KUALA LUMPUR – Pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 pada feburari lalu mengenai kelemahan tadbir urus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhirnya membawa kepada tindakan penguatkuasaan apabila bekas pengarah pusat pendidikan berkaitan universiti itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penahanan tersebut melibatkan Datuk Dr. Muhammad Bin Hussin, bekas Pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMSHAPE) — entiti yang mengurus program pendidikan eksekutif dan luar kampus yang menjana pendapatan besar kepada universiti.
Beliau direman selama lima hari sehingga 19 April selepas perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Dana Didakwa Disalah Guna Untuk Kepentingan Peribadi
Siasatan awal SPRM mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya antara tahun 2023 hingga 2024.
Dilaporkan beliau dipercayai mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan operasi pusat berkenaan — sekali gus membuka ruang kepada konflik kepentingan.
Dana berjumlah hampir RM1 juta itu didakwa digunakan untuk tujuan peribadi, mencetuskan persoalan besar terhadap pengurusan kewangan program yang melibatkan ribuan pelajar.
Sebagai langkah awal siasatan, SPRM telah membekukan empat akaun bank yang melibatkan satu akaun syarikat dan tiga akaun individu, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sekitar RM600,000. Tindakan ini diambil bagi menjejak aliran wang yang disyaki terlibat, selain mengenal pasti sebarang transaksi berkaitan yang berpotensi menunjukkan penglibatan pihak lain dalam kes yang sedang disiasat.
Langkah ini bertujuan menjejak aliran wang serta mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan pihak lain dalam transaksi yang disiasat.
Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, mengesahkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan. Menurut beliau, siasatan tidak hanya tertumpu kepada unsur jenayah semata-mata, tetapi turut merangkumi kelemahan aspek tatakelola serta sistem kawalan kewangan yang dipercayai membuka ruang kepada berlakunya penyalahgunaan kuasa.

UKMSHAPE Dalam Radar Siasatan
Kes ini bukan lagi dilihat sebagai isu individu semata-mata, sebaliknya membuka semula persoalan terhadap keseluruhan model operasi UKMSHAPE sebagai pusat penjanaan hasil universiti. Dengan penglibatan rakan strategik luar, kutipan yuran berskala besar serta struktur perkongsian hasil yang kompleks membuka kepada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan dana program pendidikan.
siasatan ini berpotensi mendedahkan sama ada wujud kelemahan sistemik — atau lebih serius, penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan dana pendidikan.
Pada Februari lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 membongkar pelbagai kelemahan kewangan serius melibatkan UKMSHAPE, termasuk kutipan yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta tanpa rekod teratur, RM50.74 juta yuran yang dipersoalkan kesahihannya, serta RM19.88 juta hasil yang tidak direkodkan oleh UKM. Audit turut mendedahkan penggunaan kad kredit korporat tanpa kelulusan sewajarnya, sekali gus menunjukkan wujudnya pelanggaran prosedur kewangan. Kesemua penemuan ini mencetuskan persoalan besar terhadap keberkesanan kawalan dalaman serta integriti keseluruhan pengurusan dana program pendidikan lanjutan universiti.

Penahanan bekas pengarah UKMSHAPE ini dilihat sebagai permulaan kepada siasatan yang lebih besar — bukan sahaja terhadap individu, tetapi terhadap keseluruhan sistem pengurusan kewangan program pendidikan di institusi berkenaan.
Susulan laporan itu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lagi menggunakan khidmat Koperasi Siswazah Bangi Berhad bagi urusan pengambilan pelajar dan kutipan yuran susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berhubung ketakteraturan pengurusan hasil yuran pelajar.
Untuk rekod, perjanjian antara UKMSHAPE dan Koperasi Siswazah Bangi Berhad telah ditandatangani pada tahun 2017 ketika Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menjawat jawatan Naib Canselor UKM. Di bawah perjanjian tersebut, koperasi berkenaan berperanan sebagai ejen kutipan yuran bagi program-program yang dikendalikan, dan mekanisme ini dilaporkan menyumbang hasil kepada UKM melebihi RM90 juta setahun.

Koperasi Siswazah Bangi Berhad sebelum ini menafikan sebarang unsur penyelewengan atau kehilangan dana yuran pelajar, sebaliknya menegaskan bahawa keseluruhan kutipan telah disalurkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengikut ketetapan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Menurut sumber berkaitan, ketika program berkenaan berada dalam keadaan tidak aktif dan berisiko ditamatkan oleh UKM, pelantikan koperasi sebagai ejen kutipan yuran dilihat berjaya menghidupkan semula operasi serta menjana keuntungan signifikan kepada universiti. Namun, perkembangan ini turut mencetuskan spekulasi bahawa kejayaan dan pulangan yang tinggi mungkin menimbulkan persaingan dalaman, sekali gus membuka ruang kepada usaha pihak tertentu untuk mengambil alih pengurusan projek tersebut.
UKM tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Sebelum ini, seorang Naib Canselor universiti itu pernah diarahkan dipecat, malah gelaran Datuk yang disandang turut ditarik balik susulan dakwaan berkaitan pengurusan projek bernilai lebih RM2 bilion. Perkembangan tersebut ketika itu mencetuskan perhatian meluas terhadap isu tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan projek berskala besar di institusi berkenaan.
Rentetan itu, episod demi episod yang timbul — daripada isu projek mega sehinggalah kepada pendedahan audit melibatkan UKMSHAPE — dilihat memberi gambaran bahawa cabaran tadbir urus di universiti ini bukan bersifat terpencil, sebaliknya berulang dalam pelbagai bentuk. Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pembaharuan sistemik benar-benar dilaksanakan, atau sekadar perubahan bersifat sementara tanpa menyelesaikan punca sebenar.
