Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan pembangunan bandar baharu Brabazon YTL di Bristol yang terletak di barat daya England.
Pembangunan oleh YTL Group yang memenangi anugerah itu dijangka mengubah tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan yang menempatkan kemudahan penting seperti tempat kerja, sekolah, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan kawasan hijau dalam tempoh 15 tahun.
Selain pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi, projek itu juga akan membina tiga sekolah dan taman bandar baharu.
Anwar yang juga menteri kewangan memuji usaha YTL, pelabur terbesar Malaysia di United Kingdom (UK), dalam menjayakan pelbagai pembangunan utama di negara tersebut, lapor Bernama.
YTL membuat pelaburan pertamanya di UK pada 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.
Pada majlis pelancaran itu, Pengerusi Eksekutif YTL Group Francis Yeoh Sock Ping berkata syarikat itu akan melabur £4 bilion (RM21.96 bilion) lagi di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Anwar berkata Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjadi saluran kritikal untuk mengembang dan memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan UK.
Menurutnya, usaha itu dapat dilaksanakan susulan langkah kedua-dua negara menyertai perjanjian tersebut.
“Malah, saya memilih untuk merakamkan penghargaan saya kepada Perdana Menteri UK (Keir Starmer) kerana menyertai perjanjian CPTPP.
“Ia merupakan komitmen politik yang serius bagi UK dan Malaysia, memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas,” kata beliau.
Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam yang berbuat demikian, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas.
Di bawah rangka kerja ini, tarif bagi produk negara anggota akan dikurangkan kepada sifar.
Anwar di UK sempena lawatan kerja lima hari yang turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.