Seperti dijangka, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu untuk menyemak keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dihadapinya.
Ini bermakna, bekas Perdana Menteri ini kekal atas tuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen.
Keputusan sebulat suara itu, diputuskan panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi.
Turut bersidang ialah Hakim-hakim, Datuk Che Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Pada prosiding ini, Ahli Parlimen Pagoh terbabit diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik selaku pemohon sementara pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Pertuduhan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan AMLA berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, untuk dibicarakan bersama.