KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap seorang ahli perniagaan tempatan, P. Shailen, menghidupkan semula kontroversi lama melibatkan pinjaman bernilai RM400 juta yang dikaitkan dengan projek gentian optik gagal melibatkan beberapa entiti korporat dikawal Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu.

Pada 24 April 2026, Shailen, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah kira-kira RM128.34 juta.
Pendakwaan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda minimum RM5 juta jika sabit kesalahan.
Aliran dana RM128.34 juta melalui Paneagle dan Primawin
Butiran pertuduhan menunjukkan wang yang dipersoalkan didakwa dipindahkan daripada akaun Paneagle Infratek Sdn Bhd ke akaun milik Primawin Limited.
Primawin Limited bukan institusi kewangan, sebaliknya sebuah syarikat luar pesisir yang berdaftar di British Virgin Islands (BVI), yang lazim digunakan dalam struktur pemilikan aset dan transaksi kewangan rentas sempadan.
Transaksi ini dilaporkan berlaku antara Julai 2012 hingga November 2013 melalui sebuah bank di Subang Jaya, menunjukkan aliran dana yang berperingkat dan berstruktur.
Pertuduhan bersubahat dokumen palsu pinjaman RM400 juta
Selain kes pengubahan wang haram, Shailen turut berdepan satu lagi pertuduhan pada 22 April 2026, iaitu bersubahat dalam penggunaan dokumen palsu.
Dokumen yang dimaksudkan ialah “Joint Completion Guarantee”, yang didakwa digunakan bagi memenuhi syarat kelulusan pinjaman sebanyak RM400 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Ranjeet Singh didakwa rasuah RM8 juta
Kes ini tidak terpisah daripada figura utama, Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu, yang sebelum ini dikaitkan dengan projek tersebut.
Pada Februari 2026, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi suapan RM8 juta kepada bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim.
Menurut pertuduhan, bayaran itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan pinjaman RM400 juta kepada V Telecoms Berhad bagi membiayai projek pembangunan rangkaian gentian optik pesisir pantai di Semenanjung Malaysia.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Dokumen “Joint Completion Guarantee” libatkan Huawei
Selain rasuah, Ranjeet turut berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bertajuk “Joint Completion Guarantee” bertarikh 21 Jun 2012.
Dokumen tersebut didakwa kononnya melibatkan Huawei Technologies Co Ltd, yang digunakan bagi memenuhi syarat pembiayaan pinjaman tersebut.
Pertuduhan ini dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan penggunaan dokumen palsu sebagai tulen.
Projek gentian optik RM400 juta yang gagal
Pinjaman berjumlah RM400 juta yang diberikan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) itu bertujuan membiayai projek pembangunan rangkaian gentian optik berskala besar yang dikendalikan oleh entiti seperti V Telecoms Berhad dan turut dikaitkan dengan Aries Telecom. Namun begitu, projek berkenaan akhirnya gagal disiapkan seperti yang dirancang, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap penggunaan dana pembiayaan serta tahap pemantauan dalam pelaksanaan projek tersebut.

Penglibatan beberapa entiti seperti Paneagle Infratek Sdn Bhd, Primawin Limited (BVI), V Telecoms Berhad, serta projek yang dikaitkan dengan Aries Telecom menunjukkan bahawa struktur kewangan yang digunakan adalah kompleks dan merentasi pelbagai bidang kuasa. Penggunaan syarikat luar pesisir seperti Primawin Limited pula sering dikaitkan dengan teknik “layering”, iaitu satu kaedah dalam pengubahan wang haram yang bertujuan menyukarkan pengesanan sumber asal dana serta memisahkan aliran transaksi daripada pemilik sebenar.
Kes ini dilihat sebagai antara skandal kewangan berprofil tinggi yang terus berkembang, dengan nilai transaksi yang besar melibatkan kira-kira RM128.34 juta dalam dakwaan pengubahan wang haram, RM400 juta pinjaman daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), serta RM8 juta yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah. Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius terhadap integriti sistem pembiayaan institusi pembangunan negara.
Walaupun kedua-dua individu utama, P. Shailen dan Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu, mengaku tidak bersalah, kes ini dijangka terus menjadi tumpuan dalam tempoh akan datang.
Selepas bertahun-tahun dakwaan, saman balas, dan pertikaian undang-undang, mahkamah kini menjadi pentas penentu. Perbicaraan bakal menentukan sama ada label “scammer elit” itu sekadar retorik media — atau refleksi kepada realiti yang akhirnya terbongkar di hadapan hakim.
Penglibatan bank milik kerajaan sangat memalukan. Laporan oleh Independent Corporate Investigative Journalists (@ICIJnews) bertajuk “Konspirasi BPMB: Dana Awam Diseleweng, Pihak Tidak Bersalah Jadi Mangsa” mendedahkan rangkaian dakwaan serius melibatkan pengurusan dalaman Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), firma guaman yang dilantik serta beberapa individu berkepentingan. Pendedahan itu mendakwa wujud unsur konspirasi yang bukan sahaja melibatkan salah urus dana awam, malah menyebabkan pihak ketiga yang tidak bersalah menanggung implikasi kewangan dan reputasi yang berat.
Muncul nama-nama Nik Nor Aini Nik Mohamed selaku Ketua Pemulihan BPMB, firma guaman Lim Chee Wee Partnership (LCWP), serta Ranjeet Singh Sidhu dan Sa’adah. LCWP yang diketuai Dato’ Lim Chee Wee didakwa bukan sekadar bertindak sebagai penasihat undang-undang, malah memainkan peranan penting dalam pengaturan consent judgment yang menjadi pertikaian. Lebih membimbangkan, Lim Chee Wee sebelum ini dikatakan mempunyai kepentingan dalam Kuber Venture Berhad, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Ranjeet, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai konflik kepentingan.

