Kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran daripada Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk bagi tujuan mengerjakan ibadah haji.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata langkah itu bagi memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya Simpanan Asas sebanyak RM240,000 bagi kelangsungan hidup ketika persaraan.
“KWSP adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu ahli menyediakan simpanan persaraan demi keperluan dan kesejahteraan hidup pada hari tua,”
“Pengeluaran haji bagaimanapun boleh dilakukan melalui Akaun Sejahtera yang mula diperkenalkan sejak 2013 bagi ahli beragama Islam di bawah usia 55 tahun dan terpilih untuk mengerjakan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Sejak diperkenalkan, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-JERLUN) sama ada kerajaan bercadang untuk mengubah dasar untuk membenarkan pekerja yang belum mencapai usia persaraan mengeluarkan Akaun Satu (Persaraan) bagi tujuan mengerjakan haji jika pekerja itu sudah terpilih untuk mengerjakan ibadah itu dan jumlah ahli KWSP yang dibenarkan membuat pengeluaran Akaun Dua (Sejahtera) atau Ketiga (Fleksibel).
Hui Ying menjelaskan, Hui Ying berkata, Akaun Persaraan, yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, bertujuan sebagai simpanan persaraan, yang membabitkan 75 peratus daripada keseluruhan caruman.
“Walaupun begitu, ahli turut dibenarkan untuk membuat pengeluaran bagi tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesihatan (penyakit kritikal dan kesuburan), serta pengeluaran pada usia 50 tahun melalui Akaun Sejahtera.
“Akaun Fleksibel turut diwujudkan bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa,” katanya .
SOALAN PARLIMEN
JAWAPAN PENUH DISEDIAKAN PEGAWAI MOF
Jawapan bagi Soalan Tambahan 1
- Untuk makluman Yang Berhormat, KWSP adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang diberi mandat oleh Kerajaan untuk membantu ahli menyediakan simpanan persaraan demi keperluan dan kesejahteraan hidup pada hari tua.
- Akaun Persaraan (dahulunya dikenali sebagai Akaun 1) bertujuan sebagai simpanan persaraan dan terdiri daripada 75% caruman. Simpanan ini hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 55 tahun. Kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran daripada akaun ini bagi memastikan ahli sekurang-kurangnya mempunyai Simpanan Asas sebanyak RM240,000 bagi memastikan kelangsungan hidup semasa persaraan.
- Meskipun begitu, ahli turut dibenarkan untuk membuat pengeluaran bagi tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesihatan (penyakit kritikal dan kesuburan), serta pengeluaran pada umur 50 tahun melalui Akaun Sejahtera. Akaun Fleksibel turut diwujudkan bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa.
- Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran Haji daripada Akaun Sejahtera telah diluluskan dengan jumlah amaun pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan.
Jawapan bagi Soalan Tambahan 2
- Untuk makluman Yang Berhormat, pelbagai langkah dan inisiatif telah, sedang, dan akan dijalankan oleh KWSP bagi membantu ahlinya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.
- Dalam usaha membantu ahli membina simpanan persaraan, KWSP telah menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke KWSP. Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11% pada bila-bila masa. Setakat Ogos 2024, seramai 263,000 atau 3.3% daripada jumlah ahli aktif formal KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja.
- Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa melalui Caruman Sukarela bagi menambah simpanan mereka, tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun, bermula 1 Jun 2023.
- Caruman sukarela ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui saluran aplikasi mudah alih, perbankan internet, BSN, kaunter ejen bank, dan kaunter KWSP. Pada tahun 2024, seramai 872,000 ahli atau 10.2% daripada ahli aktif telah membuat caruman sukarela setakat 31 Ogos 2024, dengan jumlah amaun caruman sebanyak RM9.39 bilion.
- Untuk makluman Yang Berhormat, KWSP membenarkan individu untuk berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun. Ini adalah sebahagian daripada usaha KWSP untuk menggalakkan simpanan dan memanfaatkan gandaan dividen lebih awal.
- Walaupun mereka yang berusia di bawah 16 tahun biasanya tidak bekerja secara formal, mereka boleh membuat caruman sendiri atau caruman daripada pihak lain (seperti ibu bapa) ke dalam akaun KWSP. Tiada amaun minimum ditetapkan, namun caruman sukarela adalah tertakluk kepada had maksimum RM100,000 setahun. Ini adalah langkah yang baik bagi golongan muda untuk mula menyimpan dan memupuk kesedaran tentang pentingnya simpanan jangka panjang.
- Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan 2% daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka. Sejak dilancarkan pada Mac 2023, lebih kurang 86,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang melibatkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos 2024.
- Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan dalam Belanjawan 2025 telah mengumumkan penambahbaikan program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu.
- Kerajaan juga menyediakan kadar insentif padanan bagi program i-Suri untuk ahli yang berdaftar di bawah program e-Kasih sebanyak 50% daripada jumlah caruman tahunan, dan turut dilanjutkan pada tahun 2025. Inisiatif ini tertakluk kepada had maksimum insentif padanan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup.