Monopoli Touch ‘n Go mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika memberi bayangan itu berkata Touch ‘n Go sudah beroperasi selama dua dekad namun tidak meyakinkan atau mempunyai perkembangan.
Menjawab soalan sama ada kerajaan mempunyai sebarang perancangan untuk melihat semula Touch ‘n Go, Anwar berkata: “saya rasa anda betul”.
“Kita akan menimbangkannya semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab terbuka bersama belia yang diadakan buat julang kalinya di program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Pada sesi soal jawab terbuka itu, lebih 8,000 belia diberi peluang untuk bertanya terus kepada Anwar bagi mendapatkan pelbagai informasi berkaitan pemerkasaan belia.
Siapa pemilik Touch n Go (TNG)?
Touch n Go (TNG) kini dimiliki sepenuhnya oleh kumpulan CIMB. Manakala TNG Digital Sdn Bhd, syarikat yang mengoperasikan TNG eWallet pula, adalah syarikat kerjasama antara TNG dan ANT Group dari China.
PLUS pula, konsesi lebuhraya diuruskan oleh syarikat Lebuhraya Utara-Selatan yang dimiliki oleh Khazanah Nasional melalui UEM Group sebanyak 51%, serta 49% oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). PLUS pernah memiliki 20% saham di TNG tetapi telah djual kepada CIMB pada Oktober 2019.
Apa yang pasti kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad melalui pemilikan 24.6% saham di kumpulan CIMB dan 51% di PLUS menerusi UEM Group Berhad.
TNG adalah penyedia pembayar elektronik tunggal untuk tol di negara ini dan PLUS pula tidak berkaitan dan memiliki sebarang saham di syarikat konsesi itu. Tag RFID TNG serta TNG eWallet adalah produk di bawah kumpulan Touch n Go, bukannya PLUS.
Kontroversi PLUS dan RFID TNG
Sekitar januari 2022 negara dikecohkan dengan kontroversi penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID di semua lebuh raya mereka bermula januari 2022 sekali gus lorong Touch ‘n Go (TnG) dan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat.
Kesannya ramai pengguna jalan raya merungut dan marah apabila terperangkap dalam kesesakan di lorong tol dipercayai akibat kegagalan sistem RFID.
Lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa beralih ke lorong TnG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi menyebabkan mereka dikenakan caj maksimum.
Menteri Kanan (Kerja Raya) ketika itu Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS dan TnG memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu. Fadillah meminta pihak terbabit segera menyelesaikan semua masalah supaya tidak menyusahkan pengguna jalan raya.
Pengguna sangat tidak berpuas hati jika lorong TnG dan Smart Tag dimansuhkan pada masa akan datang tanpa menyelesaikan isu-isu RFID sekarang.
Akhirnya Pada 19 Januari 2022 Perdana Menteri ke 9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Ketetapannya ialah rakyat mesti diberikan pilihan sebagaimana perkhidmatan ‘Touch n’ Go’ yang diperkenalkan sebelum ini.
Kemudahan rakyat vs monopoli
PLUS pernah memperkenal RFID bersambung ke kad kredit sekitar tahun 2018 tetapi dihalang CIMB di mahkamah.
Sistem pembayaran itu terbuka dan tidak terikat kepada satu dompet elektronik, tetapi pembayarannya boleh dihubungkan terus ke mana-mana kad Visa atau Mastercard.
Empat lokasi tol menjalankan program percubaan RFID iaitu Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Kubang Semang (BKE), Plaza Tol Lunas dan Plaza Tol Jitra
Bagaimanapun CIMB membawa kes ke mahkamah atas dakwaan PLUS telah melanggar perjanjian bersama mengenai kutipan pembayaran tol yang telah ditandatangani 20 tahun lepas. CIMB telah menghantar notis timbang tara kepada PLUS dan memohon injunksi untuk menghalang PLUS dari meneruskan sistem PLUS RFID termasuk kerosakan, faedah dan kos.
Bagaimanapun isu itu diselesaikan. Penyelesaian RFID di antara CIMB Group Holdings Bhd dan PLUS Malaysia Bhd menyaksikan pelaksanaan RFID di seluruh plaza tol PLUS bermula 1 Januari 2020.
Bagaimanapun pelaksanaan sepenuhnya januari 2022 telah menyakitkan kepala Ismail Sabri dan kerajaan PN sebelum itu yang akhirnya RFID, Touch ‘n Go (TnG) dan Smart Tag kekal sebagai pilihan rakyat bukan monopoli.
Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Free Flow, MLFF)
Pada 5 Oktober 2022, Datuk Seri Fadillah Yusof Menteri Kerja Raya (KKR) menyasarkan memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.
Isunya ialah rundingan semua syarikat konsesi tol dan bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.
Apakah solusi terbaik untuk rakyat? Menghentikan penggunaan kad TNG dan SmartTAG secara berperingkat mungkin satu perkara namun rakyat perlu diberikan lebih banyak pilihan pembayaran bukan menguntungkan monopoli konsesi semata.
Apakah PM Anwar Ibrahim akan menamatkan monopoli Touch ‘n Go (TnG)?