Bekas pengurus besar Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan seorang wanita didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan bersubahat menipu syarikat itu bagi meluluskan pembayaran tuntutan RM708,000 berhubung projek pembinaan Mayang Mall di Terengganu.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairul Anuar Abd Samad, 49, dan bekas penolong pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis (M) Sdn Bhd Rosliza Lah, 47, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pilihan hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara 30 hari jika mereka gagal membayar denda.
Khairul Anuar didakwa bersubahat dengan Mohd Azhari Che Omar, 44, yang ketika itu perunding Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) untuk menipu PHB dengan membantu Mohd Azhari menandatangani dokumen “confirmation for payment” bertarikh 16 Nov 2020 bagi meluluskan pembayaran “progress claim” oleh Syarikat Gafis (M) Sdn Bhd berjumlah RM708,000.
Pembayaran itu membabitkan kerja-kerja bagi projek “Cadangan Membina dan Menyiapkan Pembangunan Bercampur Fasa 1” untuk pusat beli-belah tujuh tingkat di Terengganu itu sehingga mendorong PHB membuat pembayaran yang dituntut oleh Syarikat Gafis pada 9 Dis 2020.
Pembayaran itu tidak akan dibuat jika PHB mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan.
Rosliza pula didakwa bersubahat dengan Mohd Azhari dengan membantu lelaki itu menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk menipu PHB dengan cara memperakukan bahawa Syarikat Gafis layak mendapat pembayaran bagi projek sama.
Khairul Anuar dituduh melakukan kesalahan itu di PHB, Blok D, Dataran PHB di Shah Alam, Selangor antara 1 Dis dan 9 Dis 2020, manakala Rosliza di Pejabat YHS Associates Sdn Bhd di Pandan Jaya di sini pada 6 Nov 2020.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Fadhly Mohd Zamry berkata, pihak pendakwaan tidak membantah hukuman denda RM30,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh, sepertimana dipersetujui kedua-dua pihak dalam rundingan bagi pengakuan bersalah untuk tuduhan pilihan yang ditawarkan.
Mohd Fikah Sanusi yang mewakili kedua-dua tertuduh selaku peguam memohon hukuman denda minimum dan anak guamnya turut memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Pada 11 Okt lepas, Mohd Azhari didenda RM300,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga tuduhan pilihan menipu syarikat PHB berhubung projek sama.