Isu kutipan zakat di Perlis kembali menjadi perhatian apabila peranan NGO Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam sistem pengurusan zakat negeri itu dilihat bukan sekadar sebagai pelaksana, tetapi turut berada dalam kedudukan yang kompleks — sebagai pengutip, penerima dan pengagih dana zakat.

Dalam struktur yang dibenarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), IKRAM diberi ruang untuk mengutip zakat dan pada masa sama menerima sehingga 50 peratus daripada kutipan tersebut untuk diagihkan sendiri di bawah kategori asnaf fi sabilillah. Secara teknikal, model ini sah dari sudut tatakelola. Namun dari sudut kepercayaan awam, ia membuka persoalan yang jauh lebih besar.
Kontroversi ini bukan baharu. Seawal 2017, beberapa pendedahan di media telah mendedahkan dakwaan mengenai kutipan zakat oleh IKRAM, termasuk isu kutipan di luar Perlis yang mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan institusi zakat negeri lain.

Lebih membimbangkan, kutipan tersebut dikaitkan dengan koperasi, termasuk koperasi milik IKRAM, Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB) yang didakwa terlibat dalam pengurusan kutipan zakat melalui kaedah rundingan terus. Isu ini turut menarik perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan siasatan yang dikaitkan dengan Mufti Perlis Dr Maza ketika itu memberi projek kutipan kepada IKRAM. Status kes SPRM Dr Maza tidak diketahui hingga kini.
Namun, dilihat IKRAM bukan sahaja mengembangkan operasi kutipan zakat melalui KIMB, malah turut melibatkan beberapa entiti lain di bawah pengaruhnya, termasuk IKRAM Hulu Selangor, syarikat berkepentingan Pengkalan Sutramas Sdn. Bhd. (PSSB) dan Ihsan Care Berhad (ICB).
Kepimpinan IKRAM pula silih berganti dari semasa ke semasa. Bagi sesi 2026–2030, pertubuhan itu diterajui oleh Hj Badlishah Sham Baharin sebagai Presiden dan Jusni Yusoff sebagai Timbalan Presiden.

Apakah atasan IKRAM terlibat? tak mungkin dia hanya digerakkan oleh entiti kecil IKRAM tanpa kelulusan Presiden IKRAM pusat.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 telah memberi isyarat awal mengenai kelemahan dalam aspek pengurusan dan agihan zakat di Perlis. Begitu banyak yang mencurigakan. Audit menegaskan keperluan pemantauan lebih rapi terhadap keberkesanan agihan. Ini membawa kepada persoalan kritikal sejauh mana 60 peratus dana yang dipulangkan kepada ejen seperti IKRAM benar-benar sampai kepada asnaf yang layak, dan sejauh mana ia digunakan mengikut keutamaan yang ditetapkan?

Lebih membimbangkan, ramai pembayar zakat mungkin tidak menyedari bahawa apabila mereka membayar melalui IKRAM, sebahagian besar dana tersebut tidak diurus sepenuhnya oleh MAIPs, sebaliknya diagihkan oleh NGO itu sendiri. Kekurangan pendedahan yang jelas mengenai mekanisme ini menimbulkan isu “informed consent” — adakah pembayar benar-benar memahami ke mana wang mereka disalurkan?
Isu zakat Perlis ini bukan semata-mata soal sah atau tidak dari sudut peraturan. Ia adalah soal integriti sistem dan amanah kepada pembayar zakat. Selagi struktur yang membenarkan “kutip, ambil dan agih sendiri” tidak disertai dengan tahap ketelusan serta audit bebas yang tinggi, selagi itu persoalan akan terus berlegar.
Persoalannya, bagaimana entiti seperti IKRAM Hulu Selangor, Pengkalan Sutramas Sdn. Bhd. (PSSB), dan Ihsan Care Berhad (ICB) ini terlibat dalam ekosistem kutipan zakat?
Menurut laporan, IKRAM bertindak sebagai ejen pemasaran bagi pembayaran zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui aplikasi TULUS. Dalam masa sama, Pengkalan Sutramas Sdn. Bhd dilantik sebagai pengurus dana, manakala ICB berperanan sebagai badan pemantau atau Oversight Advisory Committee.
IKRAM sememangnya dikenali dengan operasi kutipan zakat merentas negeri bagi pihak MAIPs sejak 2017 lagi. Namun, pendekatan kali ini dilihat melibatkan secara langsung NGO peringkat daerahnya, iaitu IKRAM Hulu Selangor.
Lebih signifikan, setiap tahun IKRAM dilaporkan menerima pulangan melebihi 60% daripada jumlah kutipan zakat yang dipromosikan.
Konsep Zakat Ta’awun Digunakan
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018, pemulangan sehingga 60% ini dilaksanakan di bawah program Zakat Ta’awun, iaitu konsep tolong-menolong antara majlis agama dan NGO melalui mekanisme wakalah.
Secara asasnya, konsep wakalah ini bertujuan membolehkan agihan zakat dilakukan sendiri oleh wakil, dengan harapan ia dapat disalurkan kepada asnaf secara lebih cepat dan efisien.
Namun begitu, mekanisme ini turut membuka ruang kepada risiko integriti yang serius sekiranya berlaku pelanggaran syarat wakalah. Antara bentuk penyalahgunaan yang dikenal pasti termasuk agihan kepada pihak yang tidak layak, atau penggunaan dana dengan cara yang memberi manfaat kepada pihak tertentu, termasuk pembayar zakat sendiri.
Dalam kes IKRAM ketika ini, timbul dakwaan bahawa konsep Zakat Ta’awun tidak lagi diamalkan sepenuhnya. Sebaliknya, 60% dana yang dipulangkan diklasifikasikan di bawah kategori Asnaf Fisabilillah, sekali gus memberi kuasa penuh kepada NGO untuk mengurus dan menggunakan dana tersebut tanpa keperluan agihan kepada kategori asnaf lain.
Di sinilah timbul persoalan mengenai potensi ketirisan dan penyalahgunaan dana zakat.
SIAPA DALAM IKRAM HULU SELANGOR, PENGKALAN SUTRAMAS SDN. BHD. (PSSB) DAN IHSAN CARE BERHAD (ICB) ?
IKRAM Hulu Selangor diketuai oleh Fakhruddin Abd Karim sebagai Pengerusi, dengan Ami Abdul Halek sebagai Timbalan, Ustaz Ramle Mey sebagai Pengerusi Tetap, serta Mohd Amran Sakir sebagai ahli jawatankuasa. Kesemua individu ini dilaporkan telah ditahan oleh SPRM.

Dana zakat yang dipulangkan kepada IKRAM Hulu Selangor kemudiannya disalurkan ke dalam Pengkalan Sutramas Sdn. Bhd. (PSSB), sebuah syarikat milik Fakhruddin Abd Karim sendiri.

Dalam erti kata lain, IKRAM Hulu Selangor melantik PSSB sebagai pengurus dana, dan sebahagian besar dana zakat — sekitar 60% yang dipulangkan oleh MAIPs — digunakan sebagai modal pelaburan dalam sektor hartanah, perniagaan dan aktiviti lain.
Jumlah keseluruhan dana yang terlibat dianggarkan mencecah RM227.1 juta secara kumulatif.
Laporan tahunan PSSB pula menunjukkan syarikat itu mengenakan yuran pengurusan sebanyak 20% sebagai konsultan projek. Lebih membimbangkan, sekiranya pelaburan mencatat keuntungan, PSSB mengambil sehingga 70% keuntungan, manakala hanya 30% disalurkan kepada pihak NGO IKRAM Hulu Selangor.
Ini bermakna syarikat milik individu sama berpotensi meraih keuntungan besar tanpa menanggung liabiliti yang seimbang.
Konflik Kepentingan Serius
Ihsan Care Berhad (ICB), satu lagi entiti berkaitan IKRAM, turut dipengerusikan oleh Fakhruddin Abd Karim. Syarikat ini dilantik sebagai badan pemantau untuk mengawasi semua urus niaga dan pelaburan yang dilaksanakan oleh PSSB.


Secara struktur, PSSB perlu mendapatkan kelulusan daripada ICB bagi setiap keputusan pelaburan.
Namun, persoalan besar timbul apabila individu yang sama — Fakhruddin Abd Karim — mempengerusikan ketiga-tiga entiti utama tersebut: IKRAM Hulu Selangor, PSSB dan ICB.

Situasi ini jelas menimbulkan konflik kepentingan yang serius, malah berpotensi melibatkan kesalahan jenayah seperti pecah amanah (criminal breach of trust), apabila keputusan dibuat untuk memberi manfaat kepada entiti yang mempunyai kepentingan langsung terhadap dirinya sendiri.
Skandal kutipan zakat meletup.
Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan Fakhruddin Abd Karim bersama beberapa individu lain, termasuk Timbalan Pengerusi NGO IKRAM Hulu Selangor, kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, tangkapan dilakukan dalam satu operasi berasingan sekitar Lembah Klang antara jam 3 hingga 5 petang. Seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 50-an turut ditahan lebih awal pada jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk Fakhruddin yang juga merupakan pengarah syarikat Pengkalan Sutramas Sdn. Bhd., dipercayai bersubahat dalam kegiatan penyelewengan tersebut dalam tempoh antara tahun 2018 hingga 2024.
Fakhruddin turut didakwa memindahkan dana berjumlah kira-kira RM230 juta ke dalam akaun syarikat miliknya, yang kemudiannya digunakan bagi tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi.
Siasatan kini tertumpu kepada unsur penyelewengan dana awam, memandangkan NGO berkenaan merupakan sebuah pertubuhan yang menguruskan sumbangan orang ramai bagi membantu golongan memerlukan.
Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes, selain rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta. Bayangkan kekayaan Fakhruddin Abd Karim dan IKRAM. Apakah beliau menjaga kepentingan IKRAM atau membolotnya secara sendirian?
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor untuk permohonan reman.

SPRM mesti membongkar misteri wang zakat lebih RM230 juta ini. Sitaan kereta mewah dan akaun menunjukkan mereka mencuri dana zakat ini dari kutipan 60 peratus dan juga 20 peratus yuran perkhidmatan melalui syarikat PSSB. Korek siapa lagi terlibat sehingga IKRAM Pusat atau mungkin ada pemimpin di belakang tabir.
