Syarikat PN17, Bintai Kinden Corp Bhd sekali lagi mengumumkan beberapa perubahan dalam Lembaga Pengarah dengan menyaksikan tiga peletakan jawatan dan dua pelantikan baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Bintai Kinden Corp Bhd memaklumkan Pengarah Eksekutif, Azri Azerai meletakkan jawatan atas sebab peribadi dan komitmen masanya terhadap syarikat-syarikat lain.
Azri, 24, memegang jawatan itu pada 23 Julai 2021 ketika berusia 22 tahun. Dikenali sebagai eksekutif termuda beliau juga digelar dikalangan korporat sebagai ‘pembawa sial’ syarikat apabila semua syarikat yang beliau anggota sebagai Pengarah Eksekutif dirundung masalah.
Azri sebelum ini memegang jawatan pengarah dalam beberapa syarikat senaraian awam, antaranya adalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan NWP Holdings Bhd, kedua-duanya sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif.
Azri bagaimanapun meletakkan jawatan dalam NWP pada Mac 2022 dan Serba Dinamik pada Oktober tahun lalu yang turut menerima masalah sehingga menjadi PN17.
Ketika ini, beliau memegang jawatan dalam Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) sebagai Pengarah Eksekutif.
Bintai Kinden turut mengumumkan peletakan jawatan Ong Choon Lui sebagai Naib/Timbalan Pengerusi Eksekutif untuk meneruskan bidang lain.
Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Bintai Kinden, Datuk Ibrahim Othman turut meletakkan jawatan atas sebab peribadi.
Sementara itu, Datuk Ng Choon Koon, 47, dan Ng Siew Kim, 31, dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bintai Kinden, berkuat kuasa semalam.
Bekas ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Tay Chor Han kembali menyertai kumpulan itu sebagai pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa 15 Mei 2023.
Chor Han dilantik bagi menggantikan Ku Chong Hong yang ditetapkan semula jawatan sebagai pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai kewangan.
Chong Hong sebelum ini menjawat jawatan pengarah urusan bermula 18 Januari 2023.