Keputusan PRN 6 negeri telah dibuat. 3 negeri kekal bawah PH-BN dan 3 lagi kekal Perikatan Nasional.
Ramai berkata ia satu amaran atau referendum rakyat memilih terhadap Kerajaan PH-BN sebuah gabungan yang baru berusia 8 bulan.
PM Anwar Ibrahim semalam berkata menghormati pilihan rakyat dan akan meneruskan kerja Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal. Keputusan PRN 6 negeri tidak mengubah keputusan kerajaan Persekutuan sekarang masih diperintah oleh Kerajaan Perpaduan yang berusia kurang setahun.
Ahli Parlimen PKR Wong Chen memberitahu kerajaan keputusan PRN semalam adalah “seruan” untuk melakukan reformasi dan perubahan.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang mana ia akan membentuk kerajaan negeri baharu dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional berjaya melakukan penembusan yang di tiga negeri berkenaan selain kemenangan besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Walaupun keputusan keseluruhan adalah 3-3, pilihan raya negeri ini menjadi pertarungan sengit untuk PH-BN,” kata Ahli Parlimen Subang itu di Twitter.
“Pilihan raya negeri ini adalah seruan untuk kerajaan melakukan reformasi.
“Oleh itu, pada masa hadapan, perdana menteri perlu mengatur parti gabungan mengenai pembaharuan asas yang dipersetujui semua, dan kemudian bersungguh-sungguh menetapkan agenda untuk melaksanakannya.”
Beliau berkata, ini termasuk meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Pembiayaan Politik secepat mungkin.
Keputusan Negeri Sembilan – Model Kerjasama PH BN
Siapa kata PH BN tidak boleh bekerjasama? Wong Chen juga meminta PH-BN menganalisis keputusan di Negeri Sembilan, yang mana ia memenangi 31 daripada 36 kerusi, dengan PH mengambil 17 dan BN 14.
Walaupun PH-BN perlu membuat semakan terperinci mengenai apa berlaku di negeri lain, beliau berkata, langkah pertama sekutu itu adalah mengkaji dan menerima pakai model PH-BN di Negeri Sembilan.
“Ini adalah sumber utama harapan kami untuk masa hadapan,” katanya. “Bagaimana pasukan Negeri Sembilan mewujudkan gabungan perpaduan dalam masa lapan bulan sahaja? PN, yang merupakan gabungan empat tahun, dihalang oleh gabungan PH-BN berusia lapan bulan di sana.
“Oleh itu, formula untuk kemenangan PH-BN masa depan terletak di Negeri Sembilan.”