Nampaknya strategi pengalihan isu saham saham Azam Baki sedang bermula. Pertembungan terbuka antara bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pempengaruh media sosial, Caprice kini memasuki fasa lebih serius — ancaman saman dan tuntutan permohonan maaf secara terbuka. Caprice yang memfitnah Rafizi menuntut maaf terbuka Rafizi.
Segalanya bermula apabila Caprice mempersoalkan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan membabitkan seorang ahli perniagaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat milik Rafizi, Invoke Solutions Sdn Bhd. Isu tersebut dikaitkan dengan pelaburan berjumlah RM2.5 bilion di bawah projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang melibatkan UEM Lestra.
Namun Caprice menegaskan beliau tidak pernah menyebut angka RM2.5 bilion sebagai rasuah, apatah lagi menuduh Rafizi menerima sogokan. Menurutnya, beliau hanya mengemukakan satu soalan: “Can this be conflict of interest?” — dan meminta jawapan ya atau tidak.
Sebaliknya, Rafizi menyifatkan kandungan tersebut sebagai berbentuk tuduhan tersirat (innuendo) yang mencemarkan reputasinya. Dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM), beliau menegaskan bahawa sindiran atau pertanyaan berbentuk insinuasi tetap boleh dianggap fitnah di sisi undang-undang.
Tempoh masa dan Saman
Caprice yang merasa teraniaya memberi tempoh sehingga jam 5 petang untuk Rafizi menurunkan hantaran media sosial dan memohon maaf. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil.
Namun Rafizi tidak berganjak.
“Saya akan saman Caprice,” tegasnya, sambil menambah bahawa beliau sudah memberi ruang untuk permohonan maaf tetapi tidak diendahkan.
Rafizi berhujah bahawa untuk membuktikan rasuah, mesti ada elemen pemberi, penerima dan campur tangan yang jelas. Katanya, jika benar beliau menerima rasuah, sudah tentu siasatan di bawah undang-undang pengubahan wang haram (AMLA) akan membawa kepada pendakwaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pegangan yang dirujuk sebenarnya adalah preference shares dalam bentuk pinjaman — bukan saham berkepentingan yang memberi kawalan atau manfaat langsung.
Caprice mahu berdamai
Menariknya, di sebalik ketegangan, Caprice menyatakan kesediaan untuk berdamai. Malah beliau secara simbolik menawarkan sejambak bunga ros kepada Rafizi sebagai tanda mahu menyelesaikan isu secara baik. Dalam erti kata lain Caprice ‘menganjing’ meminta maaf.
Namun dalam masa sama, beliau meminta agar namanya tidak “diseret dalam perang politik”.
Pengalihan isu saham
Rafizi turut membayangkan bahawa isu ini mungkin bertujuan mengalih perhatian daripada polemik lain yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Jika benar, maka pertikaian ini bukan sekadar soal reputasi peribadi — tetapi juga medan perang persepsi politik.
Kini persoalan utama ialah:
- Adakah mahkamah akan menentukan sama ada soalan berbentuk insinuasi boleh dianggap fitnah?
- Atau adakah kedua-dua pihak akan memilih penyelesaian luar mahkamah?
Yang pasti, pertikaian ini membuktikan bahawa dalam era media sosial, garis antara “bertanya soalan” dan “membuat tuduhan” semakin kabur — dan implikasi undang-undangnya tidak lagi boleh dipandang ringan.
Cara Caprice mencipta persepsi memakan diri namun jika ‘ceplos’ dibayar pihak tertentu mungkin berbaloi untuk menentang Rafizi.
