Selepas bulan ini timbul desas-desus mengenai perebutan projek strategik MyKad dan ekosistem identiti negara — termasuk nama kumpulan yang dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, Datuk Aminul Islam Abdul Nor atau “Dato’ Amin Bangla”, serta spekulasi mengenai INPReS dan MIMOS — perkembangan terbaru kini membawa cerita itu ke arah isu saling berkaitan. Kerajaan Malaysia kali ini dilihat sedang meneroka kemungkinan mengambil alih syarikat yang berada di tengah-tengah perniagaan tersebut, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), daripada NexG Bhd.

NexG Bhd meletakkan nilai indikatif kira-kira RM7.5 bilion ke atas anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), selepas menerima permintaan daripada Kerajaan Malaysia untuk mengemukakan harga bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat penyedia penyelesaian identiti dan dokumen keselamatan itu.
Bagaimanapun, NexG menegaskan angka RM7.5 bilion berkenaan merupakan penilaian awal dalaman berdasarkan pendekatan sum-of-parts dan bukannya penilaian bebas, harga yang telah dipersetujui atau tawaran muktamad daripada kerajaan.
Setakat ini, tiada keputusan dibuat untuk meneruskan transaksi dan tiada perjanjian dimeterai antara NexG dengan kerajaan.
Perkembangan itu signifikan memandangkan DTSB merupakan perniagaan operasi teras NexG dan penyumbang utama kepada hasil serta keuntungan kumpulan, selain memainkan peranan dalam pembekalan dokumen identiti dan keselamatan negara.
Nilai RM7.5 bilion yang diletakkan ke atas DTSB juga jauh mengatasi permodalan pasaran NexG, yang berada sekitar RM1.04 bilion berdasarkan harga saham sekitar 28 sen.
Ini bermakna penilaian indikatif DTSB adalah lebih tujuh kali ganda daripada nilai pasaran keseluruhan syarikat induknya.
DTSB merupakan perniagaan teras NexG
Menurut NexG, DTSB merupakan perniagaan teras kumpulan dan bukan sebuah aset yang dalam keadaan biasa akan dipertimbangkan untuk dilupuskan. Syarikat itu telah dibangunkan selama bertahun-tahun sebagai tonggak utama operasi NexG, selain menjadi penyumbang penting kepada hasil dan keuntungan kumpulan. Kedudukan DTSB juga menjadi asas kepada strategi NexG untuk memperluaskan perniagaan penyelesaian identiti dan keselamatan ke pasaran serantau serta antarabangsa. Justeru, sebarang pelupusan DTSB bukan sekadar penjualan sebuah anak syarikat, sebaliknya akan menyaksikan NexG melepaskan perniagaan utama yang menjadi teras kepada pertumbuhan dan rancangan pengembangan kumpulan.
Justeru, pelupusan DTSB akan menyebabkan NexG kehilangan sebahagian besar perniagaan operasi utamanya.
Lembaga pengarah berkata permintaan kerajaan akan dipertimbangkan, tetapi sebarang transaksi perlu memenuhi beberapa syarat utama termasuk harga yang mencerminkan nilai wajar DTSB, layanan sama rata kepada semua pemegang saham serta perlindungan terhadap keselamatan dan kesinambungan keupayaan identiti nasional.
Lembaga itu berkata ia tidak akan menyokong transaksi sekiranya prinsip berkenaan tidak dipenuhi.
RM1.9 bilion komitmen pelaburan
NexG mempertahankan penilaian RM7.5 bilion berdasarkan bukan sahaja kontrak semasa DTSB tetapi juga infrastruktur, teknologi proprietari, harta intelek, rekod prestasi dan kedudukannya dalam ekosistem identiti negara.
DTSB telah terlibat dalam pembekalan dokumen identiti dan keselamatan kepada kerajaan sejak 1999 dan merupakan penyedia MyKad, selain menjadi vendor pasport Malaysia sejak 2012.
Syarikat itu turut mempunyai mandat berkaitan MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA.
Bagi program identiti nasional semasa, NexG berkata DTSB telah membuat komitmen pelaburan kira-kira RM1.9 bilion, termasuk tenaga kerja, peralatan, peningkatan sistem serta dua kemudahan pembuatan di Petaling Jaya dan Meru.
Kumpulan itu berkata jutaan kad generasi baharu telah dihasilkan dan disimpan, manakala infrastruktur percetakan serta sokongan telah dipasang dan diuji di pejabat pendaftaran di seluruh negara.
Kontrak pasport RM1.73 bilion
DTSB juga mempunyai kontrak kerajaan bernilai besar yang memberikan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.
Antaranya ialah kontrak pembekalan pasport antarabangsa Malaysia selama enam tahun dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032 bernilai RM1.728 bilion.
Unit-unit NexG dilaporkan mempunyai kira-kira RM2.74 bilion kontrak aktif dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ini menjadikan sebarang kemungkinan pengambilalihan DTSB berbeza daripada transaksi korporat biasa kerana pembeli bukan sahaja memperoleh aset fizikal tetapi juga keupayaan teknologi, tenaga kerja, kemudahan pengeluaran, harta intelek dan kedudukan syarikat dalam rantaian pembekalan dokumen identiti negara.
Teknologi biometrik antara asas penilaian
NexG berkata sebahagian nilai DTSB terletak pada teknologi proprietari yang dibangunkannya.
Ini termasuk teknologi pengesahan identiti menerusi kod QR biometrik yang sedang melalui proses mendapatkan paten, fungsi pengesanan liveness, teknologi e-pasport yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), pengecaman wajah serta sistem biometrik berbilang mod.
DTSB juga mempunyai permohonan hak cipta berkaitan reka bentuk MyKad dan pasport.
Menurut NexG, kelulusan keselamatan, pensijilan, rekod prestasi dan tahap kepercayaan yang dibangunkan selama bertahun-tahun merupakan antara faktor yang sukar ditiru oleh pemain baharu dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun, nilai RM7.5 bilion masih perlu dinilai secara bebas sekiranya cadangan pengambilalihan bergerak ke peringkat transaksi formal.
Daripada dokumen fizikal kepada identiti digital
NexG turut melihat pertumbuhan DTSB melangkaui perniagaan tradisional mencetak MyKad dan pasport.
DTSB sedang membangunkan ekosistem digital modular yang menghubungkan MyKad fizikal dengan pengesahan identiti biometrik bagi kegunaan bank, peniaga, institusi dan perkhidmatan kerajaan.
Syarikat itu juga membangunkan SALUR, sebuah ekosistem pembayaran dan dompet digital kerajaan yang direka untuk membolehkan subsidi, bantuan serta manfaat kerajaan disalurkan secara digital kepada penerima yang disahkan.
Menurut NexG, sistem berkenaan boleh membolehkan kerajaan menetapkan penerima, tujuan penggunaan dana dan lokasi perbelanjaan serta menjejaki penggunaan dana.
Keupayaan tersebut menjadi sebahagian daripada hujah kumpulan bahawa nilai DTSB tidak sepatutnya ditentukan berdasarkan kontrak MyKad dan pasport semata-mata.
Pelupusan akan ubah profil NexG
Sekiranya kerajaan akhirnya bersetuju mengambil alih DTSB, transaksi itu berpotensi mengubah secara fundamental profil NexG sebagai sebuah syarikat tersenarai.
DTSB ialah perniagaan operasi utama kumpulan. Pelupusannya akan tertakluk kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia dan, bergantung kepada struktur serta saiz transaksi, memerlukan kelulusan pemegang saham.
Penasihat bebas juga dijangka diperlukan untuk menilai transaksi dan memberi pandangan kepada pemegang saham.
NexG berkata sebahagian daripada hasil pelupusan berpotensi diagihkan kepada pemegang saham menerusi dividen sekiranya pengambilalihan itu berlaku.
Bagaimanapun, jumlah pengagihan belum dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada nilai dan terma transaksi akhir.
RM7.5 bilion belum harga jualan
Buat masa ini, perkara utama yang perlu dibezakan ialah permintaan kerajaan untuk mendapatkan harga indikatif dengan keputusan kerajaan untuk membeli DTSB.
Kerajaan belum mengemukakan tawaran RM7.5 bilion.
Sebaliknya, angka tersebut ialah nilai yang ditentukan NexG sendiri sebagai asas awal untuk memberi respons kepada permintaan kerajaan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan NexG, Datuk Ishak Ismail, berkata sebarang transaksi perlu memberikan nilai wajar kepada pemegang saham sambil memastikan kepentingan strategik dan keselamatan negara terus dilindungi.

NexG akan mengemukakan penilaian indikatif kepada kerajaan dan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat perkembangan material.
Setakat ini, tiada kepastian bahawa pengambilalihan itu akan berlaku, termasuk mengenai struktur transaksi, harga akhir, terma atau tempoh pelaksanaannya.
Jika rundingan diteruskan, perhatian pasaran seterusnya dijangka tertumpu kepada berapa nilai yang sanggup ditawarkan kerajaan berbanding RM7.5 bilion yang diletakkan NexG, selain struktur transaksi dan bagaimana hasil pelupusan DTSB akan dikembalikan kepada pemegang saham.
