PUTRAJAYA, 25 April 2026 — Pelantikan Dato’ Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu akhirnya disahkan secara rasmi hari ini, sekali gus mengesahkan laporan awal yang diterbitkan The Corporate Secret malam tadi.
Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Setiausaha Negara, pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694], dan akan berkuat kuasa mulai 13 Mei 2026. Cadangan pelantikan itu sebelum ini telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda untuk pertimbangan.

Kerajaan dalam kenyataan sama menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas serta integriti tinggi Abdul Halim akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah negara.
Pengumuman rasmi ini dilihat sebagai satu perkembangan yang bersifat anti-klimaks kepada perhimpunan bantahan “Turun Azam Baki” yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, apabila keputusan pelantikan telah dimuktamadkan lebih awal di peringkat tertinggi.
Dengan pelantikan ini, tumpuan kini terarah kepada sejauh mana kepimpinan baharu mampu membawa perubahan dalam SPRM, khususnya dalam usaha memulihkan keyakinan awam terhadap institusi tersebut.
