Key Alliance Group Bhd syarikat dikuasai ahli perniagaan dari terkenal dari Sabah Kenneth Vun@ Vun Yun Lun mengumumkan pelantikan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi baharunya.
Syarikat teknologi, komunikasi dan maklumat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, Farhash Wafa membawa pengalaman lebih daripada satu dekad dalam bidang perniagaan, perundingan serta nasihat merangkumi sektor pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.
“Sebagai bukti kepada bakat dan sumbangan berharga Farhash Wafa kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau pernah dinobatkan sebagai Usahawan Muda Terbaik 2020 oleh Anugerah Kepimpinan Perniagaan Global serta Usahawan Berdaya Usaha Terbaik 2019 dan Technopreneur Terbaik 2018 oleh Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan (SEBA),” kata Key Alliance.
Beliau juga dianugerahkan sebagai Usahawan Nasional Bumiputera Cemerlang Malaysia dalam Perniagaan pada 2018, Usahawan Muda Paling Berpengaruh ke-100 pada 2017 dan Anugerah Skim Permulaan Usahawan Bumiputera oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada 2016.
Farhash Wafa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom; Ijazah Sarjana Sains dalam Kewangan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom dan Sijil Eksekutif dalam Kepimpinan Awam dari Harvard Kennedy School, Universiti Harvard.
Beliau pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.
Farhash Wafa juga pernah menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Bluemont Group Limited (sekarang dikenali sebagai Southern Archipelago Limited) dari 2014 hingga 2016, sebuah syarikat tersenarai awam di papan utama Bursa Singapura.
Beliau memegang jawatan sebagai pengarah dalam syarikat awam seperti Apex Equity Holdings Bhd, Excel Force MSC Bhd, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, Berjaya Construction Bhd (tidak tersenarai) dan Bukit Kiara Resort Bhd (tidak tersenarai).
Farhash Wafa juga menjadi Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan.
Sekitar Mac- April 2024 kecoh isu pemilikan 15.9% kepentingan saham Datuk Farhash Wafa Salvador dalam Heitech Padu Berhad namun Farhash memaklumkan pemilikan syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milik bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Perta Ibni Sultan Ismail Petra yang juga mantan Yang di-Pertuan Agong ke-15. Farhash mengumumkan melepaskan semua pegangannya selepas itu.
Kenneth Vun@ Vun Yun Lun bakal kembali dalam dunia korporat?
Pelantikan Datuk Farhash Wafa Salvador menunjukkan Kenneth Vun@ Vun Yun Lun ahli perniagaan yang menguasai banyak syarikat senarai awam bakal kembali dalam Bursa Malaysia.
Syarikat senarai awam seperti AT Systemization Bhd (ATS), MLabs Systems Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Fintec Global Bhd, XOX Bhd, M3Technologies (Asia) Bhd, NetX Holdings Bhd, Lambo Group Bhd, Key Alliance Group Bhd dan Vsolar Group Bhd dan lain-lain lagi bukanlah asing bagi Kenneth Vun.
Jika selama ini beliau memiliki saham melalui proksi dijangka Kenneth Vun bakal muncul memainkan peranan penting dalam Bursa Malaysia sebagai ahli lembaga pengarah syarikat senarai awam miliknya.
Apapun yang dikatakan mengenai Kenneth Vun sudah pasti pelantikan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Key Alliance Group Bhd memberi mesej kebangkitan semula syarikat-syarikat dikuasai Kenneth Vun. Saham syarikat Key Alliance Group Bhd hanya berharga 0.005 sen. Apakah Key Alliance Group Bhd akan bangkit semula di Bursa Malaysia selepas ini?