Perang mulut Rafizi dan Ramanan terus memuncak. Kedua-dua pihak kini dilihat masing-masing memegang “red card” — iaitu pendedahan sensitif yang mencetuskan implikasi lebih besar apabila didedahkan ke ruang awam.
Awal April lalu Menteri Sumber Manusia, R Ramanan mendakwa kononnya RM750 juta dana awam dibazirkan untuk mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini mencetuskan konflik terbuka dengan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Rafizi menafikan dakwaan tersebut, malah menyifatkannya sebagai tidak berasaskan fakta, mengelirukan dan berunsur fitnah yang serius — satu tuduhan yang membuka ruang kepada tindakan undang-undang.
“Saya boleh saman terus dan menang,” tegas Rafizi, memberi isyarat bahawa tindakan mahkamah bukan lagi sekadar retorik.
Serangan Balas Politik- Isu Rasuah NexG & Victor Chin
Kenyataan Ramanan dilihat muncul susulan pendedahan Rafizi berkaitan dakwaan rasuah bernilai RM9.5 juta dalam konflik perebutan saham melibatkan NexG Berhad.
Kes tersebut turut dikaitkan dengan pengakuan mafia korporat Victor Chin Boon Long bahawa beliau telah membayar rasuah RM9.5 juta kepada seorang MP PKR yang disebut sebagai Dato’ Sri Ramanan. Menurut Rafizi Dato’ Ramanan telah berunding membayar semula wang RM9.5 juta itu.
Tidak lama selepas itu muncul pula pendedahan rasuah Vending Machine -NexG kepada kroni Rafizi RM500,000 melalui dua transaksi bank bernilai RM200,000 kepada syarikat GFIS (M) Sdn Bhd (Mohd Harizan) dan RM300,000 dibayar secara tunai. Rafizi Ramli, Harizan dan NexG Bhd menafikan pembayaran itu.
Tuduhan rasuah RM500,000 itu dikatakan sebagai pendahuluan pemberian awal sebelum NexG diberi kontrak Vending Machine RM21.1 juta pada tahun 2023.

Rafizi dan Ramanan berusaha mengalihkan isu dengan cara masing-masing namun perang mulut mereka tidak mungkin reda. Kemungkinan akan lebih banyak isu didedahkan dari perang Rafizi dan Ramanan ini.
Fakta Diputar: ‘RM750 Juta Vending Machine’ Tidak Benar
Rafizi menegaskan bahawa dakwaan kononnya RM750 juta dibelanjakan untuk mesin layan diri adalah naratif yang diputar dan disederhanakan secara mengelirukan.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan untuk pembasmian kemiskinan, dan hanya sebahagian daripadanya digunakan bagi pelbagai komponen IPR.
IPR merangkumi:
- Intan – pembangunan pertanian moden
- Insan – keusahawanan termasuk vending machine
- Ikhsan – sektor perkhidmatan
Jelasnya, mesin layan diri hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan ekosistem program — bukan fokus utama seperti yang didakwa.
Angka Sebenar: RM82 Juta, Bukan RM750 Juta
Mengikut penjelasan rasmi, komponen mesin layan diri hanya melibatkan sekitar RM82 juta, iaitu:
- Bayaran RM700 sebulan bagi setiap peserta
- Sasaran kira-kira 4,900 peserta dalam tempoh tiga tahun
Ini jauh berbeza daripada angka RM750 juta yang dimainkan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dakwaan tersebut dibuat secara cuai atau sengaja mengelirukan.
Lebih penting, aset mesin tersebut kekal milik kerajaan dan akan terus menjana pendapatan kepada peserta baharu — satu model berasaskan aset, bukan bantuan tunai.
Tuduhan bahawa ratusan juta dana awam telah disalah guna bukanlah isu remeh atau sekadar perbalahan politik biasa. Ia membawa implikasi yang sangat serius, khususnya apabila melibatkan angka besar dan dasar kerajaan yang menyentuh kepentingan rakyat. Dakwaan sebegini berpotensi menjejaskan reputasi individu serta kementerian yang terlibat, di samping mengelirukan rakyat terhadap pelaksanaan sebenar dasar kerajaan. Lebih membimbangkan, ia juga boleh mencetuskan kegusaran awam dan menghakis keyakinan terhadap institusi pentadbiran negara.
Dalam kerangka undang-undang, kenyataan yang dibuat tanpa asas fakta yang kukuh boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk fitnah yang jelas, khususnya apabila ia memberi gambaran negatif yang tidak benar terhadap pihak tertentu. Sekiranya dibuktikan, ia bukan sahaja merosakkan reputasi, malah membuka ruang kepada tindakan sivil yang serius termasuk tuntutan ganti rugi.
Kenyataan R Ramanan yang dibuat dalam forum politik, termasuk sindiran terbuka kepada Anwar Ibrahim mengenai pemilihan Menteri Ekonomi, kini menimbulkan persoalan besar terhadap kredibilitinya. Kritikan tersebut bersifat populis berbanding hujah yang disokong oleh data atau angka rasmi yang sah.
Menuju jalan ke mahkamah
Dengan kenyataan yang semakin keras dan berulang, Rafizi telah memberi isyarat jelas bahawa beliau bersedia mempertahankan reputasinya melalui saluran undang-undang.
Adakah Ramanan bersedia membuktikan dakwaannya di mahkamah atau mungkin Ramanan juga menyaman Rafizi di mahkamah berhubung kenyataan rasuah RM9.5 juta duit Victor Chin Boon Long.
