Apa sudah jadi? Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mendesak peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman mereka menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan berkenaan isu bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion sehingga operasi penyitaan dan serbuan dibuat ke atas usaha mendapatkan dokumen di bawah seksyen 31(1) Akta SPRM pada 6 Oktober 2023
BACA – Bon 1MDB USD6.5 bilion: SPRM saman firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership & Chetan Jethwani
BACA – Penyelesaian 1MDB-Goldman Sachs rugikan Malaysia, apa sebenarnya Rosli Dahlan peguam Muhyiddin buat?
Hari ini SPRM mengumumkan tidak akan meneruskan samannya bagi mendapatkan dokumen yang dipegang oleh dua firma guaman itu.
Perkara ini didedahkan dalam surat Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How kepada Hakim K Muniandy, memohon tarikh 17 Jan untuk mendengar permohonan Rosli Dahlan agar saman itu dibatalkan, dikosongkan.
Menurut Law Chin How yang juga terkenal dengan kes Mafia Korporat menyatakan SPRM tidak berhasrat meneruskan perkara itu.
Sebaliknya, hakim diminta menjalankan pengurusan kes minggu ini untuk mengeluarkan arahan lanjut berhubung saman itu.
Permohonan Rosli agar saman itu dibatalkan, yang difailkan bulan lalu, mendakwa tindakan SPRM menyalahgunakan proses mahkamah dan dirancang untuk mencemarkan reputasinya.
Pihak pendakwaan juga menghantar surat serupa kepada Hakim Jamil Hussin, memohon tarikh 2 Jan bagi pendengaran saman terhadap peguam Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co, dikosongkan.
Sementara itu, SPRM juga mahu permohonan pencelah bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu disertakan dalam usul jenayah, yang dijadualkan didengar di hadapan Jamil pada 8 Jan, ditarik balik.
Dalam permohonannya, Goldman Sachs berkata, sebarang penyerahan dokumen terlindung berkaitan penyelesaian dengan kerajaan, yang dibuat tiga tahun lalu, kepada SPRM akan menyebabkan kemudaratan yang besar.
Ia juga berisiko menjejaskan kedudukannya dalam pertikaian timbang tara yang sedang berlangsung dengan Putrajaya.
Pada 11 Okt, SPRM memfailkan dua usul – satu terhadap Rosli dan firmanya, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS); dan satu lagi terhadap Chetan dan firma guamannya.
Menurut SPRM, kedua-dua peguam itu enggan membenarkan pegawainya mencari dokumen ketika kunjungan pada 6 Okt lalu.
Suruhanjaya itu berkata, peguam-peguam tersebut mengambil pendirian bahawa dokumen berkenaan sebahagian daripada komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam.
Peguam-peguam itu mendakwa SPRM mesti mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 46(2) Akta SPRM, dibaca bersama Seksyen 126(1) Akta Keterangan, untuk pendedahan komunikasi terlindung.
Dalam afidavit berasingan untuk menyokong setiap permohonan, Pegawai Penyiasat SPRM Sabri Latif berkata, RDS dilantik sebagai penasihat undang-undang 1MDB dan terlibat dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian dimeterai bersama Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020.
Chetan Jethwani & Co ialah peguam cara bagi Goldman Sachs.