Fajarbaru Builder Group Bhd syarikat dikuasai pemimpin MCA mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (TK2024).
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, ini adalah pencapaian terbaik syarikat sejak tahun kewangan 2018, sekali gus membalikkan kerugian bersih RM16.64 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Pendapatan turut mencatat rekod tertinggi sejak penyenaraiannya pada tahun 1998, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM497.41 juta, meningkat lebih dua kali ganda daripada RM224.06 juta yang dicapai pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (TK2023).
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh sumbangan daripada segmen Pembangunan Hartanah dan Pembinaan.
Dalam suku keempat yang berakhir pada 30 Jun 2024, Fajarbaru mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.5 juta, berbanding kerugian bersih RM20.23 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan suku berkenaan turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM154.99 juta daripada RM72.84 juta pada suku keempat tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi yang kukuh dalam segmen Pembangunan Hartanah.
Segmen Pembangunan Hartanah menyumbang secara signifikan kepada prestasi cemerlang Fajarbaru dalam TK2024, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat lebih empat kali ganda kepada RM96.51 juta, berbanding RM21.05 juta pada TK2023.
Pendapatan segmen ini juga melonjak lebih empat kali ganda kepada RM306.23 juta, disokong oleh perkembangan positif dalam projek Vierra Residence @ Kinrara.
Buku pesanan pembinaan Fajarbaru kini berjumlah RM1.01 bilion, dengan RM68 juta diperuntukkan kepada projek pembangunan dalaman.
Selain itu, kumpulan memiliki buku tender bernilai RM4.41 bilion setakat 30 Jun 2024, menandakan potensi pertumbuhan yang lebih kukuh di masa hadapan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Chan Kong Choy, melahirkan rasa gembira dengan pencapaian ini.
“Kami berbesar hati melaporkan keputusan kewangan yang kukuh bagi TK2024, dengan prestasi yang meningkat dalam segmen Hartanah dan Pembinaan. Pendapatan tertinggi sejak IPO kami pada tahun 1998 dan keuntungan bersih terbaik dalam sedekad membuktikan minat yang berterusan terhadap projek hartanah kami serta kredibiliti kami dalam industri pembinaan.
“Beliau turut menekankan bahawa Fajarbaru akan terus mengejar peluang baru dalam sektor swasta dan awam, terutamanya dalam bidang bangunan bertingkat tinggi, infrastruktur, dan projek kereta api.
“Kumpulan berhasrat untuk memperluas buku pesanan Pembinaan dengan menambah projek besar di seluruh Malaysia, sambil mengukuhkan komitmen untuk menyampaikan kecemerlangan,” katanya.
Dalam usaha mengukuhkan segmen Hartanah, Fajarbaru juga akan meneroka peluang untuk memperluaskan bank tanah melalui pengambilalihan strategik.
“Kami akan memberi tumpuan untuk mengekalkan pertumbuhan pendapatan kami dengan memanfaatkan peluang dalam segmen teras kami yang pelbagai,” tambah beliau.
Menghadapi TK2025, Fajarbaru optimis untuk terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dalam semua segmen utama termasuk Pembinaan, Pembangunan Hartanah, dan Perladangan.