SHAH ALAM, 24 April 2026 — Seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menggantikan Azam Baki.
Menurut sumber individu berkenaan ialah Datuk Abd Halim Aman yang merupakan bekas hakim Mahkamah Tinggi, dengan pengalaman luas dalam bidang kehakiman khususnya kes-kes jenayah.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai hakim di Johor antara tahun 2011 hingga 2013 sebelum dinaikkan ke Mahkamah Tinggi, sekali gus mengukuhkan profilnya sebagai antara tokoh kehakiman berpengalaman dalam sistem perundangan negara.
Terdahulu, Anwar Ibrahim dilaporkan telah mempersembahkan calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Sultan Ibrahim untuk pertimbangan.
Dalam kenyataan rasmi, Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa Baginda sendiri akan membuat keputusan muktamad dalam memilih calon terbaik untuk mengetuai SPRM. Baginda turut mengingatkan agar isu pelantikan ini tidak dipolitikkan, memandangkan kepentingan jawatan tersebut dalam memastikan usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Jawatan ini amat penting. Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Baginda seperti dipetik melalui Royal Press Office pada 23 April lalu.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung pelantikan tersebut, namun pengumuan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Rombakan SPRM menyeluruh dari pegawai “vipernes”
Pelantikan Datuk Abd Halim Aman sebagai bekas hakim ke tampuk kepimpinan SPRM sememangnya dialu-alukan, namun beliau bakal berdepan cabaran besar untuk memulihkan integriti dan kepercayaan terhadap institusi itu dari dalam yang kini penuh kontroversi.
SPRM kini dilihat sebagai sebuah organisasi yang sarat dengan “vipernes” — ibarat ular-ular berbisa yang berbahaya dan berpotensi menggugat usaha pembaharuan.
Sebagai orang baharu, beliau dijangka berhadapan dengan kelompok pegawai lama yang telah lama berkhidmat di bawah kepimpinan Tan Sri Azam Baki, sekali gus mewujudkan risiko wujudnya kesetiaan berlapis dalam organisasi.
Justeru, beliau tiada pilihan selain melaksanakan rombakan menyeluruh bagi mengekang pengaruh ‘vipernes’ yang boleh menjejaskan pentadbirannya. Dalam masa sama, beliau perlu berhati-hati memilih pegawai yang benar-benar berintegriti dan bebas daripada pengaruh lama, agar tidak wujud unsur “tikam belakang” yang akhirnya boleh menggagalkan usaha reformasi yang ingin dilaksanakan.
