Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 meningkat sebanyak 28.7 peratus kepada RM424.81 juta daripada RM330.10 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Hasil naik 1.8 peratus kepada RM2.84 bilion daripada RM2.79 bilion sebelumnya, didorong oleh prestasi mantap TM Global dan pertumbuhan asas pelanggan Unifi.
Dalam satu kenyataan hari ini, TM berkata Unifi mengekalkan pertumbuhan tahun ke tahun yang konsisten, dengan pelanggan jalur lebar tetap meningkat 1.8 peratus kepada 3.13 juta, didorong oleh gabungan strategi pemasaran, jualan yang agresif dan program pengekalan pelanggan.
TM Global menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun kepada RM742.8 juta pada suku pertama 2024, didorong oleh permintaan untuk data domestik dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata persekitaran operasi kekal mencabar tahun ini, disebabkan peningkatan persaingan dan dinamik pasaran yang berkembang.
Namun begitu, beliau berkata kumpulan itu menunjukkan trajektori pertumbuhan yang positif pada suku pertama 2024, dapat dilihat menerusi peningkatan hasil, keuntungan lebih baik dan pertumbuhan yang stabil dalam pelanggan jalur lebar tetapnya, sekali gus mengesahkan kedudukan kukuhnya dalam pasaran.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata kumpulan itu mengekalkan prospek positif bagi tahun semasa, sambil menyatakan bahawa untuk mengekalkan momentum positif TM, kumpulan itu akan terus meningkatkan penawaran penumpuan runcit dan penyelesaian nilai tambahnya dalam memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
Ia juga akan memfokuskan usaha pemodenan infrastruktur data dan rangkaiannya, serta mempertingkat tawaran berkaitan perniagaannya untuk memenuhi keperluan digital semasa dan masa hadapan.
“Sebagai sebahagian daripada perjalanan transformatif kami ke arah menjadi kuasa digital menjelang 2030, keutamaan kami dalam beberapa tahun akan datang termasuk mengembangkan perniagaan teras kami, meningkatkan jangkauan ketersambungan melalui Kecerdasan Buatan dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu untuk memenuhi permintaan masa hadapan.
“Selain itu, kami akan terus mengoptimumkan kos dan meningkatkan keuntungan untuk memastikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham kami,” katanya.