Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu bekas Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco yang didakwa menipu ratusan pelabur dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata satu pasukan siasatan sudah ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bersama Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).
“Kita kena siasat dulu dakwaan bahawa ‘Datuk’ itu dilindungi oleh seorang ‘Tan Sri’. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar.
“Kalau dia kata cakap dilindungi oleh ‘Tan Sri’ ke ‘Perdana Menteri’ ke kita kena siasat. Tak boleh terus-terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri.
“Memang kita dah minta untuk siasat, kertas siasatan sudah dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bukit Aman
Sebelum ini Pengerusi Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (MAPER) yang juga seorang mangsa, Shah Abdul Malek, mendakwa setakat ini ratusan individu dan syarikat korporat menjadi mangsa kepada individu bergelar ‘Datuk Wira’.
Katanya, individu terbabit bersama seorang rakan perniagaannya bergelar Tan Sri, yang didakwa berpengaruh dalam pihak berkuasa, turut menipu pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional seperti doktor, pelabur antarabangsa dan rakyat.
Beliau mendakwa, setakat ini rantaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion termasuk pelaburan yang dibuat oleh seorang usahawan dari United Kingdom (UK) berjumlah hampir RM60 juta
Lelaki terbabit didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.
Shah mendakwa individu berkenaan pada awalnya memberi jaminan pulangan yang tinggi sehingga enam peratus setiap bulan bagi setiap wang yang dilaburkan.
Namun, dalam tempoh beberapa bulan, individu berkenaan tidak membayar pulangan dijanjikan, malah membuat ugutan akan melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung punca kewangan pelaburnya yang melabur sehingga jutaan ringgit.
Semakan The CS Tan Sri yang dimaksudkan ialah Tan Sri Rashpal Singh bekas Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM tahun 2015 yang kini Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad sejak April 2022.
BACA- Tipu pelaburan: Mahkamah arah Datuk Ranjeet bayar RM602 juta, Tan Sri Rashpal Singh dalangnya