Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan bagi mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya, akan diputuskan hari ini
Keputusan akan dibuat panel lima hakim Mahkamah Rayuan (panel lain) dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi BERSATU.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.
Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Sementara itu, dalam permohonan notis usulnya bagi semakan, Muhyiddin berkata, keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Selain itu, Pengerusi PN berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.