Anak syarikat 100 peratus milik Berjaya Asset Berhad (BAssets), Berjaya Bright Sdn Bhd melupuskan 3.98 juta saham, atau 0.36 peratus kepentingan dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd melalui transaksi perniagaan langsung pada harga tunai RM7.58 juta, atau RM1.90 sesaham.
“Susulan penjualan itu, BAssets dan anak-anak syarikatnya kini memegang kira-kira 4.26 juta saham 7-Eleven Malaysia mewakili kira-kira 0.38 peratus kepentingan ekuiti dalam 7-Eleven Malaysia,” kata BAssets dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, pertimbangan tunai bagi pelupusan itu dicapai selepas mengambil kira harga pasaran 7-Eleven Malaysia semasa penjualan.
BAssets berkata, hasil tunai daripada penjualan itu akan digunakan bagi membayar balik pinjaman kumpulan selain merealisasikan sebahagian pelaburannya dalam 7-Eleven Malaysia.