Ketika kerajaan Negeri Sembilan mengangkat Projek Midport Smart AI Port sebagai pemangkin baharu ekonomi negeri, satu persoalan yang semakin kuat dibangkitkan ialah mengapa projek strategik bernilai berbilion ringgit itu diberikan kepada Tanco Holdings Berhad, sebuah syarikat yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan perkembangan siasatan Skim MBI.
Projek Midport yang dibangunkan melalui kerjasama antara Midports Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik majoriti Tanco Holdings Berhad, bersama Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS), dianggarkan melibatkan pelaburan fasa pertama sekitar RM3.47 bilion hingga RM3.53 bilion dan disasarkan menjadi pelabuhan pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kontraktornya ialah syarikat China Construction Canal Port Engineering Co Ltd (CCCC).
Bagaimanapun, perhatian kini bukan hanya tertumpu kepada nilai pelaburan tersebut, tetapi juga kepada latar belakang syarikat yang dipilih.
Sebelum ini, beberapa laporan media telah mendedahkan Dato’ Sri Andrew Tan Jun Suan, Pengarah Urusan Kumpulan Tanco Holdings Berhad turut terlibat siasatan Skim MBI.
Nama-nama besar dilaporkan terlibat Skim MBI ialah Datuk Seri Chiau Beng Teik (Chin Hin) , Tan Sri Kean Soon (T7 Global), Tan Sri Alex Ooi (Ideal Property Group ) Tan Sri Dato’ Dr. Khor Eng Chuen (ECK Development Sdn. Bhd), Dato’ Sri Lee Hock Seng dari Magma Group Berhad; Dato’ Low Eng Hock dari Ivory Properties Group Berhad; Dato’ Lee Foo San dari Watta Holdings Berhad; serta Goh Choon Lye yang pernah dikaitkan dengan ACME Holdings Berhad dan Datuk Keh Chuan Seng (K Seng Seng Corp).
Datuk Keh Chuan Seng misalnya paling dikehendaki dan direman sebelum ini kerana terlibat dalam pembelian saham Tanco Holding. Lantaran itu beliau banyak menjual saham-sahamnya bimbang sekatan dan kerugian.

Pada masa yang sama, projek Midport turut menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk aktivis Che’gu Bard yang mempersoalkan beberapa aspek pelaksanaannya. Dalam bahan yang diberikan, turut dinyatakan bahawa saham Tanco pernah mengalami kejatuhan ketika timbul pelbagai spekulasi mengenai projek tersebut, termasuk dakwaan berkaitan penglibatan syarikat pembinaan dari China.
Kerajaan Negeri Sembilan bagaimanapun menolak dakwaan bahawa projek tersebut melibatkan pengambilan tanah penduduk, tanah adat atau hutan simpan. Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan bahawa projek itu merupakan kerjasama antara Tanco Holdings Berhad dan MBINS serta dibangunkan di atas tanah yang dimiliki syarikat tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa syarikat berkenaan telah mempunyai kira-kira 500 ekar tanah yang akan digunakan bagi pembangunan pelabuhan tersebut.
Dalam masa sama Aminuddin mengumumkan pemberian tanah bagi projek pembinaan jeti pelabuhan kontena pintar bercirikan kecerdasan buatan (AI) pertama di Port Dickson diluluskan pada 19 Mac 2026
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan membabitkan tanah dasar laut yang diluluskan itu bagaimanapun perlu diwartakan terlebih dulu.
“Setakat ini, sijil pembebasan upah ukur telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri manakala Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dalam tindakan mengemukakan permintaan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia sebelum surat kelulusan dikeluarkan,” katanya.
Dari sudut pembangunan ekonomi, Midport digambarkan sebagai projek berimpak tinggi yang berpotensi menjadikan Port Dickson hab logistik moden, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan serta meningkatkan kapasiti perdagangan negara.

Namun demikian, bagi sebuah projek yang melibatkan kepentingan awam dan pelaburan berbilion ringgit, persoalan mengenai proses pemilihan rakan strategik tidak boleh dianggap remeh terutama syarikat dan individu terlibat skandal Skim MBI yang diburu di seluruh dunia.
Kejatuhan saham mendadak saham Tanco
Pada Jun lalu, media melaporkan kejatuhan mendadak saham Tanco Holdings Berhad yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan pemerhati pasaran. Dalam tempoh kurang 10 hari, harga saham syarikat itu dilaporkan merosot kira-kira 93%, menyebabkan nilai pasarannya yang pernah mencecah sekitar RM10.8 bilion susut kepada kurang daripada RM1 bilion. Ini bermakna hampir RM10 bilion nilai pasaran terhakis dalam tempoh yang amat singkat.
Persoalan utama bukan sekadar mengapa harga saham itu menjunam. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu kaunter boleh meningkat begitu pantas sehingga mencipta nilai pasaran berbilion ringgit sebelum merudum hampir keseluruhannya dalam masa yang singkat

Tanco Holdings bukan sebuah syarikat yang asing dalam pelbagai laporan dan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Nama syarikat serta individu berkaitan pernah disebut dalam siasatan dan prosiding yang berkaitan dengan skandal MBI, termasuk dalam tindakan yang diumumkan oleh pihak berkuasa. Dalam konteks itu, kejatuhan mendadak saham Tanco yang menghapuskan hampir RM10 bilion nilai pasaran dalam tempoh singkat sudah tentu mengundang persoalan yang lebih besar daripada sekadar turun naik harga saham biasa.
Oleh itu, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan Polis Diraja Malaysia wajar memastikan semua aspek yang berkaitan diteliti secara menyeluruh sekiranya terdapat asas undang-undang untuk berbuat demikian. Pasaran modal hanya akan terus diyakini jika sebarang dakwaan manipulasi, dagangan luar biasa atau salah laku disiasat secara bebas, telus dan berlandaskan bukti. Pelabur berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, manakala semua pihak yang dinamakan juga berhak mendapat proses yang adil sebelum sebarang kesimpulan dibu
