KUALA LUMPUR: Satu lagi transaksi mencurigakan melibatkan syarikat berkaitan individu yang sering dikaitkan dengan rangkaian mafia korporat kembali menjadi perhatian.
MMAG Holdings Berhad dilaporkan telah melupuskan 51% pegangan saham dalam anak syarikatnya, MMAG Aviation Consortium Sdn. Bhd. (MAC), pada harga hanya RM100,000, satu nilai yang menimbulkan persoalan serius mengenai rasional komersial urus niaga tersebut.
Menurut Laporan Kewangan Interim MMAG Holdings Berhad bagi suku kewangan kelima berakhir 31 Disember 2025 yang difailkan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu pada 19 November 2025 telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan dua pembeli iaitu Nasir Gaffar Khan dan Francis Antony a/l Anthony Mariedass.
Di bawah perjanjian tersebut, MMAG menjual 40,330,055 saham biasa, mewakili 51% kepentingan ekuiti dalam MMAG Aviation Consortium Sdn. Bhd., dengan jumlah balasan tunai sebanyak RM100,000 sahaja.
Perjanjian Novasi dan Penglibatan Syarikat Singapura
Perkembangan itu tidak berhenti di situ. Pada 15 Disember 2025, satu Perjanjian Novasi turut dimeterai yang menyaksikan hak dan kepentingan Nasir Gaffar Khan di bawah SPA tersebut dipindahkan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Bluorbit Logistics Pte Ltd.
Pelupusan tersebut akhirnya diselesaikan sepenuhnya pada 5 Februari 2026.
Walaupun 51% kepentingan telah dijual, MAC masih kekal sebagai anak syarikat dalam Kumpulan MMAG, satu struktur yang turut menimbulkan persoalan mengenai kawalan sebenar ke atas syarikat penerbangan tersebut.
Mengapa syarikat tersebut masih diklasifikasikan sebagai anak syarikat MMAG?
Apakah hubungan sebenar antara pembeli saham dan syarikat berpangkalan di Singapura yang mengambil alih hak tersebut?
Adakah terdapat perjanjian lain di luar SPA yang tidak didedahkan kepada umum?
Harga Saham Hanya 0.002 Sen Sesaham?
Persoalan utama yang timbul ialah mengapa MMAG sanggup menjual 51% pegangan saham dalam anak syarikat sektor penerbangan pada harga hanya RM100,000.
Berdasarkan jumlah saham yang dilupuskan, nilai tersebut bersamaan kira-kira 0.002 sen sesaham — jauh di bawah nilai satu sen.
Lebih mengejutkan, anak syarikat tersebut sebenarnya bukan syarikat yang merugikan.
Rekod kewangan menunjukkan bahawa bagi tempoh 15 bulan dari 1 Oktober 2024 hingga 31 Disember 2025, MMAG Aviation Consortium telah mencatat:
- Perolehan: RM591,405,000
- Keuntungan sebelum cukai: RM28,030,000
Dengan prestasi sedemikian, nilai RM100,000 untuk 51% pegangan jelas tidak masuk akal dari sudut komersial.
Ini menimbulkan spekulasi bahawa transaksi tersebut mungkin hanya struktur formal di atas kertas, manakala bayaran sebenar mungkin berlaku melalui saluran lain di luar perjanjian rasmi.
MMAG Pada Masa Sama Beli Pesawat RM109 Juta
Lebih mengejutkan, dalam tempoh yang sama kumpulan MMAG turut membuat pelaburan besar dalam sektor penerbangan.

Pada 23 Julai 2025, anak syarikatnya MMAG SkyAssets Limited menandatangani perjanjian untuk membeli sebuah pesawat kargo Boeing 737-800BCF dengan harga kira-kira USD25.9 juta atau sekitar RM109.85 juta.
Langkah pelaburan besar ini menunjukkan bahawa syarikat sebenarnya sedang memperluaskan operasi penerbangan, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa pegangan majoriti dalam unit penerbangan tersebut dilepaskan pada harga yang sangat rendah.
Aset Segmen Penerbangan Hampir RM900 Juta
Rekod dalam laporan kewangan itu juga menunjukkan bahawa segmen penerbangan kumpulan MMAG memiliki aset sekitar RM891 juta, menjadikannya antara komponen terbesar dalam keseluruhan struktur aset kumpulan.
Dengan nilai aset sebesar itu, pelupusan 51% pegangan pada harga RM100,000 dianggap oleh pemerhati sebagai tidak mencerminkan nilai sebenar syarikat. Apakah ini wayang Victor Chin?
KEMUNCULAN DATO’ KEVIN JIT SINGH DAN TRANSAKSI RRPT
Selain itu perkara yang mencurigakan perkembangan dalam MMAG selepas peletakan jawatan Victor Chin Boon Long sebagai Pengarah Eksekutif pada 3 November 2025, yang kemudian digantikan oleh Dato’ Kevin Jit Singh Ragbir Singh sebagai pengarah eksekutif syarikat.
Tidak lama selepas pelantikan tersebut, MMAG turut mengumumkan beberapa Recurrent Related Party Transactions (RRPT) melibatkan anak syarikatnya MJets Air Sdn Bhd dan Line Clear Express Sdn Bhd dengan beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan berkaitan dengan Kevin Jit Singh.
Antara syarikat terlibat ialah:
- Asia Express Limited
- Suniao Supply Chain Sdn Bhd
- Line Haul Borneo Sdn Bhd
Ketiga-tiga syarikat ini dilaporkan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung yang berkaitan dengan Kevin Jit Singh.

Rekod Bursa Malaysia menunjukkan bahawa Kevin Jit Singh mempunyai:
- 24% pegangan langsung dalam Asia Express Limited
- 20% pegangan tidak langsung dalam Suniao Supply Chain
- 15% pegangan tidak langsung dalam Line Haul Borneo.
Transaksi RRPT tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan:
- penerbangan kargo charter
- logistik dan kurier
- pengendalian kargo dan pergudangan
- perkhidmatan logistik “last-mile” di Malaysia Timur.
Walaupun RRPT merupakan amalan biasa dalam banyak syarikat tersenarai, situasi ini menimbulkan persoalan mengenai potensi konflik kepentingan, memandangkan transaksi tersebut berlaku antara anak syarikat MMAG dengan syarikat yang mempunyai kaitan kepentingan dengan seorang pengarah kanan kumpulan.
Rangkaian “Mafia Korporat” Victor Chin Boon Long
Victor Chin Boon Long yang kini didedahkan dalam Bloomberg merupakan penguasa MMAG bersama isterinya Chan Swee Ying. Beliau tidak pernah muncul beberapa dalam dalam Lembaga pengarah Syarikat sehinggalah pada tahun 2024 beliau Kembali menjadi Pengarah Eksekutif dan juga pemegang saham terbesar MMAG.
Sejak dari itu beliau dengan berani tampil secara terbuka termasuk bersama Menteri DAP Anthony Loke.

Kini Menteri yang sama mahu RCI Mafia Korporat dibuat untuk menyiasat dakwaan mafia korporat dalam SPRM.
Victor Chin merasakan tekanan dan kritikan sehinggalah beliau meletakkan jawatan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif MMAG Holdings Berhad pada 3 November 2025.
Bloomberg yang sebelum ini memetik laporan The Corporate Secret mendedahkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia pernah menjalankan audit terhadap Victor Chin dan MMAG Holdings.
Menurut surat audit LHDN bertarikh 2021 yang dilihat oleh Bloomberg, Chin didakwa:
- menggunakan syarikat kenderaan tujuan khas (SPV)
- didaftarkan atas nama bekas pekerja
- bagi menyalurkan dana ke dalam pelaburan saham Malaysia
Audit tersebut juga mendapati lebih RM500 juta dana yang mempunyai kaitan dengan jenayah terancang dan sumber kewangan meragukan telah dimasukkan ke dalam akaun bank entiti-entiti tersebut.
Surat itu turut menyebut bahawa pihak berkuasa mengesan sekurang-kurangnya empat skim pengubahan wang haram yang berkait dengan MMAG.
DI MANA VICTOR CHIN SEKARANG?
The Corporate Secret sebelum ini mendedahkan Victor Chin lari lebih awal ke keluar negara pada 4 Oktober 2025 mengikut maklumat pintu keluar KLIA meninggalkan isteri dan orang-orang kanannya.

Namun Victor Chin Boon Long dilaporkan telah ditahan Polis bahagian AMLA pada 29 Disember 2025 di KLIA bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Victor direman dua hari namun dibebaskan selepas itu dan melarikan diri keluar negara semula. Ada dakwaan beliau lari ke Thailand.

Penahanan Victor Chin dan Francis Leong See Wui telah mengumpulkan maklumat terperinci siapa dalang mafia korporat Victor Chin yang bersekongkol dengan penguatkuasa di negara ini.
Apakah Victor Chin dengan tekanan media hari ini akan mendedahkan semua butiran pemberian rasuahnya kepada pegawai SPRM?
Victor Chin sangat kebal dan misteri. Setakat ini, masih banyak persoalan yang belum terjawab mengenai dakwaan bahawa Victor Chin terlibat dalam:
- pengambilalihan syarikat daripada pengasas asal
- manipulasi pasaran saham
- penggunaan rangkaian proksi korporat
- pengubahan wang haram dan aliran dana meragukan
Transaksi pelupusan saham bernilai RM100,000 untuk pegangan majoriti dalam syarikat penerbangan yang mencatat ratusan juta perolehan hanya menambah lagi tanda tanya terhadap operasi sebenar di sebalik kumpulan MMAG.
Persoalannya kini bukan sekadar mengenai transaksi tersebut — tetapi sama ada pihak berkuasa Malaysia bersedia atau tidak untuk menyiasat sepenuhnya dakwaan kewujudan rangkaian mafia korporat dalam sistem perniagaan negara.
