KUALA LUMPUR — Syarikat penerbangan kargo MJets Air yang merupakan anak syarikat kepada MMAG Holdings Berhad didakwa sedang berdepan tekanan kewangan serius apabila beberapa pegawai kanan syarikat dikatakan menerima potongan gaji serta kelewatan pembayaran gaji bagi bulan Mei 2026.
Menurut maklumat dalaman yang diterima, Ketua Jabatan di MJets hanya menerima bayaran gaji pada 8 Mei 2026 dengan potongan sebanyak 12.5 peratus, manakala pegawai yang memegang jawatan pengarah pula dikenakan potongan sehingga 15 peratus. Situasi itu didakwa mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan pengurusan tertinggi syarikat.
Difahamkan, Pengurus Sumber Manusia MJets telah meminta kakitangan yang terlibat supaya menandatangani surat persetujuan terhadap potongan gaji tersebut pada minggu ini. Bagaimanapun, majoriti pegawai terbabit dilaporkan enggan menandatangani dokumen berkenaan kerana surat tersebut tidak menyatakan tempoh potongan gaji itu akan dilaksanakan.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan sama ada potongan gaji tersebut dibuat mengikut prosedur undang-undang pekerjaan termasuk mendapat kelulusan atau rujukan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja, ataupun sekadar keputusan dalaman pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Sumber dalaman turut mendakwa keadaan kewangan MJets kini berada pada tahap kritikal sehingga syarikat itu disifatkan “ibarat nyawa-nyawa ikan” dan hanya menunggu masa untuk gulung tikar sekiranya gagal mendapatkan sumber pembiayaan baharu.
Dalam masa sama, dakwaan turut mengaitkan kemerosotan kewangan syarikat dengan kehilangan sumber dana yang sebelum ini didakwa disalurkan oleh mafia korporat kontroversi Victor Chin Boon Long menggunakan dana haram.
Mac lalu, Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia dilaporkan mengesahkan pembekuan kira-kira 500 akaun bank yang dikaitkan dengan Victor Chin Boon Long susulan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Perkembangan itu dipercayai memberi kesan besar terhadap aliran kewangan beberapa entiti korporat yang didakwa mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan rangkaian perniagaan beliau.
Turut disebut dalam dakwaan tersebut ialah nama Rekha Rajasekaran yang kini memegang jawatan Group HR Manager dalam kumpulan MMAG. Beliau didakwa masih memainkan peranan penting dalam pengurusan tenaga kerja serta pelaksanaan keputusan tertentu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kepentingan dalaman kumpulan syarikat berkenaan.

Sebagai balasan terhadap kesetiaan beliau kepada Victor Chin, Rekha Rajasekaran didakwa diberikan peranan lebih besar dalam struktur pengurusan sumber manusia kumpulan syarikat MMAG. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan secara bebas setakat ini.
Setakat ini, pihak MMAG Holdings Berhad dan MJets Air belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan potongan gaji, kelewatan pembayaran gaji atau situasi kewangan syarikat tersebut.
