Satu lagi episod yang membimbangkan sedang berlaku dalam institusi pelaburan paling penting milik Bumiputera. Ketika rakyat masih belum melupakan kontroversi cubaan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad — isu yang pernah dibangkitkan The Corporate Secret — kini muncul pula perkembangan baharu yang menimbulkan persoalan lebih besar mengenai hala tuju sebenar Permodalan Nasional Berhad selepas perubahan kepimpinan tertinggi institusi tersebut.
Abdul Rahman Ahmad disahkan akan meninggalkan jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB pada 31 Mei ini sebelum beralih ke jawatan Pengerusi Sime Darby Berhad. Apakah misi seterusnya akan memusnahkan Sime Darby Bhd yang juga milik saham bumiputera

Namun perhatian sebenar kini tertumpu kepada individu yang disebut-sebut bakal mengambil alih kuasa besar di Menara PNB — Datuk Rizal Rickman Ramli.
Nama Rizal Rickman Ramli bukan asing dalam episod kontroversi korporat yang pernah menggegarkan pasaran sebelum ini. Beliau sebelum ini dikaitkan bersama Abdul Rahman Ahmad sebagai antara tokoh utama dalang di belakang percaturan strategik melibatkan cadangan konsolidasi dan penjualan pegangan IJM kepada Sunway — satu langkah yang menerima bantahan keras daripada rakyat, pemerhati pasaran serta kelompok nasionalis ekonomi Bumiputera.
BACA
Kontroversi itu bukan sekadar isu transaksi korporat biasa. Ramai melihatnya sebagai cubaan tersusun untuk mengubah struktur pemilikan salah satu aset strategik negara. IJM bukan syarikat kecil yang boleh dilihat semata-mata dari sudut keuntungan pasaran. Syarikat itu terlibat dalam pembinaan infrastruktur utama negara, lebuh raya, pelabuhan, pembangunan hartanah dan pelbagai projek strategik berskala nasional.
Sebab itu apabila timbul persepsi bahawa PNB bersedia “melepaskan” pegangan penting dalam IJM, kemarahan rakyat mula memuncak. Media sosial dipenuhi kritikan terhadap pengurusan PNB, manakala portal-portal pendedahan korporat mula mempersoalkan motif sebenar di sebalik percaturan tersebut.
Walaupun rancangan penjualan dan konsolidasi pegangan saham IJM Corporation Berhad sebelum ini akhirnya gagal selepas menerima tekanan awam serta kemarahan rakyat di media sosial, perubahan kepimpinan di Permodalan Nasional Berhad kini kembali mencetuskan kebimbangan bahawa agenda sama mungkin akan dihidupkan semula. Ramai melihat pelantikan pengurusan baharu ini bukan sekadar pertukaran pentadbiran biasa, sebaliknya berpotensi membuka kembali percaturan korporat yang pernah mencetuskan bantahan besar rakyat sebelum ini.
Kini, dengan Abdul Rahman Ahmad berundur dan Datuk Rizal Rickman Ramli dijangka mengambil alih tampuk kuasa di PNB, perkembangan tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai kesinambungan pengaruh kumpulan pengurusan sama yang sebelum ini dikaitkan dengan usaha merombak pegangan aset strategik institusi Melayu melalui pendekatan korporat agresif serta berorientasikan pasaran global.
Bagi pengkritik, isu ini bukan sekadar soal pertukaran jawatan korporat. Ia melibatkan masa depan institusi amanah terbesar Bumiputera yang diwujudkan untuk mempertahankan ekuiti Melayu, bukannya melupuskan aset strategik demi memenuhi agenda keuntungan jangka pendek dan kepentingan elit korporat tertentu.
PNB bukan dana pelaburan biasa. Ia adalah simbol kekuatan ekonomi Bumiputera yang dibina sejak era Tun Abdul Razak untuk memastikan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi moden negara terus dipertahankan. Sebarang keputusan melibatkan syarikat strategik seperti IJM sepatutnya dibuat dengan penuh tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat serta jutaan pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Namun kebimbangan semakin meningkat apabila wujud persepsi bahawa generasi baharu pengurusan korporat kini lebih cenderung melihat syarikat-syarikat berkepentingan nasional sebagai aset dagangan semata-mata — bukan lagi sebagai instrumen pemerkasaan ekonomi bangsa.
Kini rakyat sedang memerhati.
Jika benar Rizal Rickman Ramli bakal menduduki kerusi paling berpengaruh di Menara PNB, beliau bukan sahaja bakal mewarisi kuasa besar terhadap pelaburan negara, tetapi juga beban persepsi awam yang masih belum melupakan episod Sunway–IJM.
Dan satu perkara pasti — rakyat tidak lagi akan berdiam diri apabila melibatkan amanah ekonomi Bumiputera. Episod kontroversi IJM sebelum ini telah membuka mata ramai bahawa setiap percaturan korporat di peringkat tertinggi institusi negara kini akan dipantau dengan lebih dekat.
Kerana bagi ramai pihak, PNB bukan milik elit korporat. PNB adalah amanah rakyat.
