Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman, 59, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights, petang tadi.
Berita kematian itu disahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebentar tadi.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini pernah mengalami serangan jantung dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Sebelum berkhidmat di PMO, Allahyarham ialah Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.
Dalam satu kenyataan, PMO memaklumkan Rozaid meninggal dunia kerana masalah jantung di kediamannya.
“Allahyarham sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar hospital pada 6 Ogos lalu. Allahyarham dilantik menjawat tugasan terkini pada 23 Mei 2023.
“Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisi-Nya,” menurut PMO.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam hantaran di Facebook, merujuk Allahyarham sebagai seorang yang amat berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas, ramah, suka membantu rakan-rakan dan sangat dihormati.
“Terlalu sedih menerima khabar pemergian Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, En Rozaid Rahman sebentar tadi.
“Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar buat industri media serta sememangnya dirasai dan ditangisi. Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan kurniakan syurga buatnya.
“Takziah kepada seluruh anggota keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Tenanglah kau di negeri abadi. Al-Fatihah,” tulisnya.