
KUALA LUMPUR, Sept – Sudah jatuh ditimpa tangga, selepas ditamatkan projek Pan Borneo kini Ireka berdepan saman baharu. Bayang-bayang silam menghantui Ireka Corp Bhd apabila anak syarikat milik penuhnya, United Time Development Sdn Bhd, kini diseret ke mahkamah dalam saman berjumlah RM1.03 juta berkaitan projek pangsapuri KaMi Mont Kiara – projek yang sudah lebih sedekad berlalu tetapi ternyata masih meninggalkan parut.
Saman itu difailkan oleh Kejuruteraan Berpadu Maju Sdn Bhd, bekas pembekal kepada Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB) – satu lagi unit Ireka yang telah pun digulung secara sukarela oleh pemiutang pada 2023.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, punca isu ini berpunca daripada hutang tertunggak sejak 2012 apabila barangan dibekalkan kepada IECSB namun tidak dibayar penuh. Walaupun satu persetujuan kontra dicapai pada 2021 – dengan Kejuruteraan Berpadu bersetuju membeli unit di KaMi Mont Kiara bernilai RM1.32 juta, di mana RM1.03 juta ditolak sebagai bayaran hutang – masalah tetap tidak selesai.
Apabila IECSB dilikuidasi pada Mei 2023, United Time menuntut Kejuruteraan Berpadu untuk terus menjelaskan bil progresif. Namun dakwaan kegagalan membuat bayaran akhirnya mendorong United Time membatalkan perjanjian jual beli.
Kini, Kejuruteraan Berpadu beralih strategi – menuntut sama ada bayaran penuh RM1.03 juta atau sebagai alternatif RM920,626 yang didakwa sudah berpindah tangan dari IECSB kepada United Time.
“United Time sedang melantik firma guaman untuk mempertahankan kes ini,” kata Ireka dalam pengumumannya.
Persoalan besar yang membelit di sini – bagaimana sebuah penyelesaian lebih sedekad lalu mampu kembali menghantui syarikat yang kini bernilai tidak lebih RM24 juta di pasaran?
Hakikatnya, saham Ireka jatuh 12.5% kepada hanya 10.5 sen selepas berita ini tersebar – memberi isyarat jelas bahawa pelabur semakin hilang sabar dengan beban legasi korporat yang tidak pernah padam.
Bagi pengkritik pasaran, ini bukan sekadar isu RM1 juta – tetapi satu simbol kelemahan pengurusan hutang, ketelusan kontrak, dan reputasi Ireka yang sejak sekian lama tercalar sesuai dengan statusnya sebagai syarikat PN17