KUALA LUMPUR — MMAG Holdings Berhad mengambil langkah menarik diri daripada perolehan pesawat bernilai RM109.85 juta apabila memeterai perjanjian penamatan bersama GASL Ireland Leasing A-1 Ltd.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan perjanjian jual beli pesawat (Aircraft Sale Agreement, ASA) yang dimeterai pada Julai tahun lalu. Susulan itu, perjanjian pajakan berkaitan pesawat sama turut ditamatkan secara bersama.
Perjanjian asal yang ditandatangani pada 23 Julai 2025 melibatkan pembelian pesawat daripada GASL — sebuah entiti tujuan khas diuruskan oleh Genesis Aircraft Services Ltd — dengan harga tunai sekitar RM109.85 juta. Cadangan itu kemudiannya diluluskan oleh pemegang saham MMAG pada 14 Oktober 2025.
Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan pelan tersebut tidak lagi diteruskan, susulan perubahan besar dalam landskap dalaman syarikat.
MMAG memaklumkan bahawa selepas kelulusan diperoleh, kumpulan berdepan perubahan pengurusan serta penilaian semula hala tuju strategik, khususnya dalam segmen penerbangan. Pada Disember 2025, syarikat menjalankan semakan menyeluruh terhadap strategi perniagaan udara dan memutuskan untuk beralih daripada model kargo pesawat badan sempit semata-mata kepada pendekatan armada campuran melibatkan pesawat badan sempit dan badan lebar.
Langkah ini dilihat sebagai usaha menyesuaikan operasi dengan perubahan permintaan pasaran, di samping meningkatkan fleksibiliti serta potensi pulangan jangka panjang.
Di bawah terma penamatan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa deposit keseluruhan sebanyak kira-kira RM25.96 juta — merangkumi RM22.69 juta bagi pembelian dan RM3.27 juta bagi pajakan — akan digunakan untuk melunaskan komitmen tertunggak, termasuk bayaran pajakan, kerugian dipersetujui serta kos pemulangan pesawat yang dianggarkan sekitar RM23.12 juta.
Sebarang lebihan selepas pelarasan tersebut akan dibayar semula oleh pihak penjual kepada MMAG, manakala sebarang kekurangan akan ditanggung oleh kumpulan itu sendiri.
Perkembangan ini hadir di tengah tekanan terhadap MMAG susulan pembekuan beberapa akaun bank syarikat di bawah siasatan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), yang sebelum ini menimbulkan persoalan terhadap kedudukan kewangan dan hala tuju operasi kumpulan tersebut.
