Hampir 4,000 laman web disekat agensi kerajaan sepanjang tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau dalam jawapan Dewan Rakyat berkata, sebanyak 3,997 laman web disekat sehingga 31 Ogos lalu, sebahagian besarnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Majoriti laman web itu disekat kerana penipuan pancingan data (1,247), pornografi (1,022), perjudian dalam talian (973) dan pelanggaran hak cipta (453).
Beberapa laman web turut disekat polis, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Selain itu, SKMM menurunkan 11,949 catatan di media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram, X dan YouTube.
Catatan itu membabitkan perjudian dalam talian (7,026), penipuan (1,842), gangguan atau buli (1,263) serta kandungan palsu (722).
“Menurunkan atau memadam kandungan media sosial itu tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan ditetapkan platfprm media sosial berkaitan,” katanya menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).