Datasonic Group Bhd telah menerima lima lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM181.66 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Datasonic berkata pelanjutan kontrak itu adalah untuk tempoh enam bulan dari 1 Jun 2024 hingga 30 Nov, 2024.
Syarikat itu berkata ia menerima lanjutan bagi pembekalan kad mentah dan bahan guna MyKad, MyTentera dan MyPOCA kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk nilai kontrak siling tambahan RM27.81 juta.
Ia juga menerima lanjutan kontrak untuk pembekalan cip pasport Malaysia (bernilai RM59.77 juta), dokumen pasport Malaysia (RM29.81 juta) dan muka surat biodata polikarbonat (RM52.70 juta) kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Selain itu, Datasonic juga menerima lanjutan bagi pindaan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan komprehensif pusat pemperibadian kad di JPN, bernilai RM11.57 juta.
Terbaru Datasonic Group Berhad mengumumkan mencatatkan pendapatan tertinggi sepanjang masa pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) sebanyak RM368.3 juta, peningkatan sebanyak 6.8% dipacu permintaan kukuh untuk pasport, kad pengenalan, perkhidmatan peribadi kad kewangan serta kecekapan kos operasi.
Pada masa sama, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM92.3 juta, lonjakan sebanyak 20.8% berbanding tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24), kumpulan itu mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 10.3% kepada RM115.7 juta berbanding RM104.9 juta bagi suku sama tahun lalu manakala untung bersih bagi suku berkenaan melonjak lebih 70% kepada RM38.6 juta mengatasi RM22.7 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Eksekutif Datasonic ialah Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah