Skandal melanda pengurusan tertinggi Petronas dilihat masih belum berpenghujung. Terdapat usaha gigih daripada pengurusan korporat Petronas menutup skandal ini dari pengetahuan rakyat.
Ada perkembangan terbaru melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia telah menerima aduan daripada beberapa pihak berkenaan salah laku rasuah yang didakwa dilakukan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Sebelum ini The Corporate Secret pernah menyiarkan skandal rasuah yang dilakukan Datuk Tengku Muhammad Taufik, yang mana lantikan beliau ke jawatan itu dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri ke-8.
BACA – Skandal Rasuah ‘Big Ben’ Petronas-Petrofac kontrak RM399 juta, SPRM digesa siasat CEO Petronas
Di bawah merupakan lampiran pengesahan penerimaan aduan SPRM berhubung skandal rasuah Petronas-Petrofac melibatkan Tengku Muhammad Taufik baru-baru ini rujukan CMS/INFO/2023/000941.
Turut diterima ialah pengesahan daripada Petronas Whisteblowing Secretariat berhubung skandal itu. Rujukan WB286_2023 (1429)
Emel Petronas Whisteblowing Secretariat
Wang negara milik Petronas berjumlah hampir RM400 juta ‘lebur’ dalam skandal rasuah Tengku Muhammad Taufik dan syarikat Petrofac yang sebelum ini telah diputuskan bersalah atas penglibatan rasuah di seluruh dunia.
Anehnya Petronas memberi layanan istimewa kepada Petrofac.
Sedangkan Petronas sebelum ini mengangkat pendirian tiada rasuah dibenarkan diamalkan syarikat itu, dalam sebarang tender dan projek.
Namun perkara sebaliknya pula berlaku!
Untuk rekod, Petrofac telah dilarang menyertai tender atau kontrak baru di Emiriah Arab Bersatu sejak 15 Mac 2021 selepas bekas eksekutif pembekal perkhidmatan medan minyak itu mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Britain.
Bukan itu sahaja eksekutif Petrofac itu turut mengaku bersalah atas tiga tuduhan rasuah yang diajukan oleh Pejabat Serious Fraud Office berkenaan pembayaran kepada ejen untuk mempengaruhi pemberian kontrak bernilai $3.3 bilion di Emiriah Arab Bersatu.
Bekas eksekutif itu mengaku bersalah atas 11 tuduhan lain pada tahun 2019 yang berkaitan dengan tuduhan rasuah di Iraq dan Arab Saudi.
Kesemua salah laku itu mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Meskipun sudah terang lagi bersuluh rekod buruk melibatkan Petrofac, Tengku Muhammad Taufik bagaimanapun tetap memberi kontrak kepada syarikat yang sama dengan nilai USD 96 juta (RM399 Juta) bagi membina loji gas darat baharu di negeri Sarawak.
Hal itu diumumkan sendiri oleh Petrofac pada 8 dan 9 Nov 2021.
Malah hal ini juga membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja Petronas itu sendiri yang berasal dari Sarawak, yang turut menuduh ada lagi isu rasuah dalam projek berkenaan tambahan RM150 juta selain isu permit kerja di Sarawak. Pendedahan kegagalan Projek Petrofac-Petronas di Bintulu Sarawak akan didedahkan kemudian.
Sehubungan itu digesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyiasat segera skandal rasuah Tengku Muhammad Taufik, Petronas dan Petrofac, malah mungkin ada lagi penglibatan pihak lain yang masih belum didedahkan. Ada pihak yang mengetahui skandal ‘Big Ben’ Petronas dan Petrofac di luar sana. Pengerusi Petronas Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh jangan berdiam diri saja. Ambil tindakan segera.