Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat yang mempunyai pegangan institusi pelaburan kerajaan suatu ketika dahulu diwujudkan sebagai instrumen pembangunan negara, bukan sekadar entiti korporat yang mengejar keuntungan semata-mata. Sejak era Dasar Ekonomi Baru (DEB), institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Khazanah Nasional Berhad dan beberapa dana institusi lain memainkan peranan penting dalam membina kekuatan ekonomi Bumiputera, memperkukuh pegangan korporat tempatan serta memastikan kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Melalui pegangan saham strategik dalam syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia, institusi ini bukan sahaja bertindak sebagai pelabur kewangan, tetapi juga sebagai pemegang amanah kepada agenda pembangunan negara. Dalam tempoh beberapa dekad, model ini berjaya melahirkan ekosistem vendor Bumiputera, kontraktor tempatan, usahawan industri serta syarikat-syarikat nasional yang mampu berkembang di peringkat serantau.
Namun begitu, landskap korporat Malaysia hari ini dilihat semakin berubah. Banyak GLC dan syarikat berkaitan institusi pelaburan kerajaan kini dilihat semakin didorong oleh tekanan prestasi pasaran, KPI kewangan dan keuntungan jangka pendek. Fokus utama pengurusan syarikat semakin tertumpu kepada peningkatan harga saham, pengurangan liabiliti, penstrukturan aset dan keuntungan tahunan bagi memenuhi sasaran pasaran modal.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar sama ada mandat asal GLC sebagai instrumen pembangunan negara semakin terhakis.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa syarikat korporat utama yang mempunyai pegangan institusi besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dana berkaitan kerajaan semakin dikaitkan dengan pelbagai kontroversi melibatkan tadbir urus, projek mega serta pendekatan korporat yang dilihat terlalu berorientasikan keuntungan semata-mata.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada matlamat asal penubuhan syarikat strategik negara masih benar-benar dipelihara atau semakin terhakis oleh kepentingan komersial dan permainan korporat tertentu.
Skandal pengambilalihan Sunway- IJM
Antara yang menjadi perhatian ialah kontroversi melibatkan usaha penjualan pegangan saham dalam IJM Corporation Berhad kepada Sunway Berhad, yang dikaitkan dengan kepentingan tokoh korporat Tan Sri Jeffrey Cheah. Walaupun usaha pengambilalihan tersebut akhirnya tidak berjaya, isu itu tetap mencetuskan perdebatan mengenai peranan sebenar pemegang saham institusi seperti KWSP dan PNB dalam mempengaruhi hala tuju syarikat strategik negara.
Masyarakat mula mempersoalkan sama ada institusi pelaburan utama negara masih memainkan peranan aktif sebagai penjaga kepentingan nasional, atau sekadar bertindak sebagai pelabur pasif yang lebih menumpukan pulangan kewangan jangka pendek. Persoalan ini menjadi lebih kritikal apabila melibatkan syarikat yang mempunyai kaitan langsung dengan aset dan infrastruktur strategik negara.
Cubaan penjualan pegangan dalam IJM misalnya dilihat amat sensitif kerana syarikat tersebut terlibat dalam pelbagai aset berkepentingan nasional termasuk konsesi lebuh raya, pelabuhan, pembinaan infrastruktur serta projek-projek strategik lain yang mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi dan keselamatan pembangunan negara dalam jangka panjang.
Artikel berkaitan skandal Sunway- IJM
Boustead Holdings Bhd jadi mangsa
Apa yang berlaku kepada Boustead Holdings Berhad misalnya menjadi antara contoh paling ketara bagaimana kelemahan pengurusan korporat, tekanan hutang serta keputusan pelaburan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan besar kepada syarikat strategik milik institusi berkaitan kerajaan. Sebagai syarikat yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead suatu ketika dahulu dianggap antara konglomerat utama negara dengan penglibatan dalam sektor perladangan, farmaseutikal, hartanah, perdagangan dan industri berat. Namun, tekanan kewangan berpanjangan serta kemerosotan prestasi beberapa anak syarikat menyebabkan Boustead berdepan kerugian besar dan akhirnya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia untuk dijadikan syarikat persendirian.
Langkah penswastaan dan penyahsenaraian tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati pasaran kerana ia bukan sahaja melibatkan kepentingan pelabur institusi, malah secara tidak langsung berkait dengan dana kebajikan serta masa depan anggota tentera yang bergantung kepada LTAT. Keadaan itu turut memberi kesan rantaian kepada anak syarikat pentingnya, Pharmaniaga Berhad, yang kemudiannya tergelincir ke status PN17 selepas mengalami kerugian besar dan isu kewangan yang serius.
Krisis Pharmaniaga menjadi tamparan besar kerana syarikat itu bukan sekadar entiti komersial biasa, tetapi mempunyai peranan strategik dalam sektor bekalan farmaseutikal dan kesihatan negara. Situasi tersebut akhirnya memperlihatkan bagaimana kegagalan tadbir urus, keputusan pelaburan yang lemah serta pendekatan korporat yang terlalu bergantung kepada keuntungan jangka pendek boleh menjejaskan syarikat berkepentingan nasional dan memberi implikasi besar kepada institusi pemegang amanah kerajaan sendiri.
April lalu Datuk Ahmad Nazim, Bekas CEO LTAT dan Pengerusi Boustead Direman SPRM kerana skandal pelaburan saham RM300 juta.Semuanya kerana kelemahan pengurusan, salahguna kuasa dan rasuah.
Felda dan FGV
Begitu juga apa yang berlaku melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad yang pernah dianggap simbol kejayaan model pembangunan ekonomi Bumiputera dan transformasi sektor perladangan negara begitu menyedihkan. Kerugian sejak 2022 dengan hutang lebih RM8 bilion, skandal rasuah dan keuntungan FGV yang susut terus berlarutan hingga kini. Keadaan itu akhirnya memaksa FELDA mengambil langkah untuk menyahsenaraikan FGV daripada Bursa Malaysia bagi mengembalikan kawalan penuh terhadap syarikat perladangan strategik tersebut.
FGV Holdings Bhd telah dinyahsenarai secara rasmi daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Ogos 2025.
Langkah penyahsenaraian FGV dilihat sebagai usaha menyusun semula kedudukan kewangan dan operasi kumpulan, namun pada masa sama turut mencerminkan kegagalan model pengurusan korporat yang sebelum ini terlalu bergantung kepada pendekatan komersial dan pasaran modal tanpa mengambil kira risiko jangka panjang terhadap institusi asal penubuhannya. Isu ini menjadi lebih sensitif kerana FELDA bukan sekadar entiti perniagaan biasa, tetapi institusi yang berkait rapat dengan kebajikan ratusan ribu peneroka serta agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sejak era pembangunan awal negara.
Krisis FELDA-FGV turut membuka semula perdebatan mengenai sejauh mana syarikat berkaitan kerajaan dan institusi strategik negara harus mengejar keuntungan korporat semata-mata, sehingga berisiko mengabaikan mandat asal mereka sebagai instrumen pembangunan sosial, ekonomi dan kestabilan nasional.
Petronas malap di bawah Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Apa jadi kepada Petronas? Sejak pelantikan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, pelbagai isu dalaman dan luaran telah menghantui syarikat minyak nasional itu, menimbulkan persoalan tentang integriti kepimpinan dan hala tuju korporat syarikat.

PETRONAS sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menimbulkan kebimbangan besar terhadap hala tuju syarikat minyak nasional itu. Selain berdepan penurunan pendapatan akibat ketidaktentuan harga minyak global dan tekanan pasaran tenaga dunia, PETRONAS juga mula dikaitkan dengan pelbagai kontroversi melibatkan isu tadbir urus, dakwaan rasuah, penjualan aset strategik serta pertikaian undang-undang bernilai tinggi. Laporan kewangan separuh pertama 2025 menunjukkan pendapatan dan keuntungan PETRONAS merosot ketara berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memaksa syarikat melaksanakan “strategic transformation”, rasionalisasi operasi dan langkah penjimatan besar-besaran.
Keadaan menjadi lebih sensitif apabila PETRONAS mula menjual beberapa aset dan mengurangkan operasi tertentu bagi memperkukuh kedudukan kewangan syarikat. Langkah penstrukturan semula itu turut dikaitkan dengan pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran yang memberi kesan kepada ribuan pekerja tempatan. Dalam masa sama, pelbagai pihak mula mempersoalkan sama ada syarikat strategik negara itu masih mampu mengekalkan peranan asalnya sebagai tonggak ekonomi nasional atau semakin tertekan oleh budaya keuntungan, kecekapan korporat dan tekanan pasaran global semata-mata.

PETRONAS juga tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi berkaitan projek dan dakwaan salah laku korporat. Antara yang mendapat perhatian ialah siasatan berkaitan projek bernilai ratusan juta ringgit melibatkan Salinan antarabangsa kontroversi PETROFAC selain isu prosedur dan tadbir urus projek yang pernah disiasat oleh SPRM.
Lebih membimbangkan apabila timbul pertikaian undang-undang dan dakwaan bahawa PETRONAS berdepan risiko kerugian besar dalam kes melibatkan pelanggaran paten terhadap Kingtime International Ltd yang digunakan oleh PETROFAC. Kes mahkamah pelanggaran paten serta hubungan kontrak dengan Petrofac mencetuskan persoalan mengenai keputusan pengurusan dan risiko kewangan yang terpaksa ditanggung Petronas sehingga RM1 bilion. Dalam keadaan PETRONAS terus berdepan tekanan keuntungan, penjualan aset dan cabaran global sektor tenaga, masyarakat mula melihat bahawa syarikat berkepentingan strategik negara itu kini berdepan krisis yang bukan sekadar melibatkan keuntungan, tetapi juga keyakinan terhadap tadbir urus dan hala tuju masa depannya.
Artikel berkaitan
GLC dan Penyimpangan daripada Agenda Pembangunan Nasional
Dalam banyak keadaan, keputusan korporat yang dibuat hari ini lebih cenderung memihak kepada rasionalisasi kos, pengoptimuman keuntungan dan penyusunan semula aset bagi memuaskan kehendak pasaran pelaburan. Akibatnya, terdapat kebimbangan bahawa vendor tempatan, kontraktor Bumiputera serta pemain industri kecil dan sederhana semakin terpinggir daripada ekosistem pembangunan yang suatu ketika dahulu diwujudkan oleh GLC sendiri.
Hakikatnya, GLC memiliki kelebihan yang tidak dimiliki syarikat swasta biasa. Mereka mempunyai akses kepada projek kerajaan, sokongan dasar, hubungan institusi, pembiayaan strategik dan pengaruh ekonomi yang besar. Keistimewaan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk membina kapasiti industri tempatan dan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor strategik negara, bukannya sekadar menjadi alat untuk memaksimumkan keuntungan jangka pendek.
Lebih membimbangkan apabila terdapat kecenderungan sesetengah syarikat untuk menjual aset strategik, mengecilkan operasi tertentu atau mengurangkan penglibatan vendor tempatan semata-mata untuk memperbaiki penyata kewangan dan mencapai sasaran KPI pengurusan. Walaupun langkah sedemikian mungkin memberikan kesan positif kepada keuntungan tahunan syarikat, ia berpotensi melemahkan struktur ekonomi Bumiputera yang dibina sejak puluhan tahun lalu.
Institusi seperti PNB, KWSP, Tabung Haji dan Khazanah seharusnya memainkan peranan lebih besar daripada sekadar mengejar pulangan dividen dan keuntungan pelaburan. Sebagai pemegang saham institusi terbesar negara, mereka mempunyai tanggungjawab moral dan strategik untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah pengaruh mereka terus memelihara kepentingan nasional, memperkukuh vendor tempatan dan menyokong pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Malaysia tidak boleh menilai kejayaan GLC semata-mata berdasarkan keuntungan tahunan, market capitalisation atau kenaikan harga saham. Ukuran sebenar kejayaan sesebuah GLC juga perlu merangkumi sumbangannya terhadap pembangunan vendor Bumiputera, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi, pembangunan industri tempatan dan kestabilan ekonomi nasional.
Kerana akhirnya, GLC Malaysia tidak diwujudkan hanya untuk menjadi syarikat paling menguntungkan di Bursa Malaysia. Mereka diwujudkan sebagai instrumen pembinaan negara. Dan jika agenda pembangunan nasional mula kalah kepada budaya KPI dan keuntungan jangka pendek, maka negara berisiko kehilangan salah satu asas penting dalam struktur ekonomi Malaysia yang dibina sejak era pasca-DEB.
