SEORANG bekas pemimpin Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 158 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana berjumlah RM98,270,315.20. Dana asalnya dari perniagaan kutipan zakat Perlis yang dikendalikan oleh NGO Ikram itu bersama syarikat yang dilantik Ikram
Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan selama kira-kira dua jam di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Mohon dibicarakan,” katanya yang hadir memakai jaket berwarna coklat.
Mengikut pertuduhan, bagi 149 pertuduhan pertama, Fakhrudin didakwa ketika bertugas sebagai pegawai badan awam iaitu anggota Pertubuhan Ikram Malaysia yang diberi kuasa sebagai penandatangan akaun Maybank Islamic milik NGO berkenaan di Cawangan Bukit Bintang.
Dia didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana NGO tersebut kepada sebuah syarikat pengurusan yang mempunyai kepentingan dengannya, melibatkan jumlah RM81,950,000.
Bagi sembilan pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa mengarahkan pemindahan dana ke dua akaun bank miliknya sendiri berjumlah RM16,320,315.20.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor, Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa kes berkenaan tidak wajar diberi jaminan memandangkan kepentingan awam, keseriusan kes serta jumlah dana yang terlibat.
Namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan termasuk pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam bela Datuk N Sivananthan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan, namun memaklumkan bahawa akaun bank beberapa syarikat milik anak guamnya telah dibekukan oleh SPRM, termasuk akaun keluarga, sehingga menjejaskan pembayaran gaji pekerja.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah peguam bagi pihak NGO Ikram Malaysia, Ashwida Abd Samad.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan serta mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu berkaitan NGO berkenaan ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.
Dalam operasi berasingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita 18 kenderaan mewah, merampas hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta membekukan 33 akaun bank dengan jumlah kira-kira RM120 juta menerusi Op Sutera.
