Kementerian Kewangan menggesa semua syarikat berpendapatan atau mencapai jualan tahunan melebihi RM100 juta tidak menunggu di saat akhir dan segera melaksanakan sistem e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh ditetapkan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, setakat ini kerajaan hanya memberikan kelonggaran dan tiada penalti kepada pembayar cukai selama enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois dalam transaksi perniagaan mereka bermula 1 Ogos lalu.
“Terdapat kira-kira 5,000 syarikat yang mempunyai nilai jualan tahunan melebihi 100 juta dan lebih 3,500 daripadanya sudah mengambil bahagian menggunakan sistem ini.
“Setakat hari ini kita sudah menerima 3.5 juta e-invois dihantar syarikat terbabit melalui portal MyInvois Ini menunjukkan tahap pematuhan dan kerjasama yang sangat baik dari pihak industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Madani di sebuah hotel di Banda Hilir, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee.
Hui Ying berkata, tempoh enam bulan diberikan itu disifatkan mencukupi untuk pihak syarikat mencuba sistem e-Invois sekali gus membolehkan pihak pengendali meneliti dan menambah baik sebarang masalah yang timbul.
Tegas beliau, sistem berkenaan kini berfungsi dengan baik dan sentiasa dipantau rapi oleh LHDN bagi menangani sebarang aduan daripada pembayar cukai.
“Kita beri cukup masa untuk semua cuba tetapi kita harapkan semua cuba lebih awal. Jangan tunggu sampai enam bulan baru nak cuba supaya jika berlaku apa-apa masalah kita boleh betulkan.
“Sistem ini berfungsi dengan baik, jika pembayar cukai menghadapi apa-apa masalah teknikal, mereka boleh menghubungi LHDN yang memantau rapi. Di setiap negeri saya difahamkan ada duta e-Invois dan pasukan bertugas,” katanya.
Sstem e-invois
31 julai lalu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melancarkan MyInvois melalui pelaksanaan e-Invois untuk memperkukuhkan sistem percukaian negara, meningkatkan ketelusan, dan membuat penilaian risiko pematuhan lebih tepat.
MyInvois yang dilaksanakan mulai 1 Ogos lalu mendapat reaksi positif
LHDN sebelum ini memaklumkan e-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan 5,000 syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos 2024.
Fasa kedua akan bermula pada 1 Januari 2025, membabitkan syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta dan seterusnya membabitkan semua pembayar cukai mulai 1 Julai 2025.
Untuk memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar dan efektif, LHDN menyediakan dua mekanisme penghantaran e-Invois melalui Portal MyInvois dan Application Programming Interface (API) untuk kemudahan pengguna.
Persekitaran pengujian dan produksi bagi API sudah disediakan sejak April 2024 manakala Portal MyInvois pula mula digunakan pada Jun 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamalauddin sistem MyInvois adalah titik permulaan reformasi percukaian di Malaysia dan memacu negara ke arah inovasi digital yang lebih mampan.