan tidak terjejas dan akaun yang dibekukan bukan merupakan akaun utama. Syarikat juga masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan lain bagi memastikan kesinambungan operasi.
Langkah proaktif turut diambil apabila Padini memulakan semakan dalaman serta melantik penasihat undang-undang luar untuk menangani isu tersebut, termasuk usaha mendapatkan penyahbekuan akaun terlibat.
Namun, persoalan yang lebih besar kekal — mengapa Padini, sebuah syarikat runcit yang kukuh dan stabil, boleh terheret ke dalam siasatan di bawah undang-undang pengubahan wang haram?
Mengapa Padini Jadi Sasaran?
Padini bukan sekadar syarikat biasa. Ia adalah empayar runcit yang dibina selama lebih lima dekad oleh pengasasnya, Yong Pang Chaun, yang masih memegang jawatan Pengarah Urusan dan mengawal hala tuju strategik kumpulan.

Bersama isterinya, Chong Chin Lin, kawalan syarikat kekal dalam tangan keluarga, disokong oleh penglibatan tiga anak mereka dalam operasi harian iaitu Andrew Yong Tze How, sebagai Pengarah Eksekutif, mengetuai aspek teknologi maklumat dan sistem operasi kumpulan, manakala Benjamin Yong Tze Jet mengemudi fungsi teras perniagaan sebagai Ketua Reka Bentuk, Merchandising dan Runcit, sekali gus mempengaruhi arah produk serta prestasi jualan.
Sementara itu, Christopher Yong Tze-Yao memberi tumpuan kepada segmen Brands Outlet, yang menjadi penyumbang utama volum jualan, dengan mengurus rangkaian outlet, strategi harga dan pengembangan pasaran fesyen mampu milik kumpulan.
Dengan rangkaian sekitar 149 cawangan di Malaysia dan lebih 170 di peringkat global, serta hasil mencecah hampir RM2 bilion, Padini mempunyai aliran tunai dan transaksi berskala besar yang melibatkan pelbagai pihak dalam rantaian bekalan dan operasi.
Pemilikan Saham terbesar
Dari sudut pemilikan saham, kawalan Padini jelas tertumpu kepada pengasasnya, Yong Pang Chaun, yang merupakan pemegang saham terbesar melalui pegangan langsung dan tidak langsung. Secara langsung, beliau memegang sekitar 1.67% saham, manakala melalui Yong Pang Chaun Holdings Sdn Bhd, pegangan tidak langsung mencecah kira-kira 43.74%, menjadikan jumlah pengaruh efektif beliau dalam syarikat melebihi 45%. Isterinya, Chong Chin Lin, turut mempunyai pegangan tidak langsung, sekali gus mengukuhkan dominasi keluarga dalam struktur pemilikan. Secara keseluruhan, kombinasi pegangan ini memberikan kawalan kukuh kepada keluarga Yong terhadap keputusan strategik syarikat, walaupun Padini merupakan entiti tersenarai awam.
Dalam masa yang sama, tiga anak mereka — Andrew Yong Tze How, Benjamin Yong Tze Jet dan Christopher Yong Tze-Yao — turut mempunyai pegangan saham tidak langsung dalam kumpulan, walaupun pada kadar yang kecil. Berdasarkan rekod, Andrew memiliki kira-kira 155,000 saham (sekitar 0.02%), Benjamin sekitar 639,950 saham (0.07%), manakala Christopher memegang kira-kira 210,000 saham (0.02%).
Walaupun peratusannya kecil berbanding pegangan induk keluarga, penglibatan aktif mereka dalam lembaga pengarah dan operasi harian menunjukkan bahawa pengaruh sebenar generasi kedua tidak terletak pada pemilikan saham, sebaliknya pada kawalan pengurusan dan peranan strategik dalam mengemudi hala tuju kumpulan.

Pemilikan saham institusi
Selain kawalan keluarga, struktur pemegang saham Padini turut disokong oleh penyertaan kukuh institusi pelaburan utama negara, yang mencerminkan tahap keyakinan terhadap asas perniagaan syarikat. Antara pemegang saham institusi terbesar ialah Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dengan pegangan sekitar 10.10%, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui beberapa akaun yang secara keseluruhan dianggarkan melebihi 8.7%, serta Lembaga Tabung Haji dengan pegangan sekitar 4.40%.

Secara gabungan, tiga institusi utama ini sahaja merangkumi lebih 23% pegangan saham, belum termasuk institusi lain seperti AmanahRaya dan dana antarabangsa. Kehadiran pelabur institusi berskala besar ini lazimnya dilihat sebagai indikator bahawa Padini merupakan syarikat dengan profil risiko yang terkawal, tadbir urus yang stabil dan daya tahan jangka panjang, sekali gus menjadikannya antara kaunter yang dianggap selamat dan konsisten dalam kalangan pelabur institusi.
Dalam konteks ini, risiko untuk terdedah kepada pihak ketiga yang bermasalah bukan sesuatu yang mustahil — walaupun tanpa penglibatan langsung pihak pengurusan atau mungkin ada anak-anak pengasas terlibat.
Struktur & Operasi: Sistem Bersepadu
Padini beroperasi melalui beberapa anak syarikat utama yang membentuk ekosistem perniagaan bersepadu merangkumi reka bentuk, pengeluaran dan runcit. Struktur ini disusun secara strategik bagi memastikan setiap jenama dan segmen dikendalikan oleh entiti khusus.
Antara entiti utama ialah:
- Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd — operator utama rangkaian Brands Outlet, segmen fesyen mampu milik yang menjadi penyumbang volum jualan terbesar kumpulan.
- Padini Corporation Sdn Bhd — mengendalikan jenama utama Padini, termasuk operasi runcit dan pengurusan produk.
- Seed Corporation Sdn Bhd — bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan jenama Seed.
- Vincci Ladies’ Specialities Centre Sdn Bhd — mengurus segmen kasut dan aksesori wanita di bawah jenama Vincci.
- Mikihouse Children’s Wear Sdn Bhd — memberi fokus kepada segmen pakaian kanak-kanak.

Struktur ini mencerminkan model perniagaan Padini yang bersepadu sepenuhnya, di mana setiap rantaian nilai — daripada reka bentuk hingga ke runcit — dikendalikan secara dalaman bagi memastikan kawalan kualiti, kecekapan operasi dan konsistensi jenama.
Prestasi Kewangan Padini: Kukuh, Namun Tidak Kebal Risiko
Padini Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang stabil bagi tahun kewangan 2025 apabila hasil kumpulan meningkat kepada RM1.94 bilion, berbanding RM1.92 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan sederhana sekitar satu peratus ini mencerminkan permintaan runcit yang masih konsisten walaupun dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar, sekali gus mengekalkan kedudukan Padini sebagai antara pemain utama dalam sektor fesyen dan gaya hidup tempatan.

Dari sudut keuntungan, kumpulan merekodkan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM209.4 juta, meningkat daripada RM196.7 juta pada tahun sebelumnya. Prestasi ini didorong oleh penambahbaikan margin kasar, meskipun syarikat berdepan tekanan kos operasi termasuk peningkatan kos tenaga kerja. Namun begitu, tahap keuntungan tersebut masih belum kembali ke paras tertinggi yang pernah dicapai pada 2023, mencerminkan cabaran berterusan dalam mengekalkan margin dalam industri runcit yang semakin kompetitif.
Namun di sebalik angka yang kelihatan kukuh ini, perkembangan semasa memperlihatkan satu realiti penting — kekuatan kewangan tidak semestinya melindungi syarikat daripada risiko luaran.
Dalam kes Padini, pendedahan kepada rangkaian transaksi pihak ketiga menunjukkan bahawa walaupun operasi dan asas perniagaan kekal stabil, syarikat masih boleh terheret ke dalam siasatan apabila aliran kewangan melibatkan entiti luar yang menjadi perhatian pihak berkuasa.
Siapakah pihak ketiga berurusan dengan Padini? Mafia korporat, MBI, penjenayah atau scammer? semuanya akan terjawab selepas ini
