
Tekanan berterusan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya Datuk Low Eng Hock disiasat PDRM kerana skandal skim MBI kini Syarikat hartanah berstatus Practice Note 17 (PN17), Ivory Properties Group Bhd (Ivory) berdepan penggantungan dagangan dan nyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas permohonan untuk melanjutkan tempoh menghantar pelan regularisasi ditolak pihak pengawal selia.
Dalam pemakluman kepada Bursa, pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang itu berkata penolakan tersebut disampaikan melalui surat rasmi Bursa Securities bertarikh 21 Ogos. Bursa menjelaskan bahawa Ivory gagal menunjukkan perkembangan yang ketara untuk memuktamadkan pelan penyusunan semula syarikat.
Dagangan digantung, nyahsenarai menanti
Berikutan keputusan itu, dagangan saham Ivory akan digantung bermula 29 Ogos, manakala syarikat akan dinyahsenarai pada 3 September sekiranya tiada rayuan dikemukakan.
Ivory diberi tempoh sehingga 28 Ogos untuk membuat rayuan. Jika rayuan dihantar dalam tempoh itu, nyahsenarai akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Bursa. Namun begitu, dagangan saham tetap akan digantung pada 29 Ogos walaupun rayuan masih dalam proses.
Walaupun dinyahsenarai, Ivory kekal sebagai entiti sah dari segi undang-undang dan boleh meneruskan operasi serta pelan penyusunan semula. Pemegang saham pula masih mempunyai hak di bawah Akta Syarikat 2016, cuma saham mereka tidak lagi boleh diniagakan di Bursa Malaysia.
Rekod kewangan merosot sejak 2022
Ivory diklasifikasikan sebagai PN17 pada 2022 selepas juruaudit luar, Messrs KPMG PLT, mengeluarkan disclaimer of opinion terhadap penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.
Bagi tahun tersebut, syarikat melaporkan kerugian bersih RM79.51 juta, dengan jumlah liabiliti melebihi aset semasa sebanyak RM60.22 juta.
Saham menjunam
Pada Khamis, saham Ivory tidak didagangkan. Sehari sebelumnya ia ditutup pada 2 sen sesaham, memberikan syarikat nilai pasaran sekitar RM9.8 juta. Secara keseluruhan, harga saham syarikat itu telah merosot lebih 60% sejak awal tahun ini.
Siasatan dan pembekuan aset Datuk Low Eng Hock menyebabkan CEO Ivory Properties Group Bhd meletakkan jawatan namun kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat secara langsung selain melalui anak dan isterinya.
Apa nasib Ivory Properties Group Bhd mungkinkah siasatan kes MBI akan mempercepatkan lagi syarikat PN17 ini dinyah senarai Bursa Malaysia?