Siapa tak kenal syarikat selenggaraan kenderaan kerajaan SPANCO. Biasa rakyat Malaysia terutama penjawat awam tahu SPANCO. Mungkin nama pengasasnya Tan Sri Robert Tan Hua Choon sedikit terasing tetapi Robert Tan Hua Choon bukan calang-calang ahli perniagaan kerana beliau dikatakan menguasai lebih 100 syarikat senarai awam di negara ini. Antara syarikatnya senarai awam yang terkenal dikuasainya ialah JKG LAND Berhad, JASA Kita Berhad, FCW Holdings Berhad, Marco Holdings Berhad, PDZ Holdings Bhd, Paragon Globe Berhad, Computer Form (M) Berhad, Mieco Chipboard Bhd, Joe Holding Berhad dan banyak lagi.
Digelar ‘CASIO KING’S’ dan kebolehannya dalam manipulasi pasaran saham menjadikan beliau salah seorang ahli perniagaan dan pelabur dihormati. Sentuhannya mampu menaikkan dan menurunkan harga saham.
Mengapa SPANCO?
Tan Sri Robert Tan Hua Choon sering dikaitkan dengan Tun Daim Zainuddin sejak tahun 1990an maka tidak hairanlah jika SPANCO juga sering terkait dengan Tun Daim. Pendakwaan terhadap Tun Daim dan isterinya Naimah adalah sebahagian tekanan terhadap keluarga Daim. Maka memburu Tan Sri Robert Tan Hua Choon adalah sebahagian menekan Tun Daim.
Syarikat SPANCO memegang konsesi untuk pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan selama 25 tahun, sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.
Sejak itu, SPANCO yang beroperasi pada 16 Ogos 1988 ini menjadi penyedia khidmat pengurusan kenderaan bersepadu terbesar di negara ini.
Ketika ini, sejumlah 36 kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara menggunakan perkhidmatan SPANCO.
Semakan dalam laman web syarikat, SPANCO menjadi pilihan utama bagi Kerajaan Persekutuan, kementerian dan agensi kerajaan seluruh negara, dengan pembabitan lebih 13,000 unit kenderaan konsesi.
Siapa sebenarnya pemilik SPANCO?
Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat pemegang saham Spanco ialah Jati Rata Sdn Bhd (46 peratus), Tan Sri Robert Tan (24.65 peratus), anaknya Tan Han Chuan (14.67 peratus) dan Tan Ching Ching (9.68 peratus), dan Minhat Mion.
Syarikat induk Jati Rata dimiliki oleh Cayaria Sdn Bhd (45 peratus), Mohtar Abdullah (27.5 peratus), dan Shahrin Osman (27.5 peratus), berdasarkan dokumen yang difailkan pada Februari tahun ini.
Azman Idris, Peter Lim, Md Raus Sharif (Bekas Ketua Hakim Negara), Shahrin, Robert Tan Hua Choon, disenaraikan sebagai pengarah Spanco.
Rekod itu menyatakan bahawa Spanco telah diperbadankan pada 16 Ogos 1988 dan tidak pernah mengalami pertukaran nama, meski artikel New Straits Times dari April 1998 merujuknya sebagai “Sistem Pengurusan Angkutan Nasional Company Sdn Bhd”.
Konsesi 25 tahun mulai 1 Januari 1994
Pada 1 Januari 1994, SPANCO diamanahkan dengan konsesi selama 25 tahun. Konsesi ini membolehkan syarikat mengatur, membekal dan pemajakan kenderaan dengan peruntukan penyelenggaraan khas untuk kerajaan.
Kenderaan yang dipajak kerajaan diselenggara bagi memenuhi pelbagai keperluan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Perkhidmatan yang disediakan SPANCO adalah kepakaran dalam sokongan kenderaan dan keupayaan pentadbiran yang komprehensif; pengurusan sistem angkatan kenderaan dan FMIS (Fleet Management Information System);
Selain itu, pusat penyelenggaraan kenderaan serantau SPANCO adalah seluas lima ekar di Batu Caves dan dua ekar di Bangi, Selangor.
SPANCO turut menyediakan bantuan kecemasan 24 jam; lebih 300 pusat perkhidmatan di seluruh negara; dan 200 tenaga operasi dan kepakaran.
SPANCO juga mencapai pensijilan ISO 9001:2008 yang bagi perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan. Ia kemudian beralih kepada standard ISO 9001:2015 dalam memastikan kualiti servis dipertingkatkan.
Pada 2015, dilaporkan bahawa kerajaan membayar RM221.66 juta setahun kepada Spanco untuk menyewa 10,963 kereta Proton. Ia terdiri daripada tujuh model berbeza antara RM973.84 sebulan hingga RM3,288.84 sebulan.
Kerajaan pajak kenderaan daripada SPANCO
Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia mengenai Pengurusan Kereta Konsesi bermula 1 Januari 1994, Kerajaan Persekutuan tidak lagi membeli Kereta Salon untuk kegunaan Kementerian dan Jabatan tetapi memajak daripada syarikat yang sudah diberi konsesi iaitu SPANCO.
Kerajaan membiayai kos sewaan, pembaikan dan penyenggaraan bulanan di bawah konsesi berkenaan.
Konsesi ini adalah bagi tempoh 25 tahun mulai 1 Januari 1994 hingga 31 Disember 2018 dan perbendaharaan sebagai agensi pelaksana akan menetapkan kadar sewa, pembaikan dan penyenggaraan bagi kereta konsesi.
Konsesi ini adalah meliputi semua Kementerian dan Jabatan Persekutuan di seluruh negara, tidak termasuk Badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan di bawah Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri.
Surat hasrat kerajaan kepada konsortium baharu untuk ganti SPANCO
Pada 2019, perjanjian konsesi SPANCO dengan kerajaan telah tamat tempoh. Berikutan itu, tender terbuka dimulakan oleh kerajaan untuk kontrak membekal, menyelenggara dan mengurus kenderaan konsesi untuk 15 tahun akan datang. Cadangan dilaporkan diterima daripada sekurang-kurangnya tujuh syarikat.
Pada tahun sama, Berjaya Group dan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu. Berjaya Group dan Naza Corporation dimaklumkan mendapat kontrak itu menyingkirkan Spanco.
Pada Julai 2023, syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV kedua-dua syarikat untuk menguruskan pajakan kenderaan kerajaan.
Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, berkata LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.
Tan berkata, kerajaan telah menamatkan perkhidmatan mereka dan memberikannya kepada SPANCO dan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).
“Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya,” katanya.
Tan berkata, bidaan yang dilakukan oleh JV terbabit ketika itu adalah yang paling rendah dalam kalangan semua pembida dan ketika itu Naza memiliki 51 peratus kepentingan dalam JV dan 49 peratus oleh Berjaya.
Kerajaan ketika itu membuat tender secara terbuka dengan meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan. Selain SPANCO serta JV antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza, syarikat lain yang menyertai bidaan itu ialah DRB-Hicom Bhd dan Samling Group.
KRONOLOGI SPANCO
1993: SPANCO dianugerahkan kontrak untuk menguruskan kenderaan konsesi kerajaan
2018: Perjanjian SPANCO dengan kerajaan tamat pada Disember
2019: Kerajaan membuka tender kepada syarikat untuk konsesi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan untuk 15 tahun
2020: Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu- Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan mereka sudah memilih syarikat konsesi baharu untuk menguruskan kenderaannya, tetapi diRAHSIAKAN
Julai 2023: Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan memfailkan saman terhadap kerajaan dan SPANCO berhubung Surat Niat (LoI) yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu sudah diberikan kepada SPANCO, walaupun tawaran itu lebih tinggi. Beliau berkata, konsortium itu menerima LoI daripada kementerian untuk menggantikan SPANCO, tetapi kontrak itu ditamatkan secara tidak adil sebelum anugerah akruan ditetapkan untuk diumumkan.
Januari 2024: SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.
31 Januari 2024: SPRM beku akaun Taikun Spanco Tan Sri Robert Tan Hua Choon
5 Februari 2024: SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan.
5 Feb 2024: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian kerajaan dengan SPANCO merugikan negara. Anwar juga berkata, beliau sentiasa berwaspada mengenai isu itu semasa menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir.
6 Februari 2024: 20 individu telah dipanggil SPRM dalam siasatan kes Spanco. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada SPANCO akan dipanggil untuk membantu siasatan
22 Februari 2024 : Kenyataan bekas Menteri Kewangan membabitkan kes kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco) telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
25 Februari 2024: SPRM akan panggil Muhyiddin jika ada keperluan siasatan kes Spanco- SPRM nafi tuduh Muhyiddin terbabit kontrak Spanco
4 April 2024: Tan Sri Robert Tan Pengerusi SPANCO didakwa tipu kontrak kerajaan RM3.9 bilion.Mengikut pertuduhan, Hua Choon didakwa menipu MOF dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request for Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat SPANCO.
Ia melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’ dan dengan itu tertuduh secara tidak jujur mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ bernilai RM3,966,386,628 kepada syarikat SPANCO yang mana MOF tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
BACA – Tan Sri Robert Tan Pengerusi SPANCO didakwa tipu kontrak kerajaan RM3.9 bilion
PENDAKWA RAYA LAWAN
TAN HUA CHOON (ΝΟ. Κ/Ρ: 410914-01-XXXX)
PERTUDUHAN
Bahawa kamu, di antara 27 Februari 2019 dan 28 Februari 2019, di Bilik Tender, Kementerian Kewangan Malaysia, Aras 10, Blok Menara, Menara Usahawan, Presint 2, Persiaran Perdana, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, telah menipu Kementerian Kewangan Malaysia, dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk “Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet”, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan Malaysia bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30% oleh Bumiputera di dalam syarikat Spanco Sdn. Bhd. melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’, dan dengan itu kamu secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak “Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleef bernilai RM3,966,386,628.00 (Ringgit Malaysia Tiga Billion Sembilan Ratus Enam Puluh Enam Juta Tiga Ratus Lapan Puluh Enam Ribu Enam Ratus Dua Puluh Lapan) kepada syarikat Spanco Sdn. Bhd., yang mana Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian, oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Hukuman
Hendaklah diseksa dengan pejara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda.
Melihat kepada pertuduhan memperdaya dan menipu MOF nampaknya ia agak longgar dan lemah. Penilaian tender oleh pegawai kerajan tak mungkin berlaku kesilapan kerana berasaskan panduan peraturan kerajaan. Apakah ini sekadar pertuduhan memalukan individu? atau saja -saja membuat pertuduhan.
ARTIKEL BERKAITAN
SPRM beku akaun Taikun Spanco Tan Sri Robert Tan Hua Choon berkait kontrak bekal kenderaan kerajaan
Serbu Taikun Spanco hanya mahu menangkap Muhyiddin dan Daim!