Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menahan seorang lelaki warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, suspek menyatakan menggunakan pasport Perancis masuk ke negara ini.
Bagaimanapun beliau berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.
“Dalam pemeriksaan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru di bilik hotel tersebut.
“Semasa soal siasat dijalankan, polis mendapati suspek telah masuk ke Malaysia pada 12 Mac lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pasport Perancis,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat lalu
Razarudin berkata, pemeriksaan di bilik hotel menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg.
Kata beliau, siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
PDRM tangkap pembekal senjata api Shalom Avitan
Susulan penemuan senjata api itu polis menahan tiga individu warga tempatan termasuk pasangan suami isteri yang disyaki membekal senjata api dan seorang lelaki menjadi pemandu kepada warga Israel yang telah diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.
Tan Sri Razarudin Husain berkata pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira 7.30 malam tadi, manakala lelaki berusia 38 tahun yang bertindak sebagai pemandu kepada warga Israel itu ditahan di Cameron Highlands, Pahang.
“Siasatan awal mendapati pasangan terbabit membekalkan beberapa pucuk senjata api kepada warga Israel itu,” katanya
Beliau berkata hasil siasatan menemukan sepucuk pistol di dalam kereta jenis Honda Jazz milik pasangan itu.
Razarudin berkata pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara Thailand untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel tersebut.
“Kesemua mereka kita tahan reman selama tujuh hari bermula siasatan lanjut,” katanya.
Shalom Misi membunuh
Sementara itu maklumat terbaru warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru keluarganya.
Menurut The Times Of Israel, berdasarkan laporan berita berbahasa Ibrani, suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers yang terkenal.
Berdasarkan laporan portal berita Mako pula, Avitan dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seteru.
“Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan. Menurut Saluran 12, rumah Avitan, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.
“Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia,” katanya.
Sebelum ini Portal Defence Security Asia (DSA) melaporkan Shalom Avitan, yang disyaki perisik Israel agen Mossad dikenali sebagai ‘Kidon’, dengan tugas utama mereka hanya satu iaitu melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenal pasti oleh agensi perisikan Israel itu.
Unit ‘Kidon’ ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah Jabatan Caesarea yang berada dalam Mossad itu sendiri, dengan tugas dan fokus utama unit adalah melaksanakan pembunuhan terhadap musuh-musuh Israel di luar negara Yahudi itu.
Bagaimanapun PDRM memberi maklum balas berbeza apabila Shalom Avitan memburu seteru keluarganya Eran Haya anak kepada Eytan Haya yang dikatakan melarikan diri di Malaysia.
Apakah Eran Haya juga menggunakan passport dari negara berbeza sebagaimana Shalom Avitan menggunakan passport Perancis.
Siapakah suami isteri yang membekalkan pistol kepada Shalom Avitan apakah mereka warga tempatan agen mossad?
Paling penting jangan percaya propaganda Israel. Gaduh tetap gaduh tetapi merisik negara Malaysia adalah motof sebenar. Benda dah kantoi maka mesti mahu menyelamatkan agennya. Kepada PDRM korek dalam-dalam tangkap sampai selesai. Dakwa agen mossad Melayu atau warganegara Malaysia.