
Kelantan kini menjadi tumpuan pihak berkuasa selepas beberapa usahawan kosmetik dan pempengaruh media sosial dikesan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah serta penggubahan wang haram. Kumpulan ini bukan sekadar pengedar kecil tetapi dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket yang mengawal rangkaian lengkap dari tempahan hingga penghantaran dadah.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, individu-individu ini memainkan peranan sebagai penyuntik modal kepada kegiatan haram tersebut. Mereka menggunakan individu lain dalam urusan jual beli dadah bagi mengelakkan sebarang kaitan langsung dengan aktiviti jenayah tersebut.
“Mereka sangat licik dalam mengatur strategi sehingga menyukarkan pihak polis untuk mengaitkan mereka sebagai dalang utama. Mereka berselindung di sebalik perniagaan kosmetik dan perniagaan lain supaya kegiatan terlarang mereka sukar dikesan,” katanya.
Polis kini menggunakan pelbagai strategi bagi mendapatkan bukti yang mengaitkan mereka dalam kegiatan ini. Beberapa individu yang menunjukkan kemewahan luar biasa turut berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa.
“Fikir secara logik, produk kosmetik mereka tidak dikenali ramai, mungkin tiada siapa yang membeli, tetapi mereka memiliki deretan kereta mewah termasuk Lamborghini. Mereka juga sering mempamerkan wang tunai dalam jumlah besar di media sosial walaupun baru sahaja melancarkan produk,” katanya.
Kes-Kes Sebelumnya Menunjukkan Modus Operandi Sama
Polis Kelantan sebelum ini telah melakukan beberapa tangkapan berkaitan kes pengedaran dadah yang membabitkan pengasas produk dan usahawan kosmetik.
Kes 2020 – Seorang pengasas produk ditahan bersama dadah bernilai RM5 juta. Perniagaan yang dijalankan hanya menjadi topeng kepada kegiatan haram.


Kes 2021 – Seorang usahawan kosmetik bergelar Datin ditahan kerana terlibat dalam pengedaran dadah.

Kes 2023 – Sindiket dadah diketuai ahli perniagaan di Kelantan dikesan menggunakan perniagaan sebagai saluran untuk mencuci wang haram dan mengaburi pihak berkuasa.
Polis memberi amaran keras kepada individu-individu yang terlibat dan akan terus memperketatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati bersalah.

Sementara itu Seorang peguam hari ini mendakwa terdapat pengasas produk menerima pelaburan daripada ‘pihak ketiga’ dalam aktiviti perniagaan mereka.
Muhammad Hasif Hassan berkata, modal dilabur itu dipercayai hasil daripada aktiviti menyalahi undang undang seperti berkait dadah, judi haram, scam, pelaburan haram, along serta tukaran mata wang asing (forex) haram.
“Ada juga yang terbabit secara langsung dalam aktiviti haram dan menubuhkan perniagaan dengan modal daripada hasil yang menyalahi undang-undang.
“Ia dilakukan bagi mengaburi mata penguat kuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan.
“Ini termasuk pengasas produk kecantikan yang mendakwa berjaya menjana pendapatan lumayan daripada perniagaan mereka,” dakwanya.
Muhammad Hasif turut mendakwa bahawa seperkara yang beliau perhatikan ialah walaupun golongan itu nampak mewah dengan wang tunai banyak, jarang sekali mereka membeli barangan mahal menggunakan kad kredit atau debit.
“Apabila wang banyak dimasukkan ke dalam akaun bank bagi kegunaan kad debit, sudah tentu pihak bank akan mengetahui aliran tunai perniagaan mereka yang bercampur dengan wang haram berkenaan. Ini yang mereka mahu elakkan,” dakwanya.
Peguam itu berkata, begitu juga dengan penggunaan kad kredit kerana untuk memohonnya perlu disertakan bukti pendapatan dan rekod dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau mendakwa bahawa golongan terbabit akan mengelak berurusan dengan pihak kerajaan.
“Justeru, jangan terkejut jika ada dalam kalangan pengasas produk pergi membeli barangan mahal di kedai ternama dengan membawa wang tunai dan tidak menggunakan kad kredit atau debit.
“Tidak mustahil ada dalam kalangan mereka yang menyimpan harta dan wang haram di dalam ‘safe house’ dan bukan di mana-mana institusi kewangan,” dakwanya lagi.