Nampaknya semua kenyataan pemimpin PN meleset yang mahukan Pulai dan Simpang Jeram pintu masuk PN ke Johor.
Calon PH Suhaizan Kaiat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi sekali gus membolehkan parti itu mempertahan kawasan yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub sebelum ini.
Suhaizan, yang bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya, memperoleh 48,283 undi bagi menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada PN dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus pada 10.09 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan Suhaizan menjadi ahli parlimen pertama mewakili kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi dukungan gabungan PH-Barisan Nasional (BN).
Suhaizan juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti termasuk daripada BN atas bantuan mereka.
“Saya lihat kemenangan ini sebagai hadiah buat Allahyarham Salahuddin Ayub.
“Ini juga menunjukkan Bangsa Johor tolak politik kebencian,”
Keputusan itu turut menyaksikan Samsudin terpaksa berputih mata apabila hilang wang deposit.
Suhaizan yang juga naib pengerusi Amanah Johor adalah anak didik Salahuddin dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Allahyarham.
Dia pernah bertanding dalam enam pilihan raya di pelbagai kawasan sejak 2004 antaranya Parlimen Parit Sulong, Parlimen Simpang Renggam (2013), DUN Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).
Pada PRU15, Salahuddin menang dengan majoriti undi 33,174 apabila memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai.
Terdahulu, sejumlah 165,509 pemilih berdaftar di Parlimen Pulai layak memilih wakil rakyat baru bagi menggantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Sebanyak 47 pusat pengundian dengan 294 saluran bagi Parlimen Pulai dibuka tepat lapan pagi dan ditutup pada enam petang.
Menang Simpang Jeram
Sementara itu Calon PH Nazri Abdul Rahman memenangi kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan majoriti 3,514 undi.
Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Menurut data SPR 40,379 pengundi yang layak mengundi pada PRK
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, DUN Simpang Jeram dimenangi Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Lokman Md Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).
Taktik PN di Johor tak menjadi- Khaled
Pemimpin Umno Johor tiba di pusat perkumpulan PH bagi meraikan kemenangan dalam PRK Simpang Jeram dan Pulai.
Barisan itu diketuai Pengerusi Umno Johor Mohd Khaled Nordin dan turut disertai Setiausaha Agung Ahmad Maslan, Ketua Wanita Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azlene Ambros.
Khaled dalam ucapannya berkata, apa yang menjadi kebimbangan Umno adalah keputusan PRN enam negeri, yang didominasi PN, akan mempengaruhi PRK ini.
“Namun keputusan hari ini memberi mesej jelas yang Johor tidak termakan dengan sentimen (kaum dan agama) dan fitnah yang dimainkan di (PRN) enam negeri,” katanya
Sementara itu, Noraini mengalu-alukan “kawan baru Umno di Parlimen”.
“Kami (Wanita Umno) sedia berkhidmat, untuk bantu BN dan PH,” kata ahli Parlimen Parit Sulong itu.