
T7 Global Bhd bergelut lagi, seperti jatuh ditimpa tangga. Kelewatan dalam projek sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka memberi kesan negatif kepada pendapatan T7 Global Bhd, menurut laporan Phillip Research.
Disebabkan kelewatan kerja dan keuntungan yang lebih rendah, firma penyelidikan itu mengurangkan jangkaan pendapatan T7 Global bagi tahun 2025 dan 2026 sebanyak 16% hingga 17%.
T7 Global Bhd yang dikuasai taikun cina Tan Sri Tan Kean Soon terkait dengan skandal dakwaan penipuan berjumlah RM10 juta bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram melibatkan pemilik MBI Group Tedy Teow April lalu terpaksa meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.
Kes jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi di negara ini, Asean dan China melalui skim pelaburan MBI International Group (MBI) menjejaskan syarikat senarai awam di negara ini.
Susulan kontroversi itu pada 2 April 2025, saham T7 Global jatuh sebanyak 36% kepada RM0.32 menjadikannya penurunan harian terbesar dalam tempoh lebih dua tahun. Penurunan ini berlaku selepas pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Tan Kean Soon pada 31 Mac 2025.
Kelewatan projek naik taraf sistem bagasi KLIA jejaskan T7 Global
Menurut laporan Phillip Research kelewatan memberi kesan kepada T7 Global. Bagaimanapun, Phillip Research masih mengekalkan saranan ‘beli’ untuk saham syarikat tersebut memandangkan harga sasaran yang lebih rendah iaitu 34 sen yang jatuh April lalu berbanding 66 sen sebelum ini.
“Risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi saham T7 Global termasuk kelewatan operasi unit pengeluaran di laut (Mopus), kelewatan berterusan projek BHS, serta kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Research menjelaskan, projek BHS menyumbang 17% kepada hasil dan 21% kepada keuntungan bersih T7 Global pada tahun 2024.
“Oleh itu, jika kelewatan berterusan, ia akan memberi kesan kepada bahagian industri syarikat dan menjejaskan keuntungan pada tahun 2025 dan 2026,” jelasnya.
T7 Global Berhad, melalui anak syarikatnya T7 Kemuncak Sdn Bhd dan Konsortium Siemens Logistics Pte Ltd telah berjaya menyiapkan Fasa 1 kerja naik taraf Sistem Pengendalian Bagasi (Baggage Handling System – BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Fasa pertama melibatkan pemasangan sistem konveyor baharu, integrasi sistem Early Bag Store (EBS) dan penggunaan teknologi pintar VarioTray yang mempercepatkan pemindahan bagasi antara terminal utama dan Satelit A. Ia siap mengikut jadual pada Februari 2025, dan telah mula beroperasi secara berperingkat tanpa menjejaskan kelancaran perkhidmatan penumpang.
Naik taraf BHS ini adalah sebahagian daripada Pelan Induk KLIA yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti penumpang dan kargo lapangan terbang sehingga 140 juta penumpang dan 2.5 juta tan kargo setahun menjelang 2050. Dengan peningkatan ini, KLIA dijangka dapat menampung pertambahan jumlah penumpang dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan efisien
T7 Global kini menjadi penerima manfaat terbesar dalam pakej penyelenggaraan, pembinaan, dan pengubahsuaian (MCM) terbaharu, selepas berjaya meraih kontrak bernilai RM1.7 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kontrak yang belum dilaksanakan oleh syarikat mencecah RM4.5 bilion.
Namun, menurut sumber industri dan laporan lapangan, kerja-kerja bagi Fasa 2 dan Fasa 3 dilaporkan berjalan sangat perlahan. Antara faktor kelewatan yang dikenal pasti termasuk:
Isu teknikal berkaitan sistem integrasi dengan kemudahan lama;
Koordinasi yang kompleks antara kontraktor utama dan subkontraktor teknologi asing;
Kemungkinan gangguan dalaman susulan penurunan harga saham T7 Global dan kepercayaan pasaran yang terjejas akibat isu berkaitan bekas timbalan pengerusi syarikat, Tan Sri Tan Kean Soon, yang sedang disiasat polis. Walaupun Tan Sri Tan Kean Soon meletak jawatan beliau masih pemegang saham terbesar T7 Global Bhd.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebelum ini menganggarkan keseluruhan projek BHS ini akan siap menjelang akhir 2025, namun status semasa Fasa 2 dan 3 menimbulkan persoalan sama ada tarikh akhir tersebut dapat dicapai.