Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh setahun, berkuat kuasa 12 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan semula Azam diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Zuki berkata, pelantikan itu juga selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Ini adalah kali kedua perkhidmatan Azam disambung untuk menerajui SPRM selepas kali pertama dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.
Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984.
Jawatan pertama Azam di badan itu adalah penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azam mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan ijazah sarjana daripada Asia E-University.
Selasa lalu, Azam Baki mendedahkan kerajaan hilang RM277 bilion akibat rasuah.