Apa sudah jadi kepada Ranhill Utilities Bhd? Selepas CEO SAJ direman SPRM dan memecat CEOnya Muhamad Faizal Aliar digantikan dengan Anuar Abdul Ghani berkuat kuasa 16 Mei 2024 kini Subsidiari YTL Power International Bhd, SIPP Power Sdn Bhd membeli 405.18 juta saham atau 31.42% kepentingan dalam Ranhill Utilities Bhd pada harga RM405.18 juta atau 99.5 sen sesaham.
Syor Baca – Rasuah RM3.3 juta: Faizal Aliar CEO Ranhill SAJ ditahan SPRM
Blok saham itu dimiliki oleh pemegang saham utamanya, Tan Sri Hamdan Mohamad – Hamdan Inc (Labuan) Pte Ltd dan Yayasan Hamdan (L), menurut YTL Power dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Apakah Tan Sri Hamdan Mohamad dipaksa menjual sahamnya? atau Tan Sri Hamdan Mohamad sudah bosan dengan ‘game’ tertentu pihak yang memalukannya dengan siasatan kes SPRM?
Menurut pemfailan itu, SIPP Power yang 70% sahamnya dimiliki YTL Power telah menandatangani perjanjian pembelian saham tanpa syarat dengan Hamdan dan dua unit pelaburannya 28 Mei lalu.
Transaksi terkini akan meningkatkan kepentingan langsung SIPP Power kepada 34.32% daripada 2.9%. Oleh itu, SIPP Power bersama YTL Power secara kolektif akan memiliki 53.19% pegangan dalam Ranhill, meningkat ketimbang 21.77%.
Sebelum ini YTL Power muncul sebagai pemegang saham besar Ranhill pada 1 November 2023, selepas memperoleh 243.33 juta saham (bersamaan dengan 18.87% kepentingan) daripada Cheval Infrastructure Fund LP.
Memandangkan peningkatan dalam pegangan saham, SIPP Power berkewajipan untuk membuat tawaran am mandatori pada 99.5 sen sesaham untuk membeli semua saham Ranhill yang belum dimilikinya. MGO akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman.
Penyelidikan TA Securities sebelum ini telah menggesa para pelabur Ranhill Utilities Bhd untuk menolak tawaran pengambilalihan mandatori (MTO) oleh YTL Power International Bhd sebanyak 99.5 sen kerana harga tersebut bagi penyedia perkhidmatan air adalah lebih rendah daripada harga sasaran RM1.06/saham.
Memandangkan Ranhill ditutup pada RM1.35/saham pada 28 Mei atau 35.7% lebih tinggi daripada harga MTO serta hakikat bahawa YTL Power berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Ranhill, pelabur lebih baik menjual saham di pasaran terbuka, menurut firma penyelidikan tersebut.
Bagaimanpun Ranhill telah mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah menerima tawaran mandatori pada 99.5 sen sesaham pada hari Selasa.
Walau bagaimanapun, SIPP Power berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Ranhill.
Blok saham itu akan bertukar tangan melalui urus niaga perniagaan langsung dalam dua peringkat yang terdiri daripada 290.58 juta saham jualan untuk tranche pertama dan 114.6 juta saham jualan untuk tranche kedua, kata pemfailan itu.
Menurut YTL Power, pengambilalihan itu mewakili peluang untuk memperoleh perniagaan matang yang beroperasi dalam segmen yang berkait rapat dengan kecekapan teras kumpulan sedia ada dan akan melengkapkan portfolio utilitinya, dari segi geografi dan operasi.
Secara khususnya, Ranhill mempunyai hak eksklusif untuk perkhidmatan bekalan air Johor dan kehadiran dalam sektor kuasa Sabah.
Kumpulan itu sedang giat mengembangkan operasi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui loji solar berskala besar (LSS4) 50MW yang akan beroperasi tidak lama lagi di Bidor, Perak.
Begitu juga YTL Power sedang membina kehadirannya di Johor dan RE melalui fasa satu yang akan datang daripada pusat data 72MW dan ladang solar 500MW di Kulai, Johor.
YTL Power juga telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam eksport RE ke Singapura, sementara menunggu rangka kerja eksport dimuktamadkan oleh kerajaan.
Tan Sri Hamdan, pengasas kumpulan Ranhill, telah mengawal kumpulan itu sejak mengambil alih status penyenaraian Symphony House Bhd pada Disember 2015.
Beliau juga menganggotai lembaga pengarah anak syarikat Ranhill dan syarikat sendirian berhadnya yang lain.
Hamdan ialah benefisiari tunggal Yayasan Hamdan sebagai pemegang saham utama Ranhill, yang secara langsung memiliki keseluruhan pegangan dalam Hamdan Inc, sebuah syarikat yang diperbadankan di Labuan.
Dengan pembelian kepentingan Ranhill Utilities oleh Taikun YTL ini bermakna satu lagi syarikat senarai awam milik bumiputera telah diambil alih oleh bukan bumiputera dan tumbang lagi syarikat ekuitinya dimiliki orang Melayu. Insiden penangkapan CEO Ranhill SAJ Sdn Bhd nampaknya pencetus mempercepatkan pengambilalihan saham Ranhill ini.