Seramai 46 pegawai penguat kuasa disyaki terbabit dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia adalah susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Pump yang dijalankan, baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, siasatan mengesan 46 pegawai penguat kuasa yang disyaki terbabit dengan sindiket membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu.
Katanya, ia bagi memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.
“Terdapat keterangan menunjukkan wujudnya pembayaran wang rasuah dan (penguat kuasa) turut bersubahat dengan pihak ejen.
“Ini menyebabkan warga asing terbabit dapat memasuki negara dengan mudah sebagai pelancong sebelum hilang dan disyaki bekerja tanpa dokumen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azam berkata, SPRM menggerakkan Op Setting, hari ini, hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi yang berjaya menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di KLIA.
“Mereka dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
“Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, dua suspek penguat kuasa itu disyaki terbabit dengan perbuatan berkenaan sejak 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.
“Turut ditahan adalah sembilan ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa.
“Pasukan khas sudah ditubuhkan untuk merakam percakapan pegawai-pegawai penguat kuasa yang disyaki bagi membantu siasatan.
“Kami tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, hasil serbuan itu turut menyita wang tunai kira-kira RM50,000.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi permohonan reman.
Semalam seorang warga Myanmar yang juga ejen sindiket dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 membayar rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa Imigresen.
Bayaran itu adalah upah melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar melalui pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur ditetapkan.